[TPOM] Hafshah Binti Sirin: Penjaga Sumber Hukum Islam
Oleh: Marni Rosmiati
Kedudukan seorang hamba atau hamba sahaya mungkin adalah posisi yang dipandang rendah pada pandangan manusia. Sistem perhambaan telah diketahui jauh sebelum kedatangan Islam. Abu Bakar Jabir Al-Jazairi dalam kitabnya Minhaj Al-Muslim menyebut bahawa pada masa lampau seseorang itu boleh menjadi hamba kerana tiga keadaan iaitu perang, kemiskinan dan rompakan/merampas.
Jika berlaku peperangan maka kelompok yang menang akan menjadikan kelompok yang kalah sebagai hamba. Kemiskinan boleh memaksa berlakunya perhambaan melalui pemerdagangan manusia. Begitu juga dengan rompakan dan merampas, orang yang merompak atau merampas boleh menjadikan mangsanya sebagai hamba.
Islam datang untuk mengatur perhambaan. Bahkan Islam memberikan pahala yang besar bagi mereka yang membebaskan hamba. Rasulullah SAW. bersabda: “Tiga golongan akan diberi pahala dua kali ganda. Pertama, orang-orang ahli kitab yang beriman kepada nabinya kemudian bertemu dengan Nabi SAW., maka dia beriman kepadanya, mengikutinya, dan membenarkannya, maka dia mendapat dua pahala. Kedua, seorang hamba yang menunaikan hak Allah dan hak tuannya, maka dia mendapat dua pahala. Dan ketiga, seorang lelaki yang memiliki hamba wanita, kemudian dia memberikan makanan, pendidikan, dan pelajaran yang baik, kemudian dia membebaskannya dan mengahwininya, kemudian dia mendapat dua pahala.” (HR Bukhari dan Muslim)
Maka tidak hairanlah pada zaman Islam walaupun berlatar belakang hamba tetapi ramai di antara mereka menjadi orang yang hebat dan mulia di sisi Allah. Salah seorang daripada mereka ialah Hafshah binti Sirin. Ayahnya seorang hamba, tetapi beliau adalah ulama wanita dari kalangan tabi’in yang banyak meriwayatkan hadis.
Pada masa khalifah Uthman bin Affan, Hafshah lahir pada tahun 31 Hijriyah. Ayah Hafshah seorang hamba milik sahabat Anas bin Malik ra. yang telah dibebaskan. Pada mulanya Sirin, ayahnya Hafshah telah dijual kepada Khalid bin Walid ra.. Kemudian Khalid menjualnya kepada sahabat Anas bin Malik sebagai balasan atas kebaikan Anas. Kemudian Anas membebaskan Sirin dan membenarkannya pulang kepada keluarganya.
Ibunya Hafshah bernama Shafiyyah. Shafiyyah merupakan seorang ulama terkemuka ketika itu. Kepakaran Shafiyyah dalam ilmu Islam diperolehi daripada sahabat Abu Bakar ra., kerana dahulu Shafiyyah pernah menjadi hamba kepada Abu Bakar. Apabila Abu Bakar meninggal dunia, Shafiyyah melanjutkan pelajarannya dengan Aisyah ra., anak Abu Bakar. Dengan kegigihan Shafiyyah berjaya menyampaikan ilmunya kepada anak perempuannya iaitu Hafshah.
Pada usia 12 tahun, Hafshah sudah mampu menghafal al-Quran bahkan menguasai semua qira’at. Kecerdasan dan ketekunan beliau sama seperti ibunya, Shafiyyah. Dahaganya terhadap ilmu tidak pernah surut, kemudian dia mula belajar hadis.
Dalam kitab Tahdzib Al-Kamal disebutkan bahawa ada seseorang bernama Iyas bin Muawwiyah pernah berkata tentang Hafshah. Iyas mengatakan bahawa dia tidak pernah bertemu dengan sesiapa yang lebih dia sukai kecuali Hafshah. Iyas mengagumi keilmuan Hafshah dalam bidang hadis.
Begitu juga Hasan Al-Basri menyatakan rasa suka atau kagumnya terhadap Hafshah. Bukan sahaja dari segi ilmu hadis, tetapi juga dari segi menghafaz al-Quran dan dapat menguasai semua qira’at. Seterusnya, penghargaan yang lain daripada Ibnu Hibban dalam kitab Al-Tsiqat. Ibnu Hibban mengakui bahawa Hafshah adalah seorang muhaddisin wanita sekaligus pakar dalam bidang hukum.
Kemudian pendapat lain datang dari seorang mufasir wanita bernama Zainab binti Yunus. Beliau pernah memetik kata-kata Syeikh Muhammad Akram Nadwi tentang Hafshah yang ditulis dalam kitabnya yang bertajuk Al-Muhaddits.
Dengan ini, walaupun Hafshah dilahirkan oleh ibu bapa sebagai hamba, justeru Hafshah binti Sirin mengambil kesempatan daripada keadaannya untuk belajar dengan bersungguh-sungguh. Sehingga beliau menjadi salah seorang ulama yang terpenting pada zamannya.
Hafshah tinggal di Basra, aktivitinya ialah mengatur dan mengisi halaqah untuk pelajar yang ramai jumlahnya. Kerana pengetahuannya yang mendalam tentang al-Quran, hadis dan aspek praktikal hukum Islam, menjadikan dia mempunyai ramai pelajar. Bahkan muridnya bukan sahaja wanita malah lelaki juga.
Ummu Athiyyah, Abu Al-‘Aliya, dan Salman bin Amir adalah beberapa murid Hafshah yang juga terkenal sebagai ahli hadis. Mereka semua meneruskan jejak langkah Hafshah dengan menyebarkan ilmu tentang hadis.
Hafshah mempunyai ruang solat khas berhampiran rumahnya. Dia akan masuk ke ruang solat itu ketika solat Zuhur dan tidak keluar lagi sehingga subuh keesokkan harinya. Selepas solat Subuh, Hafshah tidak segera keluar dari ruang solatnya, tetapi beliau menunaikan solat Dhuha terlebih dahulu kemudian keluar dari ruang solat untuk menyelesaikan pelbagai urusannya. Menurut sebuah riwayat, hal tersebut dia hampir tidak pernah tinggalkan selama 30 tahun.
Bukan setakat solat, Hafshah juga adalah hamba Allah yang kerap berpuasa. Diriwayatkan bahawa dirinya berpuasa selama setahun penuh kecuali pada hari-hari yang diharamkan berpuasa. Hafshah juga sentiasa menghiasi malam-malamnya dengan membaca sekurang-kurangnya separuh al-Quran.
Ketakwaannya kepada Allah membuat Hafshah telah menyediakan kain kafan untuknya. Kain tersebut akan dipakai ketika dia mengerjakan ibadah haji atau berihram. Hafshah juga akan memakai kain tersebut semasa beribadah pada 10 hari terakhir Ramadhan. Salah satunya hal tersebut dilakukan ialah untuk mengingati kematian yang boleh datang pada bila-bila masa. Dengan mengingati kematian beliau boleh mengharapkan keampunan dan keredhaan Allah dengan ikhlas.
Selain terkenal sebagai ahli ibadah, kepakarannya terhadap penggalian hukum Islam menjadikan Hafshah seorang tokoh yang sering diminta pendapatnya tentang sesuatu masalah. Saudaranya, Muhammad bin Sirin pernah ditanya tentang suatu perkara oleh muridnya, tetapi dia sukar membuat keputusan. Muhammad juga meminta muridnya untuk datang dan bertanya kepada Hafshah. “Pergilah kalian kepada Hafshah. Bertanyalah kepadanya bagaimana dia mempelajarinya (masalah yang berhubungan dengan al-Quran). Kerana, dia seperti orang yang telah meminum bahtera keilmuan yang ada dalam al-Quran,” kata Muhammad bin Sirin.
Banyak buah fikiran atau kata-kata Hafshah yang sangat mementingkan pendidikan termasuklah untuk golongan muda. Beliau sentiasa mengingatkan kepada murid-muridnya bahawa ilmu itu untuk lelaki dan perempuan perempuan, tidak ada perbezaan dalam Islam dalam menuntut ilmu.
Antara kata-kata Hafshah yang paling masyhur ialah pesanannya agar pemuda memanfaatkan masa muda mereka dengan beribadah. “Wahai para pemuda, manfaatkanlah masa mudamu. Sesungguhnya aku tidak melihat amal perbuatan (yang boleh dilakukan dengan baik) kecuali pada masa muda,” katanya.
Semangat, keprihatinan, dan kesungguhan Hafshah dalam mempelajari, mengamalkan, mendalami, dan mengajar al-Quran, hadis serta hukum-hukum Islam, sememangnya menjadi inspirasi kepada kita semua. Semoga kita semua dapat meneruskan perjuangan Hafshah dalam membumikan al-Quran dan hadis agar sentiasa menjadi pedoman dan sumber hukum bagi umat, bukan diganti dengan yang lain. Lebih-lebih lagi dengan kesepakatan buatan manusia seperti Piagam PBB misalnya. Adalah suatu kebodohan yang nyata untuk meletakkan piagam PBB sebagai sumber hukum Islam.
Wallahu a’lam bishshawab.
#ThePowerOfMother #ibumithali #ibuideologis #ibumadrasahpertama
#InspirasiMuslimah #HafshahBintiSirin #UlamaWanitaIslam #WanitaAhliHadis #PenjagaHukumIslam