[TPOM] Makna Kesedaran Politik dan Kesannya dalam Pola Didik Ibu Bapa (2)
“Setiap anak dilahirkan dalam keadaan fitrah, lalu kedua orang tuanyalah yang menjadikannya sebagai seorang Yahudi, Nasrani ataupun Majusi.” (HR Muslim No.4807)
Oleh kerana iman dan kematangan politik itu tidak boleh diwarisi, maka menjadi tanggungjawab ibu bapa mencorakkan anak yang dilahirkan suci, putih ibarat kertas putih. Masa depan anak-anak ditentukan oleh sentuhan pertama ibu bapa. Sudah pasti sebagai ibu bapa yang beragama Islam, pasti menginginkan anak-anak yang soleh dan solehah. Oleh itu, sentuhan pertama ibu bapa terhadap anak hendaklah bermula dengan kesedaran hubungan dirinya dengan Allah SWT (idrak silah billah), yang mana hal ini sangat dipengaruhi oleh kesedaran politiknya sebagai seorang muslim.
Politik dalam Islam bermakna riayah asy-syu’unil ummah atau mengatur urusan manusia (umat) dalam negeri dan luar negeri dengan hukum-hukum Islam (Abdul Qadim Zallum, Afkaru Siyasiyah). Seorang muslim yang mempunyai kesedaran politik Islam akan sentiasa bersedia dalam melaksanakan pelbagai peranannya baik peranan di ranah domestik (rumah tangga) mahupun di ranah umum demi meraih redha Allah dan demi kemaslahatan umat Muhammad SAW.
Seorang muslim yang mempunyai kesedaran politik Islam akan mengantarkan dirinya secara alami terjun dalam perjuangan membentuk pemahaman khas (ideologi Islam) – mempelajari Islam, hukum-hukum Islam, tsaqafah Islam. Seterusnya, menjadikannya seorang yang sentiasa bersedia untuk memimpin umat dengan cahaya Islam.
Adapun dalam konteks peranan sebagai ibu bapa, asas kesedaran politik yang dimiliki ibu bapa akan mengantarkan mereka kepada usaha penuh dalam pengasuhan dan pendidikan anak-anak. Ibu bapa yang mempunyai kesedaran politik Islam sedar akan tanggungjawab untuk memastikan agar visi politik Islam dapat ditanam dalam diri anak sejak kecil. Memahamkan anak akan kesedaran hubungan dengan Allah (idrak silah billah) dari kecil sehingga terbentuk aqliyah (pola fikir) Islam dan nafsiyah (pola sikap) Islam seterusnya menjadikan anak terbiasa dengan ketaatan melaksanakan syariat-Nya dengan syakhsiyyah Islam, bahkan bersedia untuk memimpin umat apabila mereka dewasa kelak.
Seseorang yang mempunyai syakhsiyyah (keperibadian) terbentuk oleh aqliyah (pola fikir) dan nafsiyah (pola sikap)-nya. Pola fikir adalah cara yang digunakan untuk memikirkan sesuatu, yakni cara mengeluarkan keputusan hukum tentang sesuatu, berdasarkan kaedah tertentu yang diimani dan diyakininya. Ketika seseorang memikirkan sesuatu untuk mengeluarkan keputusan hukum terhadapnya dengan menyandar kepada akidah Islam, maka aqliyah-nya merupakan aqliyah Islam (pola fikir Islam). Sedangkan nafsiyah (pola sikap) adalah cara yang digunakan seseorang untuk memenuhi tuntutan gharizah (naluri) dan hajat al-adhawiyah (keperluan jasmani); yakni usaha memenuhi tuntutan tersebut berdasarkan kaedah yang diimani dan diyakininya. Jika pemenuhan naluri dan keperluan jasmani tersebut dilaksanakan dengan sempurna berdasarkan akidah Islam, maka nafsiyahnya dinamakan nafsiyah Islamiyah. [Syaikh Taqiyuddin an-Nabhani, Asy-Syakhsiyah al-Islamiyah]
Oleh itu, makna konteks kematangan kesedaran politik ibu bapa dalam mengasuh dan mendidik anak-anak mereka adalah ibu bapa perlu sedar sepenuhnya akan tanggungjawab pendidikan anak bukanlah ada pada sekolah atau pihak lain yang terformalisasi sebagai ejen pendidik. Sebagai ibu bapa juga, perlu sedar bahawa mereka adalah guru dan pendidik pertama dan utama bagi anak-anak. Keberhasilan pendidikan anak ditentukan oleh kesedaran ibu bapa untuk terlibat secara penuh dalam proses pendidikan anak. Mulai dari penanaman akan kesedaran visi hidupnya sebagai bahagian dari umat Muhammad SAW yang mulia, berbagai tujuan (ghayah) yang ingin diraih oleh anak, serta pilihan aktiviti anak yang terancang dalam visi besar perjuangan masa depan umat Muhammad yang mulia. Ibu bapalah yang wajib memastikan semua itu terwujud pada diri anak-anak mereka.
- Cicin Yulianti (Geopolitik Ibu)
#thepowerofmother #generasimuslim #ibumadrasahpertama #kesedaranpolitik