[Keluarga] Menumbuhkan Jiwa Berkorban pada Anak
Penulis: Najmah Saiidah
Allah SWT berfirman,
فَلَمَّا بَلَغَ مَعَهُ ٱلسَّعۡيَ قَالَ يَٰبُنَيَّ إِنِّيٓ أَرَىٰ فِي ٱلۡمَنَامِ أَنِّيٓ أَذۡبَحُكَ فَٱنظُرۡ مَاذَا تَرَىٰۚ قَالَ يَٰٓأَبَتِ ٱفۡعَلۡ مَا تُؤۡمَرُۖ سَتَجِدُنِيٓ إِن شَآءَ ٱللَّهُ مِنَ ٱلصَّٰبِرِينَ
“Maka ketika anaknya itu sampai (ke peringkat umur yang membolehkan dia) berusaha bersama-sama dengannya, Nabi Ibrahim berkata: “Wahai anak kesayanganku! Sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku akan menyembelihmu; maka fikirkanlah apa pendapatmu?”. Anaknya menjawab: “Wahai ayah, jalankanlah apa yang diperintahkan kepadamu; Insya Allah, ayah akan mendapati daku dari orang-orang yang sabar.” [TMQ As-Saffaat (37):102].
Ayat ini mengingatkan kita tentang pelaksanaan ibadah korban Nabi Ibrahim AS yang telah lama mengimpikan untuk mendapat zuriat. Allah SWT pun mengurniakan seorang anak lelaki yang bernama Ismail. Namun, setelah anak lelaki itu mencapai usia remaja, Allah SWT memerintahkan Nabi Ibrahim AS untuk menyembelihnya. Keduanya bergegas melaksanakan perintah Allah SWT. Tidak nampak langsung keraguan apatah lagi keengganan atau tentangan. Kedua-duanya dengan ikhlas melaksanakan perintah Allah SWT walaupun ianya mengorbankan sesuatu yang paling dicintai. Ibrahim rela kehilangan anaknya dan Ismail tidak kisah kehilangan nyawanya.
Kemudian, Allah SWT menurunkan tanda kebesaranNya. Allah SWT menggantikan Nabi Ismail AS dengan seekor kambing kibas besar. Allah SWT menyaksikan ketaatan dan kesabaran kedua Nabi agung ini. Peristiwa agung ini diabadikan sebagai teladan bagi manusia sepanjang zaman.
Ketundukan, pengorbanan dan kejayaan mereka perlu dijadikan contoh kepada kita. Sebagaimana Nabi Ibrahim AS, kita juga perlu menerima pelbagai kewajipan yang mesti dilaksanakan. Sesiapa yang bersedia untuk tunduk dan patuh dalam melaksanakan kewajipan ini, mereka selamat dan terjamin kejayaan. Sebaliknya, yang ingkar adalah orang yang gagal dan celaka.
Sesungguhnya adanya ujian dan pengorbanan adalah sesuatu yang akan ada dalam setiap amal. Cuma, kita sebagai umat Nabi Muhammad SAW perlu memilih amal soleh, aktiviti yang mendatangkan pahala sama ada yang ringan atau berat. Jika amal tersebut bersifat kewajipan, maka perlu kita tunaikan walaupun berat. Rasulullah SAW dan para sahabatnya ketika menunaikan perintah Allah SWT juga tidak terlepas dari ujian dan memerlukan pengorbanan dalam melaksanakannya. Di sinilah keimanan dan ketaatan kita diuji. Adakah kita termasuk orang yang sanggup berkorban untuk melaksanakan perintahNya atau orang yang enggan untuk berperang sambil mencari kebenaran?
Semenjak dakwah oleh Nabi Muhammad SAW sehingga berdirinya sebuah negara di Madinah, baginda memerlukan masa selama 13 tahun. Selama itu, baginda tidak jemu untuk menyampaikan dakwahnya, mulai dari akidah sehingga kewajian untuk tunduk terhadap syariat. Begitu juga para sahabat dalam berdakwah, mereka sering menerima pelbagai ujian, fitnah dan tekanan baik fizikal mahupun mental. Namun, semua ini tidak pernah membuat mereka tarik diri dan menjadi takut. Mereka tetap teguh menyeru kebenaran Islam.
Abu Dzarr al-Ghifari, ketika berdakwah kepada kaum Quraisy malah menerima seksaan yang berat. Beliau dipukul sehingga pengsan. Abdullah bin Mas’ud juga dipukul beramai-ramai oleh kafir Quraisy ketika membacakan Al-Quran di khalayak ramai. Rakan-rakan lain juga mendapat perlakuan yang tidak jauh bezanya. Tidak sedikit juga yang syahid ketika berperang, seperti Yasir dan isterinya.
Kegigihan dan pengorbanan mereka dalam berjuang membuahkan hasil. Allah SWT membalas mereka dengan pahala, syurga dan keredhaanNya. Mereka juga mendapat anugerah kemenangan di dunia iaitu tertegaknya Negara Islam di Madinah. Dari situlah, Islam mula tersebar ke seluruh dunia. KemuliaanNya menerangi kehidupan. Dalam waktu yang singkat, orang ramai mula memasuki agama Islam.
Berikut merupakan contoh generasi terbaik umat ini pada masa lalu. Mereka bukan sahaja orang yang bersedia dan sanggup berkorban, tetapi juga generasi yang sentiasa merindui dan menikmati pengorbanan di jalan Allah SWT melebihi menyayangi diri sendiri.
Bagaimana dengan kita dan generasi sekarang? Sudahkah kita mempertaruhkan nyawa kita di jalan Allah SWT? Sudahkah kita mempersiapkan anak-anak kita menjadi generasi yang bersedia berkorban demi tertegaknya Islam?
Jelas, Islam memerlukan pengorbanan daripada kita dan anak-anak kita sebagai generasi pelapis. Semakin banyak kita berkorban, semakin dekat kita kepada kemenangan. Sebaliknya, semakin kurang kita berkorban, semakin jauh pula kita akan mencapai kemenangan. Sikap pengorbanan yang berlandaskan keimanan dan ketaatan terhadap Allah SWT inilah yang perlu ditanamkan kuat dalam diri dan keluarga kita terutama anak-anak dan generasi muda masa kini. Di tangan merekalah sesungguhnya, masa depan umat benar-benar digenggam sehingga lahir generasi harapan yang bersedia untuk memperjuangkan menegakkan syariat Islam di muka bumi.
Mengajar Nilai Pengorbanan kepada Anak
Keluarga merupakan tempat pertama pendidikan untuk kanak-kanak sejak mereka mengenali dunia. Dalam keluarga juga, mereka tumbuh dan membesar sebelum mengenali dunia di luar persekitaran keluarga. Oleh itu, keluarga terutama ibu bapa sebagai sekolah pertama anak-anak memainkan peranan penting untuk memupuk semangat pengorbanan dalam diri anak-anak yang berlandaskan ketaatan kepada Allah SWT. Ibu bapa boleh melakukan beberapa usaha untuk menumbuhkan semangat berkorban dalam diri anak-anak mereka.
- Menanamkan akidah atau nilai keimanan yang kuat dalam diri anak-anak.
Dari kisah pengorbanan keluarga Nabi Ibrahim AS, banyak pengajaran yang boleh kita ambil salah satunya ialah mengajarkan anak-anak untuk menjadi insan yang mempunyai jiwa berkorban yang tinggi. Nabi Ismail AS ketika masih muda, mampu mengorbankan dirinya untuk disembelih oleh ayahnya semata-mata untuk mentaati perintah Allah SWT. Ketaatan Nabi Ismail AS tentunya tidak datang secara kebetulan. Ia lahir dari bimbingan ayah dan ibunya. Penanaman aqidah atau nilai keimanan yang kuat kepada Nabi Ismail AS melahirkankan ketaatan dan sikap sanggup berkorban apa sahaja termasuk jiwa untuk Allah SWT. Inilah yang perlu sentiasa ditanamkan dalam diri anak-anak kita. Keimanan kepada Allah SWT di atas segalanya, maka mereka hanya taat dan patuh terhadap apa yang diperintahkan Allah SWT. Iman yang teguh akan menjadi asas yang kukuh dan melahirkan semangat pengorbanan yang kuat.
- Mengukuhkan keyakinan tentang qada dan qadar dalam jiwa anak.
Keyakinan yang kuat terhadap segala ketentuan dan ketetapan Allah SWT akan membawa seseorang untuk tunduk sepenuhnya kepada takdir Allah SWT, tetapi masih terus berusaha dan berkorban. Dia percaya bahawa pengorbanan yang dilakukan akan membawa kebaikan selama berada di jalannya. Dia ikhlas untuk mengorbankan masa, harta, kesenangan, bahkan jiwanya hanya untuk Allah SWT dan bersedia untuk mengambil risiko demi berjuang di jalan Allah SWT.
- Selalu menceritakan tentang kisah para Nabi, Rasulullah SAW, sahabat dan orang-orang soleh dalam berkorban.
Peristiwa pengorbanan Nabi Ibrahim AS dan Ismail AS adalah kisah yang sangat nyata dan mudah difahami oleh anak-anak. Anak akan tertarik jika disampaikan secara terperinci fakta-fakta yang terjadi pada masa lalu. Begitu juga dengan ujian dan pengorbanan yang dialami oleh Nabi Muhammad SAW dan sahabatnya.
Ibu bapa juga boleh menceritakan kisah Sultan Salahuddin al-Ayyubi, generasi terkemudian yang mengorbankan cintanya di jalan Allah SWT. Beliau lebih gemar menikmati hidup di khemah yang terdapat di tengah-tengah padang pasir dibandingkan dengan hidup selesa di istana. Sejarawan menulis, “Setiap tutur kata Sultan berkisar tentang jihad dan mujahidin. Beliau sentiasa memerhatikan senjatanya dan lebih suka tinggal di khemah tengah-tengah padang pasir.”
Semoga dengan usaha kita dalam menceritakan kisah-kisah teladan ini dapat menumbuhkan jiwa pengorbanan dalam diri kanak-kanak.
- Tunjukkan teladan kepada anak.
Ibu bapa adalah orang yang paling rapat dan pendidik pertama bagi anak-anak. Kanak-kanak biasanya akan mengikuti apa yang dilakukan oleh orang sekelilingnya. Oleh itu, ibu bapa memainkan peranan penting dalam memberikan contoh yang baik kepada anak-anak termasuk pengorbanan. Dimulakan dengan memberi penjelasan tentang makna berkorban dan contoh-contoh nilai pengorbanan oleh Rasulullah SAW dan para sahabat. Dengan cara ini, anak-anak akan memahami sebab-sebab mengapa seorang muslim wajib menghiasi dirinya dengan sikap mulia ini.
Apa yang penting juga ialah sentiasa memberi contoh kepada anak-anak tentang sikap berkorban, contohnya bersedekah, berkorban, menolong jiran, dan sebagainya. Dengan melihat contoh yang baik, anak-anak akhirnya mempunyai semangat yang kuat untuk sentiasa berkorban semata-mata kerana ketaatan mereka terhadap Allah SWT.
- Ajak anak-anak untuk berkorban dalam kehidupan sebenar.
Perkara terakhir yang ibu bapa boleh lakukan ialah mengajak anak-anak untuk berkorban bersama. Banyak perkara yang boleh dilakukan bermula dari perkara yang mudah. Contohnya, berkongsi makanan dengan jiran atau sahabat. Kita juga boleh mengajak anak-anak untuk mengorbankan perkara yang mereka suka atau sayang untuk diberikan kepada orang lain yang lebih memerlukan. Dengan terus melatih jiwa berkorban dalam perkara-perkara kecil serta memantapkan imannya, in Syaa Allah anak-anak akan terbiasa dan sanggup melakukan apa sahaja pengorbanan demi ketaatan kepada Allah SWT.
Semoga Allah SWT memudahkan kita untuk mendidik anak-anak menjadi Ismail yang rela berkorban nyawa demi ketaatan kepada Allah SWT. Aamiin.