Ummul Fadhl “Lubabah” Binti Al Harits, Mujahidah Berani dan Ibu kepada Ulama Terhebat & Ahli Tafsir Terkemuka
Oleh : Rofah M
Nama sebenar Ummu Fadhl ialah Lubabah binti Al Harits bin Hazn bin Buhair Al-Hilaliyah, tokoh wanita yang mulia dan hebat. Beliau lebih dikenali dengan panggilan Ummul Fadhl kerana anak pertamanya bernama Fadhl. Dia adalah salah seorang daripada 4 mukminah yang keimanannya mendapat kesaksian daripada Rasulullah SAW.. Dan Rasulullah SAW telah menyampaikan kesaksiannya tentang keimanan 4 bersaudara ini dalam sabda beliau : “Ada empat perempuan bersaudara, iaitu Maimunah, Ummul Fadhl, Salma dan Asma binti Umais (saudara seibu) adalah wanita-wanita yang beriman” (HR. Nasa’i dan Hakim dari Ibnu Abbas).
Keempat-empat beradik ini merupakan wanita-wanita yang dikahwini oleh lelaki hebat dan mulia. Mengapa? Kerana Maimunah adalah isteri Rasulullah SAW.. Lubabah atau Ummul Fadhl telah berkahwin dengan Abbas ra. bapa saudara Rasulullah. Salma berkahwin dengan Hamzah yang juga bapa saudara Rasulullah. Manakala Asma’ pula berkahwin dengan Ja’far bin Abi Thalib sepupu Rasulullah.
Antara Wanita Pertama Masuk Islam dan Aktif Menuntut Ilmu
Ummul Fadhl adalah wanita pertama yang masuk Islam dengan hati yang bersih dan fitrah yang lurus selepas Khadijah Ummul Mukminin. Ini menggambarkan bahawa Ummul Fadhl adalah seorang muslimah yang segera menunaikan seruan keimanan dan kebenaran tanpa berlengah-lengah. Pada ketika orang-orang kafir Quraisy mendustakan cahaya kebenaran Islam. Ia sememangnya merupakan satu sifat mulia dan utama yang menggambarkan sosok mukminah yang bertakwa.
Imam Adh Dhahabi menyatakan, “Ada yang berpendapat bahawa (selain Khadijah ra.), maka tidak ada wanita yang memeluk Islam sebelum Ummul Fadhl”.
Ummul Fadhl memeluk Islam dan berada di barisan hadapan kafilah Islam yang dipuji oleh Allah SWT dalam firman-Nya :
وَا لسّٰبِقُوْنَ الْاَ وَّلُوْنَ مِنَ الْمُهٰجِرِيْنَ وَا لْاَ نْصَا رِ وَا لَّذِيْنَ اتَّبَعُوْهُمْ بِاِ حْسَا نٍ ۙ رَّضِيَ اللّٰهُ عَنْهُمْ وَرَضُوْا عَنْهُ وَاَ عَدَّ لَهُمْ جَنّٰتٍ تَجْرِيْ تَحْتَهَا الْاَ نْهٰرُ خٰلِدِيْنَ فِيْهَاۤ اَبَدًا ۗ ذٰلِكَ الْـفَوْزُ الْعَظِيْمُ
Maksudnya: “Orang-orang yang terdahulu -yang mula-mula (masuk Islam) di antara orang-orang Muhajirin dan Ansar serta orang-orang yang mengikuti mereka dengan baik, Allah redha kepada mereka dan mereka pun redha kepada Allah dan Allah menyediakan bagi mereka syurga-syurga yang mengalir beberapa sungai di dalamnya. Mereka kekal di dalamnya selama-lamanya. Itulah kemenangan yang besar”. [TMQ At Taubah (9): 100]
Setelah saudari Ummul Fadhl iaitu Maimunah dinikahkan oleh Rasulullah SAW pada tahun 6 H dan berpindah ke Madinah, maka Ummul Fadhl dan Abbas juga berpindah ke Madinah.
Ummul Fadhl terkenal sebagai seorang wanita yang sangat dahagakan ilmu. Maka setelah tinggal di Madinah, Ummul Fadhl mempunyai seorang pembimbing yang ditugaskan untuk membawanya ke rumah Rasulullah SAW. dan selalu bertemu Rasulullah baik ketika beliau bersama Maimunah mahupun bersama isteri-isteri Rasulullah yang lain. Dan tidak ada seorang pun yang merasa keberatan dengan kebiasaan Ummul Fadhl ini, kerana semua orang tahu akan keutamaan dan keistimewaan Ummul Fadhl ra.
Mujahidah yang Berani
Abu Ar Rafi’ pembantu Rasulullah SAW. telah menceritakan sebuah peristiwa monumental yang melibatkan keberanian Ummul Fadhil menghadapi Abu Lahab. Abu Ar Rafi’ berkata: “Ketika itu aku masih menjadi pembantu Abbas bin Abdul Muthalib. Cahaya Islam telah menembusi seluruh ahli keluarga Abbas, Abbas telah memeluk Islam, begitu juga Ummul Fadhl dan aku. Masalahnya Abbas bimbang tentang Quraisy dan dia tidak ingin berselisih lagi dengan mereka, sehingga dia menyembunyikan rahsianya. Abbas adalah orang yang sangat kaya dan banyak hartanya berada di tangan orang-orang Quraisy. Ketika itu sedang berlaku perang Badar, sementara Abu Lahab tidak ikut berperang. Dia mendengar tentang kekalahan kaum Quraisy menghadapi tentera Islam”.
Apabila Abu Sufyan tiba, Abu Lahab segera bertanya tentang keadaan pasukan Quraiys. Lantas Abu Sufyan menjawab : “Demi Allah, ketika kami mula bertempur dengan musuh, seolah-olah kami mengulurkan leher-leher kami untuk mereka tebas dan menawan kami sesuka hati. Demi Allah, sebenarnya aku tidak kecewa dengan kekuatan pasukan kita, kerana ada pemandangan yang mengejutkan, kami berhadapan dengan pasukan yang semuanya berpakaian putih dan menunggang kuda yang megah. Mereka seolah-olah terbang dan menerjang dengan hebat, sehingga mustahil bagi sesiapa yang dapat menahannya”.
Abu Rafi menyambung: “Apabila mendengar penjelasan Abu Sufyan, aku berkata, “Demi Allah itu adalah malaikat”. Tiba-tiba Abu Lahab mengangkat tangannya dan menamparku dengan kuat. Aku berusaha mempertahankan diri, namun dia melemparkan aku ke tanah dan menindihku sambil terus memukul aku. Ketika itulah tanpa diduga Ummul Fadhl mengambil sebatang kayu lalu memukul kepala Abu Lahab sehingga menyebabkan kecederaan yang parah”.
Ummul Fadhl menjerit, “Engkau berani memukulnya ketika tuannya tidak ada di sini!” Tanpa banyak bicara, Abu Lahab pergi dengan perasaan malu. Abu Lahab hanya bertahan selama 7 hari selepas kejadian itu kerana Allah menghidapinya penyakit kulit akut yang meragut nyawanya.
Dalam kejadian ini, Ummul Fadhl menunjukkan keberaniannya berhadapan dengan Abu Lahab, tokoh pembesar Quraisy yang digeruni oleh kaumnya. Ummul Fadhil tidak teragak-agak membela hamba yang dizalimi oleh musuh Allah iaitu Abu Lahab. Peristiwa ini juga menunjukkan keberanian Ummul Fadhl melawan kezaliman yang terjadi di hadapannya, walaupun dia tahu apa yang dilakukannya bukan bererti tanpa risiko. Namun kekuatan iman yang tertanam kukuh dalam dirinya, membuatkan dia berani melakukan itu semua tanpa ragu-ragu. Sebab itulah dia digelar mujahidah yang berani.
Kebahagiaan Yang Menyelimuti Hati
Sammak bin Harb mengatakan bahawa suatu ketika Ummul Fadhl berkata : “Wahai Rasulullah SAW, aku sangat suka jika ada seorang dari keluargamu yang tinggal di rumahku”. Rasulullah menjawab : “Fatimah akan melahirkan seorang anak, engkau boleh menyusukan dia bersama-sama dengan anak kamu, Qutsam”.
Ummul Fadhl sangat gembira kerana dapat menjadi ibu susuan kepada cucu Rasulullah SAW., Al Husain. Lebih-lebih lagi Nabi pernah bersabda: ”Al Hasan dan Al Husain adalah pemimpin para pemuda penghuni syurga” (HR. Imam Ahmad dan Thabran). Dengan kata lain, Ummul Fadhl telah berpeluang untuk menjadi ibu susuan bagi pemuda ahli syurga. Ini menjadi keistimewaan tersendiri buat Ummul Fadhl.
Ummul Fadhl juga berasa sangat gembira apabila suaminya Abbas memeluk Islam. Dia sangat gembira kerana suaminya Abbas sentiasa hadir dalam peristiwa-peristiwa besar bersama Rasulullah SAW.. Bukan itu sahaja, dia juga berasa sangat gembira kerana mendengar tentang kedudukan tinggi dan status suaminya di hati Rasulullah SAW.. Hal ini dapat dilihat dalam ungkapan Nabi tentang Abbas. Contohnya Sa’id bin Al Musayyib mengatakan bahawa Saad berkata, “Ketika kami sedang bersama Nabi SAW. di daerah Naqi Al Khail, Abbas datang”. Ketika melihatnya Nabi SAW berkata, “Inilah Abbas bapa saudara Nabi kalian. Dia adalah orang Quraisy yang paling dermawan dan paling baik dalam menjaga hubungan dengan keluarga”. Juga Abdul Muthalib bin Rabiah meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW. bersabda “Mengapa ada beberapa orang yang menyakitiku dengan menyakiti Abbas. Sesungguhnya bapa saudara adalah setaraf dengan ayah. Sesiapa yang menyakiti Abbas bererti telah menyakiti aku”
Kegembiraan Ummul Fadhl tidak terhenti di sini, dia juga sangat gembira dengan kewujudan anak kesayangannya Abdullah bin Abbas yang dilahirkan ketika menjalani tempoh pemboikotan yang dilakukan oleh Quraisy terhadap Bani Hasyim. Ketika Abdullah masih dalam kandungan, Ummul Fadhl mendapat khabar gembira dari Rasulullah.
Dalam sebuah riwayat yang diceritakan, ketika Ummul Fadhl sedang berjalan dan Rasulullah berada di kawasan Hijir, tiba-tiba beliau menyapanya, “Wahai Ummul Fadhl, sesungguhnya engkau sedang mengandung seorang anak lelaki”. Ummul Fadhl terkejut lalu bertanya, “Apakah maksudnya wahai Rasulullah, adakah kerana orang-orang Quraisy telah bersumpah tidak mahu mempunyai anak perempuan?”Rasulullah SAW. menjawab, “Bukan kerana itu. Tetapi seperti yang aku katakan tadi. Jika engkau telah melahirkannya, maka bawalah dia kepadaku”.
Maka setalah melahirkan, Ummu Fadhl membawanya kepada Rasulullah SAW.. Beliau memberi nama Abdullah, lalu mentahnik lidah bayi dengan ludahnya. Setelah selesai Rasulullah SAW. bersabda, “Bawalah anakmu ini, suatu hari nanti kamu akan mendapatinya sebagai seorang anak yang pandai dan bijaksana”.
Ibnu Abbas, anak Ummu Fadhl membesar menjadi seorang pemuda yang tampan, gagah, berbadan tinggi dan tegap, berwibawa, cerdas dan bijaksana.
Suatu ketika tiba giliran Rasulullah di rumah Maimunah, ibu saudara Ibnu Abbas. Maka Ibnu Abbas menyediakan air wuduk yang akan digunakan oleh Nabi pada waktu malam. Maimunah memberitahu Nabi tentang hal tersebut lantas Nabi berdoa: “Ya Allah, fahamkanlah dia tentang agama ini dan ajarkanlah ta’wil (tafsir) kepadanya”.
Ibnu Abbas ra. berkata, “Nabi SAW. berdoa dua kali agar aku dianugerahi hikmah” (HR. Tirmidzi)
Ketika Rasulullah SAW. wafat, Ibnu abbas berusia 13 tahun. Dia terkenal sebagai ulama terbesar umat dan digelar sebagai Al Bahr (laut), kerana mempunyai ilmu pengetahuan yang sangat luas. Malah ketika Umar dan Uthman menjadi Khalifah, maka Ibnu Abbas sering ditanya pendapat dan fatwa dalam pelbagai perkara.
Peranan Ibu dalam Pendidikan Generasi
Sosok Ibnu Abbas ra. yang membesar menjadi ulama terhebat pada zamannya, tentunya tidak terlepas dari peranan ibunya, Ummul Fadhl. Seorang ibu yang sentiasa bersemangat menuntut ilmu sejak masuk Islam, ibu yang cerdas, cekal dan mujahidah yang berani. Apabila kita mengambil contoh Ummul Fadhl sebagai ibu pendidik generasi, ia adalah satu perkara yang luar biasa. Peranan yang tidak boleh dipandang remeh.
Lebih-lebih lagi dalam era kapitalis liberal hari ini. Seringkali wanita Islam terperangkap dalam pemikiran kapitalis liberal, sehingga lebih memilih bekerja di luar rumah untuk mengejar kerjaya atau status sosial yang tinggi di mata manusia. Sedangkan peranan ibu sebagai pendidik generasi sering diabaikan malah sering dipandang remeh. Mereka lupa bahawa sosok Abdullah bin Abbas yang membesar menjadi ulama terhebat dan Ahli Tafsir Terkemuka yang bijaksana pada zamannya adalah kerana peranan besar dari ibunya dalam mendidik dan membimbingnya.
Kepintaran dan kehebatan Ummul Fadhl dalam mendidik generasi terbukti dengan kehebatan enam orang anaknya yang mempunyai kedudukan yang mulia iaitu Fadhl, Abdullah Al-Faqih (Ibn Abbas), Ubaidillah Al-Faqih, Qutsam, Ma’bad dan Abdurrahman.
Wanita dengan Kepintaran dan Kebijaksanaan
Ummul Fadhl ra. menghabiskan hari-harinya dengan sibuk mempelajari pelbagai perkara daripada Rasulullah SAW. antaranya petunjuk, kesabaran, akhlak dan ilmu sehingga dia menjadi salah seorang wanita yang benyak meriwayatkan hadis. Ramai sahabat yang menimba ilmu daripadanya termasuk dua anak lelakinya, Abdullah (Ibnu Abbas) dan Tamam.
Allah azza wa jalla mengurniakan kemuliaan yang lain iaitu dia dan suaminya Abbas, turut menunaikan haji wada’ bersama Rasulullah SAW.. Ummu Fadhl mengalami kejadian penting semasa wukuf di Arafah.
“Umair pembantu Ibnu Abbas menceritakan dari Ummul Fadhl bahawa ketika wukuf di Arafah ada beberapa orang yang berdebat berhampirannya tentang puasa Rasulullah SAW. pada hari itu. Sebahagian berpendapat bahawa Rasulullah SAW. berpuasa tetapi sebahagian yang lain mengatakan bahawa beliau tidak berpuasa. Melihat hal itu, Ummul Fadhl ra. segera menghantar sebuah bekas berisi susu kepada Rasulullah SAW. yang sedang duduk di atas belakang untanya. Dan Rasulullah pun meminumnya” (Muttafak’alaih). Itulah kepintaran dan kebijaksanaan Ummul Fadhl dalam menyelesaikan perdebatan yang sedang berlaku berkaitan puasa Rasul.
Perpisahan dengan Rasulullah Tidak Mematahkan Semangat Juang
Ketika Rasulullah SAW wafat, Ummu Fadhl merasa sangat sedih. Namun, dia tetap bersabar dan menyerahkan segalanya kepada Allah. Dia tetap berpegang teguh dengan keyakinan dan kebiasaan baiknya. Dia terus beribadah, hidup zuhud, solat malam dan berpuasa. Malah dia masih giat menuntut ilmu dan bekerja keras untuk berdakwah di jalan Allah SWT.
Abu Bakar ra., Umar ra. dan Uthman ra. sangat memahami tingginya kedudukan Ummul Fadhl di sisi Rasulullah SAW., sehingga kedua-dua sahabat Rasulullah SAW. ini juga sangat menghormati Ummul Fadhl. Kerana Ummul Fadhl adalah wanita pertama yang memeluk Islam selepas Khadijah dan dia telah berkorban segalanya untuk membela agama Allah.
Setelah melalui perjalanan yang jauh tetapi penuh dengan usaha dan pengorbanan demi menegakkan agama Allah. Ummul Fadhl terbaring lemah di atas katil kematian. Beliau telah memberikan banyak sumbangan kepada agama ini, salah satunya adalah peranannya yang sangat besar dalam melahirkan dan mendidik ulama besar umat iaitu Abdullah bin Abbas. Abdullah bin Abbas adalah sebahagian dari tabung kebaikannya yang akan dirasai hasilnya pada hari akhirat kelak.
Rasulullah SAW. telah bersabda : “Apabila mati anak adam, maka terputuslah seluruh amalannya kecuali tiga perkara iaitu sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan anak soleh yang mendoakannya” (HR. Muslim, Abu Dawud, Tirmidzi, An Nasai dari Abu Hurairah)
Ibrah Yang Boleh Kita Pelajari daripada Tokoh Ummul Fadhl ialah
1. Wanita solehah yang teguh iman dan tidak ragu-ragu dalam menerima kebenaran yang datang dari Allah dan Rasul-Nya.
2. Wanita solehah yang mempunyai kedudukan yang mulia kerana ketinggian ilmunya, yang diperolehinya dengan belajar bersungguh-sungguh tanpa mengira usia.
3. Wanita mujahidah yang berani menentang kezaliman musuh Allah.
4. Wanita solehah adalah ahli ibadah dan sanggup mengorbankan segala kemampuan untuk membela agama Islam.
5. Wanita solehah yang melahirkan dan mendidik anak-anak lelakinya sehingga menjadi ulama terbesar umat seperti Abdullah bin Abbas atau Ibnu Abbas.
6. Wanita zuhud yang tidak tergoda oleh gemerlap dunia dan tetap fokus pada tugas utamanya sebagai pendidik generasi dan setia menemani suami dalam perjuangan, namun tidak lupa berperanan dalam perjuangan untuk Islam.
Semoga kita dapat mengambil ibrah dan menjadi wanita solehah yang diredhai oleh Allah seperti para shahabiyah. Aamiin.
Sumber : 35 Sirah Shahabiyah jilid 2 karya Mahmud Al Mishri
#ThePowerOfMother #UmmuFadhl #MujahidahBerani #IbuUlamaTerhebat