Adakah Media Sosial Berbahaya?
Oleh : Inaya Musab
“Adakah media sosial berbahaya?” adalah topik yang sering dibincangkan bahkan sangat wajar dibimbangkan. Jawapan yang ringkas dan mudah, ya! Ia sangat berbahaya. Bak kata ayah saya, “ianya ibarat saya menghantar anak saya ke kawasan yang penuh dengan dadah dan berkata, ‘jangan balik lambat! Berseronoklah!’ Dan gambaran itu sangat tepat.
Bukanlah media sosial itu yang salah sebenarnya; ideanya tidak salah dan agak menarik, tetapi kita tidak dapat meramal bahaya yang bakal dihadapi. Hakikatnya, kita tidak boleh mengawal tindakan dan apa yang akan dilakukan oleh orang lain. Saya tahu, kerana saya sendiri pernah mengalaminya. Jika anda seorang remaja yang sedang membaca tulisan ini, mungkin anda boleh berkata, “oh, saya pandai menjaga diri.” Dan ya, mungkin benar, mungkin juga tidak. Jika anda ada anak sendiri, sanggupkah anda mengambil risiko itu? Saya tidak.
Walaupun anak-anak sudah baligh dan dianggap dewasa, pemikiran mereka masih tetap berkembang. Mereka boleh terpengaruh dengan mudah, jatuh ke lubang yang dalam lagi gelap dan apabila mereka mulai sedar, semuanya sudah terlambat. Atau mungkin mereka berasa takut untuk meminta bantuan orang dewasa terkait hal ini. Perlu diingat, tidak kira seberapa baik hubungan ibu bapa dengan anak, mereka mungkin masih akan ada rasa takut.
Semua orang tahu, ibu bapa hanya mahukan yang terbaik untuk anak-anak mereka termasuk melindungi mereka dari apa pun. Kita sebagai ibu bapa mungkin akan faham tetapi, tidak bermakna semua remaja dapat memahami konteks ayat tersebut. Tidak sehinggalah mereka sendiri yang mengalaminya. Sebelum itu, tentu saja itulah perkara yang paling kita hendak elakkan… jadi, apakah penyelesaiannya?
Di perenggan atas, saya ada mengatakan bahawa para remaja sangat mudah terpengaruh. Ia satu isu yang besar sebenarnya kerana walaupun mereka faham bahawa ibu bapa mahu melindungi mereka, tetap saja mereka akan memandang kepada pengaruh yang dibawa oleh rakan-rakannya. Akhirnya, mereka akan lebih memilih untuk mengikuti rakan mereka kerana tidak mahu berasa ketinggalan.
Antara cara untuk membendung masalah ini adalah dengan memberi kesedaran kepada para ibu bapa juga tentang bahaya media sosial dan mengehadkan serta mengawasi penggunaan internet anak-anak mereka.
Sudah tentu ini bukanlah satu kerja yang mudah dan akan memakan masa yang lama. Jadi, langkah pertama adalah untuk mendidik anak-anak sendiri. Apa yang ada diinternet, semuanya dapat diakses tanpa tapisan. Pengetahuan yang boleh kita dapati di internet adalah tanpa had dan adakalanya sangat menakutkan. Jika iman kita goyah dan tidak kukuh, maka akan lebih mudah terjerumus ke jurang yang gelap.
Kita tidak boleh melindungi anak remaja kita selamanya tidak kira seberapa banyak kita mencuba. Cara yang paling penting adalah dengan memberikan fahaman Islam yang jelas dan benar. Kemudian barulah perkenalkan mereka dengan realiti dunia yang keras. Ajarkan mereka bagaimana hendak menghadapi dan menyelesaikan masalah menurut pandangan Islam.
Jangan biarkan mereka terus terkurung dan terkunci kerana satu saat nanti, pasti mereka akan keluar dengan sendirinya. Dan anda tidak ada bersama-sama dengan anak anda untuk membimbing mereka. Akhirnya anak menghadapi cabaran dunia tanpa asas akidah yang benar yang menyebabkan mereka semakin terpesong.
Jenayah rogol, LGBTQ+, zina dan sebagainya, satu hari nanti anak anda akan mengetahuinya. Mungkin “ilmu” ini mereka boleh dapatkan daripada kawan-kawan ataupun di internet. Sebaiknya, biarlah ilmu ini diperolehi daripada ibu bapa itu sendiri. Ibu bapa perlu mendidik anak mereka agar, tidak kira apa pun isunya, mereka boleh datang dan bertanya kepada ibu bapa mereka tanpa dimarahi. Bagaimana mereka mendapat tahu tentang sesuatu isu (zina, rogol, LGBT dan sebagainya), bukanlah isu utama, tetapi mendidik mereka terkait isu tersebut adalah yang lebih penting.
Internet adalah sesuatu benda yang tiada kawalan dan seperti mana ibu bapa menghadapi dunia sebenar, mereka juga perlu mendidik dan mempersiapkan mental anak mereka untuk menghadapi cabaran dunia yang sebenar. Didiklah diri anda dan anak anda dengan kefahaman Islam yang sebenar kerana dunia ini semakin jauh terpesong dari ajaran Islam. Kita juga perlu memperjuangkan tegaknya Khilafah Ala Minhajin Nubuwwah agar akidah generasi akan datang dapat dipelihara.
[يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا قُوا أَنفُسَكُمْ وَأَهْلِيكُمْ نَارًا وَقُودُهَا النَّاسُ وَالْحِجَارَةُ]
“Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka yang bahan-bahan bakarannya: manusia dan batu (berhala)” [TMQ At-Tahriim (66): 6]