[TPOM] Asy Syifa’ Binti Abdullah Bin Abdi Syam Al Quraisyiah Al Adawiyah, Sahabiyah yang Berbakat
Oleh: Nabila Asy Syafi’i
Islam sangat memuliakan perempuan. Hukum Islam meletakkan kedudukan perempuan dan lelaki sebagai manusia, juga sebagai hamba Allah, sama dan setara, yang membezakan hanyalah tahap ketakwaannya.
Perempuan dan lelaki dalam kehidupan bermasyarakat saling tolong menolong, saling melakukan amar makruf nahi munkar. Sebagaimana firman Allah Taala dalam al-Quran surah at Taubah ayat 71:
وَٱلْمُؤْمِنُونَوَٱلْمُؤْمِنَٰتُبَعْضُهُمْأَوْلِيَآءُبَعْضٍۚيَأْمُرُونَبِٱلْمَعْرُوفِوَيَنْهَوْنَعَنِٱلْمُنكَرِوَيُقِيمُونَٱلصَّلَوٰةَوَيُؤْتُونَٱلزَّكَوٰةَوَيُطِيعُونَٱللَّهَوَرَسُولَهُۥٓۚأُو۟لَٰٓئِكَسَيَرْحَمُهُمُٱللَّهُۗإِنَّٱللَّهَعَزِيزٌحَكِيمٌ
“Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, sebahagian mereka (adalah) menjadi penolong bagi sebahagian yang lain. Mereka menyuruh (mengerjakan) yang makruf, mencegah dari yang munkar, mendirikan solat, menunaikan zakat dan mereka taat pada Allah dan Rasul-Nya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.”
Oleh kerana itu kaum muslimah di masa Nabi, tidak ketinggalan dari kaum lelaki untuk berlumba -lumba dalam kebaikan, termasuk di dalamnya menuntut ilmu dan mengajarkannya. Dengan ilmu, manusia akan mulia di dunia dan akhirat, khususnya ilmu agama.
Diantara para sahabiyah yang rajin menuntut ilmu dan mengajarkannya adalah Asy Syifa binti Abdullah bin Abdi Syam.
Asy – Syifa’ Binti Abdullah Bin Abdi Syam Sosok Guru yang Tangguh
Nama lengkapnya adalah Asy-Syifa’ binti Abdullah bin Abdi Syams Al-Qurasyiah Al-Adawiyah. Nama gelarannya Ummu Sulaiman. Beliau bersuamikan Abu Hathmah bin Ghanim Al-Qurasyi Al-Adawi.
Asy Syifa’ binti Abdullah adalah salah seorang sahabiyah, dia termasuk tokoh muslimah yang terhimpun dalam dirinya pengetahuan, keimanan dan ketakwaan. Sangat sedikit perempuan Mekah yang pandai membaca dan menulis. Oleh itu Asy Syifa’ juga mengambil peranan mengajari para muslimah membaca dan menulis, semata mengharapkan keredhaan Allah SWT.
Asy-Syifa binti Abdullah memeluk Islam sebelum hijrah, dan beliau termasuk wanita muhajirin kelompok pertama yang berbaiat kepada Nabi SAW. Beliau juga termasuk wanita yang disebut di dalam firman Allah yang bermaksud, “Wahai Nabi, apabila datang kepadamu perempuan-perempuan yang beriman untuk berbaiat bahawa mereka tidak akan mempersekutukan sesuatupun dengan Allah, tidak akan mencuri, tidak berzina, tidak akan membunuh anak-anaknya, tidak akan berbuat dusta yang mereka ada-adakan antara tangan dan kaki mereka, dan tidak akan menderhakaimu dalam urusan yang makruf, maka terimalah baiat mereka dan mohonkanlah ampunan kepada Allah untuk mereka. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun dan Maha Penyayang.” (TMQ Al-Mumtahanah [60] :12).
Asy Syifa binti Abdullah turut berhijrah ke Madinah. Sesampainya di Madinah, dia mengajari para muslimah membaca dan menulis. Asbab kesabaran dan ketekunannya, akhirnya membuahkan hasil yang manis, yakni terbanteras masalah buta huruf di kalangan muslimah Madinah. Selain mahir membaca dan menulis, Asy Syifa’ juga pakar dalam bidang perubatan dan ruqyah. Sehingga dalam waktu yang sama, Asy Syifa’ adalah seorang guru dan juga seorang doktor.
Selain itu, Asy Syifa’ juga turut belajar hadis dari Rasulullah SAW. Dia meriwayatkan beberapa hadis dari Nabi SAW, juga dari Umar bin Khattab. Beberapa orang turut meriwayatkan hadis yang berasal darinya, seperti anaknya Sulaiman bin Abu Khaitsumah, kedua cucunya (Abu Bakar dan Uthman), Abu Ishaq, dan Hafshah Ummul Mukminin dan Abu Daud.
Dalam hadis yang diriwayatkan oleh Abu Daud dengan sanad dari Asy-Syifa, bahawasanya dia berkata, “Rasulullah datang kepadaku ketika aku berada di rumah Hafshah. Beliau lalu berkata kepadaku, ‘Tidakkah engkau mengajari dia (Hafshah) cara meruqyah penyakit ekzema sebagaimana engkau mengajarnya membaca dan menulis?”
Rasulullah SAW memberi perhatian kepada kepakaran dan kemampuan Asy Syifa’. Rasulullah SAW memberi Asy Syifa’ sebuah rumah khas buatnya di Madinah yang berdekatan dengan para penderita penyakit kulit, agar Asy Syifa’ dapat merawat mereka dengan cepat. Asy Syifa’ tinggal di rumah tersebut bersama anaknya, Sulaiman.
Pada saat Umar bin Khattab RA menjadi khilafah, beliau memberikan kepercayaan kepada Asy Syifa’ untuk menjadi qadhi hisbah di pasar Madinah.
Asy Syifa’ binti Abdullah turut serta menyebarkan Islam dan memberikan nasihat kepada umat. Amirul Mukminin Umar bin Khattab sangat mendahulukan pendapat Asy Syifa’ . Begitu pula sebaliknya, Asy Syifa’ binti Abdullah juga menghormati Amirul Mukminin Umar bin Khattab kerana Umar adalah seorang pemimpin yang adil, bertakwa, dan patut untuk diteladani.
Asy Syifa’ binti Abdullah wafat pada masa kekhalifahan Umar bin Khattab sekitar tahun 20 H. Beliau pergi dengan meninggalkan catatan indah dalam sejarah Islam.
Khatimah
Dalam kisah sahabiyah akan sentiasa ada pelajaran darinya, termasuk dari kisah Asy Syifa’ binti Abdullah, seorang muslimah yang berbakat, cerdas, luas pengetahuannya, sabar, kuat iman lagi bertakwa.
Hendaknya seorang muslimah membekali diri dengan ilmu, terutamanya ilmu agama. Kerana dengan ilmu, seorang mukmin akan ditinggikan darjatnya baik di dunia mahupun di akhirat kelak. Bukankah ilmu yang bermanfaat adalah amal yang tidak akan pernah putus? Semoga kita menjadi sebahagian dari orang-orang yang diberi oleh Allah SWT ilmu yang bermanfaat.
Waallahua’lam.
#thepowerofmother #muslimahinspirasi #ibumithali #muslimahberbakat #muslimahpencetakgenerasi #ibumadrasahpertama