[Nafsiyah] Lemah Bertutur kerana Futur
Para aktivis dakwah mesti berwaspada ketika futur melanda. Lisan boleh kelu untuk menyampaikan dakwah, rasa malas membuatnya tidak melakukan gerak kerja, banyak menunda perkara dakwah, lambat kerana tidak lagi bersemangat, dan tidak bersemangat melakukan kebaikan.
Rasulullah SAW pernah mengingatkan kita, “Sesungguhnya setiap amal ada saat semangatnya dan setiap saat semangat ada saat futurnya.” [HR Ahmad]. Oleh kerana itu, aktivis dakwah hendaklah senantiasa meminta perlindungan Allah SWT kerana futur boleh menimpa manusia bila-bila sahaja.
Dr. Nashir Al-Umar menjelaskan, “Futur adalah rasa malas, menunda, lambat setelah bersemangat, tidak bersemangat dalam kebaikan.” (Al Futur, maddzohir asbab ilaj, hlm. 22). Futur sememangnya boleh menimpa semua manusia tetapi yang lebih nyata ketika menimpa para aktivis dakwah, ahli ibadah, dan penuntut ilmu.
Keadaan futur biasanya terjadi secara perlahan. Seseorang tidak serta merta terputus secara sepenuhnya dari suatu amal. Sebelumnya dia rajin, bertekad kuat, bersemangat, dan rutin melakukan suatu amalan. Namun, kerana terdapat kesukaran yang tidak segera dapat diselesaikan, malah diabaikan, menjadi malas, dan bosan, akhirnya “virus” futur semakin menyebar pada dirinya.
Gejala Futur
Sebelum para aktivis dakwah tumbang kerana futur, sebaiknya mengenali gejala-gejalanya.
Pertama, malas melakukan ketaatan dan ibadah. Firman Allah SWT, “Sesungguhnya orang-orang hendak menipu Allah, tetapi Allah Mahakuasa membalas tipu daya mereka. Jika bangkit untuk solat, mereka bangkit dalam keadaan malas. Mereka riya kepada manusia dan tidak berzikir kepada Allah melainkan sedikit.” [TMQ an-Nisa (4): 142).
Allah juga berfirman dalam surah yang lain, “Tidaklah mereka (orang munafik) mendatangi solat dalam keadaan malas, dan tidaklah berinfak melainkan disertai perasaan benci.” [TMQ at-Taubah (9) : 54]
Ada kalanya para aktivis dakwah mula malas mengerjakan amalan nafilah seperti solat malam dan solat-solat sunat rawatib. Selain itu, malas menghadiri majlis ilmu dan melakukan hubungan dakwah di tengah-tengah umat. Jika keadaan ini terjadi, segeralah sedar bahawa ini merupakan gejala menuju futur.
Kedua, hati terasa kering dan mengeras. Hati menjadi “keras” akibat dosa-dosa dan tidak tersentuh dengan nasihat Allah dan RasulNya. FirmaNya, “Sekali-kali tidak, tetapi hati mereka tertutup oleh perbuatan dosa yang mereka lakukan.” [TMQ al-Mutaffifin (83): 14].
Terkadang kerasnya hati sampai pada tahap yang tidak dapat mengambil pengajaran dari kematian. Bahkan hati yang keras boleh menjadi hati yang mati. Salah satu tanda matinya hati adalah tidak lagi “bergetar” jika ayat-ayat Allah dibacakan, menolak kebenaran, nasihat siapa pun tidak lagi dihiraukan. Astaghfirullah.
Ketiga, melakukan dosa dan maksiat secara terus menerus, disertai sikap meremehkan dosa dan maksiat tersebut. Bahkan, dia boleh melakukannya secara mujaharah (melakukan dosa secara terang-terangan). Rasulullah SAW bersabda, “Setiap umatku (berpeluang) untuk diampuni, kecuali orang-orang yang melakukan dosa secara terang-terangan.” [HR Bukhari dan Muslim].
Keempat, tidak bertanggung jawab serta meremehkan amanah yang dibebankan di bahunya. Seseorang yang futur biasanya tidak mementingkan amanah yang dibebankan kepadanya. Dia hidup tanpa memiliki matlamat dan tujuan yang tinggi. Cita-cita dan keinginannya tidak tinggi.
Jika diberi amanah dan tugas dakwah, dia meremehkan dan melalaikannya. Padahal menunaikan amanah merupakan sebahagian dari ketaatan pada Allah SWT.
Kelima, memutuskan hubungan persaudaraan, kemudian berubah menjadi saling benci, serta menjauhi. Padahal sebelumnya, mereka saling mencintai kerana Allah, tetapi futur menyebabkan mereka menjauhi saudarinya dan muncul rasa benci. Hal tersebut disebabkan dosa masing-masing atau salah satu pihak.
Sabda Rasul SAW, “Tidaklah dua orang saling mencintai kerana Allah atau kerana Islam, kecuali dipisahkan oleh suatu dosa yang dilakukan salah seorangnya.” [HR Ahmad dan Al-Haitsami]
Menjauhi rakan dan saudari yang solehah, lebih memilih menyendiri atau bergaul dengan rakan yang buruk, hingga dia jauh dari jalan kebenaran.
Keenam, sibuk dengan urusan dunia serta melalaikan ibadah, menuntut ilmu, dan dakwah.
Ketujuh, banyak berbicara dan sedikit melakukan gerak kerja untuk kemaslahatan dakwah.
Lemah Bertutur
Tidak lagi bersemangat menuntut ilmu akibat futur menjadikan aktivis dakwah lemah untuk bertutur (berdakwah dengan lisan atau tulisan) di tengah-tengah umat. Padahal dha’ful himmah (tekad yang lemah) dalam menuntut ilmu adalah salah satu musibah besar bagi aktivis dakwah.
Aktivis dakwah mestilah berusaha keluar dari keadaan futur. Bagaimana caranya?
Pertama, memohon pertolongan dan petunjuk Allah agar diberikan hidayah. Seperti doa yang diajarkan Rasulullah SAW kepada Fatimah RA , “Wahai Rabb yang Maha hidup, wahai Rabb yang Berdiri Sendiri (tidak memerlukan segala sesuatu), dengan rahmatMu, aku minta pertolongan. Perbaikilah segala urusanku, dan jangan diserahkan kepadaku sekali pun sekejap mata (tanpa mendapat pertolongan dariMu).” [HR Ibnu As-Sunni].
Allah SWT berfirman, “Wahai Tuhan kami, berikanlah rahmat kepada kami dari sisiMu, dan sempurnakanlah bagi kami petunjuk yang lurus dalam urusan kami.” [TMQ Al-Kahfi (18) : 10].
Kedua, berusaha untu istiqomah dalam kebaikan. Nasihat Rasulullah SAW, “Bertakwalah kepada Allah dimana pun engkau berada. Iringilah keburukan itu dengan kebaikan, nescaya kebaikan itu akan menghapusnya (keburukan). Dan bergaullah dengan manusia dengan pergaulan yang baik.” HR Tirmidzi].
Ketiga, senantiasa menghadirkan idrak sillah billah dalam setiap amal yang dilakukan. Idrak sillah billah adalah kesedaran bahawa sesuatu yang dilakukan semata-mat kerana melaksanakan perintah Allah SWT. Dia menyedari bahawa dirinya makhluk bagi Sang Pencipta. Dia mesti senantiasa tunduk dan taat pada aturanNya di mana pun dia berada.
Saudariku, ketika futur melanda, tidak ada yang diperlukan selain Allah SWT. Dekati Allah, bukan semakin menjauh. Betulkan niat ketika beramal, kerana boleh jadi belum ikhlas kerana masih bercampur dengan sesuatu yang lain, bukan keranaNya.
Duhai aktivis dakwah, ketahuilah bahawa kita tidak akan pernah sampai pada tujuan jika tidak fokus dalam perjuangan. Jika banyak hal yang mengganggu fokus kita, hadapilah dengan baik dan bijaksana. Jangan menghindari masalah, tetapi hadapi dengan kesabaran.
Jangan memilih berundur kerana futur. Sesungguhnya, orang yang hebat tidak lahir dari ujian dan tentangan yang kecil. Namun perlu difahami, besar mahupun kecil ujian hendaklah diselesaikan dengan pemikiran Islam, bukan marah, menghilang, atau menyalahkan orang lain dan keadaan. Wallahu’alam bissawab.
Sumber: muslimahnewsid