[Nafsiyah] Menghindari Sifat Dengki (Bahagian 1/2)
Penulis: Ibnu al-Jauzi
Kedengkian adalah keinginan akan hilangnya nikmat dari orang lain walaupun nikmat itu tidak akan menjadi miliknya. Apabila orang lain memperoleh kenikmatan yang sama atau melebihi dirinya, maka ia tidak senang. Perasaan tidak senang ini tidak akan hilang kecuali dengan hilangnya nikmat tersebut dari orang yang didengkinya.
Keinginan untuk lebih baik dari orang lain merupakan sunatullah, tidaklah berdosa. Yang membuat dosa adalah keinginan hilangnya nikmat dari sesama muslim. Ketahuilah, kedengkian mengakibatkan susah makan dan tidur, raut muka suram, badan sakit, serta kesedihan mendalam yang berkelanjutan.
Seorang Arab Badwi yang berusia 120 tahun pernah ditanya, “Apa yang membuat umurmu panjang?” Ia menjawab, “Aku meninggalkan kedengkian, maka aku panjang umur.”
Sayangnya, sifat kedengkian berasal dari urusan duniawi. Lihat saja, kita tidak pernah melihat seseorang dengki terhadap orang yang rajin solat malam atau rajin berpuasa. Kita tidak pernah melihat seseorang dengki terhadap ulama kerana ilmunya, melainkan kerana reputasi dan kemasyhurannya.
Ubat dengki adalah,
1) Manusia hendaklah yakin bahawa ketentuan-ketentuan azali akan terjadi, segala usaha untuk mengubahnya tidaklah berguna. Manusia yang memiliki sifat dengki bermakna manusia yang mengingkari kehendak Zat Pemberi, Allah SWT.
Sebahagian orang bijak berkata,
“Katakan pada manusia yang iri padamu,
‘Tahukah Anda pada siapakah Anda tiada etika
Anda tiada etika pada Pencipta atas perbuatan-Nya
Kerana Anda tidak puas dengan apa yang dianugerahkan-Nya
Semoga Dia balas Anda dengan kelebihan padaku
Dan semoga Dia menutup jalan-jalan usaha Anda.'”
2) Yakinlah bahawa orang yang dengki tidak akan dapat mengurangi dan menerima apa-apa dari tangan orang yang didengkinya. Oleh kerana itu, sifat dengki benar-benar merupakan kezaliman.
3) manusia yang dengki hendaklah melihat keadaan orang yang didengkinya. Apabila orang yang didengkinya hanya meraih hal duniawi, sesungguhnya ia patut dikasihani. Tidaklah kelebihan duniawi, kecuali kesusahan, sebagaimana Al-Mutanabbi telah berkata,
“Seorang pemuda mengingat-ingat kehidupannya yang kedua,
Harta kekayaan tidak dapat menjaganya,
Kelebihan dalam kekayaan adalah kesibukan.”
Maksud dari bait syair di atas adalah, orang kaya akan sangat bimbang akan kekayaannya; orang yang banyak memiliki hamba perempuan akan sangat besar kewaspadaan dan perhatiannya kepada mereka; dan penguasa akan takut kehilangan kekuasaannya.
4) Yakinlah bahawa nikmat itu banyak sekali gangguannya, tidak akan lama keberadaannya, dan musibah senantiasa datang. Pemilik nikmat selalu menunggu kehilangan, entah nikmat itu yang hilang meninggalkannya atau dirinya yang hilang meninggalkan nikmat itu (meninggal dunia).
5) Yakinlah tidak semua yang manusia bayangkan benar. Manusia mengira orang-orang yang memiliki kedudukan berada dalam puncak kenikmatan. Mereka tidak tahu bahawa saat sudah meraih keinginannya, manusia cenderung dingin dan merasa biasa, lalu ia menginginkan yang lebih tinggi daripada sebelumnya. Orang yang dengki selalu melihat sesuatu dengan mata keinginan untuk menjadi orang lain.
Sumber: Ibnu al-Jauzi, Mengubati Jiwa yang Lelah