[Kisah Inspiratif] Hindun binti Al-Muhallab, Isteri Dermawan si pemimpin
Penulis: Chusnatul Jannah
Nama penuhnya ialah Hindun binti Al-Muhallab bin Abi Shafarah al-Azdiyah al-Bashriyah. Beliau merupakan seorang wanita yang mahir dan beretika. Ayahnya ialah seorang pemimpin pahlawan dan panglima tentera iaitu Muhallab bin Abi Shafarah. Muhallab dikenal sebagai orang yang pemurah, berani, mulia dan bijak. Beliau meninggal dunia pada tahun 82 H.
Kehidupan Hindun
Hindun berkahwin dengan Hajjaj bin Yusuf ats-Tsaqofi. Sejak kecil, Hindun dikenali sebagai seorang yang bijak, pandai, petah berkata-kata, mesra bahasa dan mulia budi pekertinya. Semasa hidup, beliau meriwayatkan hadis dari ayahnya Al-Muhallab, Hasan al-Bashri, dan ‘Asy-Sya’tsa Jabir bin Zaid.
Ada yang meriwayatkan hadis Hindun. Antaranya, dua anak saudara Hajjaj bin Uyainah iaitu Ziyad bin Abdullah Al-Quraisyi dan Abu Salamah, hamba Al-‘Atik.
Walaupun Hindun hidup dalam kekayaan, Hindun tidak menjadikannya sebagai nikmat di dunia. Beliau rajin bersedekah. Banyak kisah dan cerita tentang personaliti istimewanya. Dia percaya bahawa orang yang baik dan dermawan pasti akan beruntung di mana sahaja mereka berada.
Dermawan
Ummu Abdullah al-Atki berkata, “Aku datang kepada Hindun binti Al-Muhallab, semasa dia bertasbih menggunakan permata. Setelah selesai bertasbih, dia memberikan tasbihnya kepadaku dan berkata, Berikanlah ini kepada wanita-wanita di sekelilingmu. ‘”
Kisah seperti ini tidak menghairankan bagi seorang wanita yang terikat kuat dengan sifat dermawannya. Dalam kitab Al-Mahasin wa Al-Mal, Imam Baihaqi mengatakan bahawa Hindun pernah memerdekakan 40 budak dalam satu hari.
Beliau menganggap semua ini merupakan bahagian daripada nikmat Allah SWT kepadanya. Baginda pernah berpesan, “Jika kamu melihat nikmat itu datang mencurah-curah, maka segeralah bersyukur sebelum ia menghilang dengan cepat.”
Beliau juga mempunyai pegangan sendiri tentang ketaatan dan kemaksiatan. Pegangan ini berdasarkan pemahaman dan akalnya yang mendalam. Hindun berkata, “Ketaatan seorang hamba kepada Allah SWT disertai dengan cinta. Orang yang taat adalah orang yang dicintai orang lain walaupun rumahnya jauh dan terpencil. Sedangkan kemaksiatan adalah kawan terhadap kebencian. Orang yang bermaksiat pasti dibenci, walaupun hubungannya akrab dan selalu menerima bantuannya.”
Hindun binti Al-Muhallab mempunyai minat yang besar dalam bab fikih. Walaupun beliau merupakan seorang isteri kepada seorang pemimpin yang hebat, anak kepada seorang pemimpin besar yang dikelilingi dengan kekayaan dan kemewahan, namun semua itu bukan penghalang bagi Hindun untuk bekerja dengan tangannya sendiri.
Seperti yang diceritakan Ziyad bin Abdullah, salah seorang murid Hindun berkata, “Saya melihat tangannya ada kesan benang sulaman. Lalu saya bertanya, “Adakah kamu menyulam walaupun sebagai isteri pemimpin?” Hindun menjawab bahawa dia pernah mendengar dari bapanya, Rasulullah SAW bersabda, “Seberapa beratnya kalian bekerja, maka sebanyak itulah kalian berpahala. Dan ianya dapat mengusir syaitan dan menghilangkan prasangka buruk.”
Kisah dengan Umar bin Abdul Aziz
Hindun mempunyai banyak cerita bersama Umar bin Abdul Aziz. Ibnu Asakir berkata, pada suatu hari Hindun bertemu dengan Umar bin Abdul Aziz. Ketika itu, Umar telah memenjarakan Yazid bin Al-Muhallab, saudara lelaki Hindun. Hindun berkata, “Wahai Amirulmukminin, atas dasar apa engkau menahan saudaraku?” Umar menjawab,
“Saya takut dia akan membuat masalah dalam kalangan orang Islam.” Hindun bertanya, “Apakah hukuman itu selepas melakukan kesalahan atau sebelumnya?”
Mendengar soalan itu, Umar berfikir semula mengenai tindakannya.
Semoga kisah Hindun menjadi motivasi untuk kita. Sifat dermawannya dapat kita temukan dengan mudah dalam kisah para sahabat, tabiin serta orang-orang yang mengikuti mereka.
Allah SWT berfirman, “Kamu tidak akan sampai kepada kebajikan (yang sempurna) sehingga kamu memberikankan sebahagian harta yang kamu cintai. Dan apa sahaja yang kamu berikan, Allah SWT mengetahuinya.” [TMQ Ali Imran (3):92]