[Syarah Hadis] Rukun Islam (Al-Arba’un an-Nawawiyah, Hadis ke-3)
Penulis: Ustaz Yahya Abdurrahman
بُنِيَ اْلإِسْلاَمُ عَلَى خَمْسٍ شَهَادَةِ أَنْ لاَ إِلهَ إِلاَّ اللهُ وَأَنَّ مُحَمَّدًا رَسُوْلُ اللهِ، وَإِقَامِ الصَّلاَةِ، وَإِيْتَاءِ الزَّكَاةِ، وَالْحَجِّ، وَصَوْمَ رَمَضَانَ
“Islam dibangun di atas lima pilar (rukun): kesaksian bahawa tiada tuhan kecuali Allah dan bahawa Muhammad adalah utusan Allah, mendirikan solat, menunaikan zakat, menunaikan haji, dan puasa Ramadhan.” [HR Ahmad, Al-Bukhari, Muslim, At-Tirmidzi, An-Nasai, dan Ibn Hibban].
Hadis ini diriwayatkan dari jalur Ibn Umar RA. oleh Imam Ahmad, Al-Bukhari, Muslim, At-Tirmidzi, An-Nasa’i, Ibn Hibban, dan Ad-Daraquthni. Dari jalur Jarir bin Abdillah oleh Imam Ahmad, Ibn Abi Syaibah, Abu Ya’la, Ath-Thabarani, Al-Baihaqi, dan Adh-Dhiya’; dari jalur Abu Hurairah RA. oleh Ibn Najar.
Dalam majoriti lafaz hadis ini, haji disebutkan lebih dahulu. Namun, dalam salah satu riwayat Muslim dari Ibn Umar, haji disebutkan setelah puasa Ramadhan. Ketika seseorang berkata, “Berhaji dan puasa Ramadhan,” Ibn Umar berkata, “Tidak, puasa Ramadhan dan haji. Begitulah aku mendengarnya dari Rasulullah SAW..”
Para ulama mengatakan bahawa hadis ini termasuk pokok agama. Imam An-Nawawi mencantumkannya sebagai hadis ketiga di dalam Al-Arba’ûn an-Nawawiyah setelah hadis niat dan hadis Jibril tentang iman, Islam, dan ihsan.
Hadis ini menyatakan lima pilar bangunan Islam. Lafaz Muhammad bin Nashr al-Marwazi di dalam Ta’zhîm Qadri ash-Shalâh menegaskan hal itu, “Buniya al-Islâm ‘alâ khamsi da‘â’im (Islam dibangun di atas lima pilar).”
Penyerupaan kelimanya seperti pilar bangunan untuk memberikan penerangan yang jelas tentang pentingnya kelima hal itu. Bangunan tidak akan kukuh jika tiang-tiangnya tidak kukuh. Kelima-lima pilar tegaknya bangunan Islam itu adalah:
Pertama, dua kalimat syahadah. Syahadah adalah keyakinan (pengetahuan) di dalam hati yang diucapkan dengan lisan dan diberitahukan kepada khalayak. Oleh kerana itu, yang dimaksud dalam hadis ini adalah mengikrarkan dengan lisan di hadapan orang-orang bahawa tiada tuhan selain Allah dan bahawa Muhammad adalah utusan Allah. Dengan itu seseorang secara formal menjadi muslim dan terkena semua seruan syariat ke atasnya.
Kedua, menegakkan solat. Maknanya adalah melaksanakan solat sesuai dengan ketentuannya, baik waktu, rukun, syarat; wajib dan sunahnya; ‘azimah dan rukhsahnya; serta memelihara tertib pelaksanaannya. Menegakkan solat dicantumkan setelah syahadat menunjukkan betapa pentingnya solat dalam Islam. Seperti wasiat Nabi SAW kepada Muadz bin Jabal, solat merupakan tiang agama. Di dalam hadis sahih juga dinyatakan bahawa solat adalah simpul yang paling akhir hilang. Solat juga yang pertama dihisab di akhirat nanti dan mempengaruhi baik dan buruknya amal-amal lainnya. Solat merupakan ibadah badaniah, pelaksanaannya terlihat nampak, dan manfaat langsungnya bersifat personal; iaitu hikmahnya mencegah dari perbuatan keji dan mungkar. Dari sisi waktu, solat merupakan ibadah yang sifatnya berterusan dan harian.
Ketiga, menunaikan zakat. Zakat dicantumkan setelah solat, kerana di dalam al-Quran dan Sunah, pada ghalibnya zakat dikaitkan dengan solat. Zakat merupakan ibadah yang bersifat kewangan dan manfaatnya secara material melampaui pelakunya. Allah SWT mewajibkannya dalam harta orang kaya dalam bentuk yang memberikan manfaat kepada orang fakir dan tidak membahayakan orang kaya, kerana zakat itu hanyalah jumlah sedikit dari harta yang banyak. Zakat merupakan ibadah yang sifatnya tahunan kerana wajib ditunaikan setelah berlalu satu haul; kecuali zakat hasil pertanian dan buah-buahan yang setiap kali penuaian.
Keempat, menunaikan haji. Menunaikan haji disebutkan setelah zakat sebelum puasa Ramadhan. Urutan demikian adalah periwayatan secara maknawi, sementara secara lafzhi, seperti yang dinyatakan Ibn Umar dalam riwayat muslim, menunaikan haji disebutkan setelah puasa Ramadhan. Majoriti riwayat menyebutkan menunaikan haji lebih dahulu dan ini pulalah yang dipilih Imam al-Bukhari. Menunaikan haji mewakili jenis ibadah ketiga setelah solat dan zakat, iaitu merupakan ibadah yang bersifat badaniah sekaligus harta. Dari sisi waktu, menunaikan haji bukanlah ibadah yang sifatnya harta kerana menunaikan haji diwajibkan hanya sekali seumur hidup, itu pun bagi mereka yang mampu untuk berhaji. Di dalam ibadah haji itu terdapat hikmah berupa berbagai manfaat baik harta mahupun bukan dan boleh dirasakan oleh semua orang, bukan yang fakir sahaja [lihat TMQ Al-Hajj (22): 28].
Kelima, puasa Ramadhan. Sebahagian riwayat menyebutkan puasa Ramadhan sebelum menunaikan haji, sesuai dengan urutan waktu pensyariatannya. Puasa Ramadhan disyariatkan pada tahun kedua, sedangkan berhaji disyariatkan (diwajibkan) pada tahun keenam atau ketujuh hijriah. Dalam riwayat yang menyebut puasa Ramadhan dalam urutan terakhir, ada indikasi bahawa puasa merupakan ibadah badaniah dan hikmah langsungnya juga bersifat personal. Sifat itu sudah diwakili oleh solat. Dari sisi tempoh, sifatnya tahunan dan sifat demikian sudah terwakili oleh zakat. Puasa Ramadhan disebutkan sebagai pilar (rukun) Islam, kerana keistimewaan yang pelaksanaannya tidak boleh begitu sahaja terlihat secara nampak. Jadi sifatnya sangat personal antara seorang hamba dengan Allah SWT. Allah SWT juga meletakkan puasa sebagai ibadah yang khusus untukNya dan hanya Dia sahaja yang menentukan besar pahalanya.
Kelima rukun (pilar) Islam tersebut mewakili semua jenis dan sifat ketaatan yang bersifat badaniah, harta, atau keduanya; tempoh harian, tahunan, atau sekali seumur hidup; dan manfaat langsungnya bersifat personal, dirasakan orang fakir, atau bersifat umum untuk orang kebanyakan; pelaksanaannya boleh terlihat langsung secara mata kasar ataupun tidak kerana lebih khusus antara hamba dengan Allah. Walhasil, hadis ini menerangkan bahawa bangunan Islam itu dibangun dan tegak di atas semua jenis dan bentuk ketaatan serta ketundukan sepenuhnya kepada Allah SWT. Wallahu’alam bissawab.