[Nafsiyah] Ketaatan atau kemaksiatan itu akan semakin tumbuh dan berkembang
Penulis: Ustaz Arief B. Iskandar
Ketaatan kepada Allah SWT sesungguhnya akan melahirkan ketaatan-ketaatan yang lain.
Bermulanya seorang muslim, contohnya, mungkin sekadar belajar agama (tafaqquh fii ad-deen) untuk mengamalkan kewajipan thalab al-‘ilmi (mencari ilmu). Kemudian dia langsung terdorong melakukan ketaatan lain, iaitu mengamalkan semua ilmu yang diperolehinya. Seterusnya, terdorong pula dengan kewajipan-kewajipan lain, iaitu menyebar luaskan atau mendakwahkan ilmunya kepada orang lain.
Pada mulanya, seorang muslimah mungkin ingin berhijrah. Didahului dengan bertaubat dari segala dosa. Kemudian, memulakan dengan menjalankan ketaatan dengan melaksanakan kewajipan menutup aurat. Memakai tudung dan jilbab. Seterusnya, dia terdorong melakukan ketaatan-ketaatan yang lain. Kemudian, terus mendalami agama dengan rajin menghadiri majlis-majlis ilmu. Seterusnya, dia berusaha mengamalkan ilmu yang diperolehnya. Selanjutnya, dia pun mula boleh jadi terdorong mengajak ramai orang untuk sama-sama berhijrah.
Demikian pula sebaliknya. Ketika seorang muslim pertama kali melakukan suatu kemaksiatan, boleh jadi hal itu juga akan melahirkan kemaksiatan-kemaksiatan lain.
Berapa banyak kes zina, contohnya, bermula dengan maksiat dalam bentuk sering berkhalwat (berdua-duaan antara lelaki dan perempuan non mahram). Kekerapan berkhalwat boleh jadi dimulai dengan maksiat berbentuk sering berkomunikasi dengan lawan jenis yang melanggar syariat, seperti berkomunikasi mesra di media sosial.
Berkemungkinan juga, zina dimulakan oleh maksiat berupa kegemaran menonton gambar-gambar atau video-video porno.
Contoh lain, berapa ramai perompak kelas atasan, dulunya hanyalah perompak kelas rendah. Betapa banyak raja dadah dengan hasil jualan jutaan ringgit dulunya hanyalah penjual minuman keras berharga murahan. Betapa ramai yang terlibat dengan rasuah yang besar dulunya hanya melakukan rasuah kecil-kecilan.
Demikianlah, sebagaimana kata Imam Ibnu al-Qaayim rahimahullaah,
تَولُّد الطَّاعَة، ونموها، وتزايدها ؛ كَمثل نواةٍ غرسْتها، فَصَارَت شَجَرَة، ثمَّ أثمرت، فأكلتَ ثَمَرهَا، وغرستَ نَوَاهَا، فكلماأثمرَمنهاشيء، جَنيتَ ثمرَه، وغرست نَوَاه، وكذلك تداعي المعاصِي، فليتدبّر اللبيب
Lahir, tumbuh, dan berkembangnya ketaatan (kepada Allah SWT) adalah seperti biji (benih) yang Anda tanam, lalu menjadi pohon, kemudian berbuah, dan buahnya Anda makan. Selanjutnya, Anda tanam kembali biji atau benihnya. Setiap kali pohon itu berbuah, Anda tuai buahnya, lalu anda tanam kembali biji atau benihnya. Demikian juga dengan kemaksiatan (ia lahir, tumbuh, berkembang, menghasilkan buah, dan seterusnya). Kerana itu renungkanlah, wahai orang yang berakal! [Ibnu al-Qayyim, Al-Fawaa-id, hlm. 35].
Walhasil, ayuh segera lakukan ketaatan kepada Allah SWT, jangan ditunda-tunda. Semoga perkara itu akan mendorong kita untuk banyak melakukan ketaatan-ketaatan yang lain.
Sebaliknya, jangan pernah melakukan satu pun kemaksiatan kepada Allah SWT. Ini kerana boleh jadi satu kemaksiatan yang kita lakukan, akan mendorong kita untuk melakukan banyak kemaksiatan yang lain. Na’uudzu billaahi min dzaalik.
Wa maa tawfiiqii illaa billaah ‘alayhi tawakkaltu wa ilayhi uniib.
Sumber: https://t.me/ariefbiskandar