Kenyataan Media
Kempen Antarabangsa dan Hari Tindakan Wanita Sedunia untuk Palestin dengan Seruan kepada Tentera Muslim agar Menyelamatkan Wanita dan Kanak-Kanak Gaza serta Membebaskan Keseluruhan Tanah Al Aqsa
Ketika pengeboman ke atas Gaza berterusan oleh entiti ‘Zionis’ yang kejam, wanita dan kanak-kanak telah menanggung beban penyembelihan besar-besaran, di mana 70% daripada mereka mati syahid. Pengeboman ke atas bangunan kediaman, tempat perlindungan, sekolah, hospital dan seluruh kawasan kejiranan telah menyebabkan Gaza menjadi tanah perkuburan untuk wanita dan kanak-kanak, dengan lebih 4500 kanak-kanak dan 3000 wanita terkorban sejak 7 Oktober. Penjajah Zionis telah mengebom Hospital Bersalin Al-Mahdi, Hospital Kanak-Kanak Al Nasr dan Al Rantisi yang menjadi tempat perlindungan bagi para wanita dan kanak-kanak yang kehilangan tempat tinggal; pesawat perangnya telah menjatuhkan fosforus putih ke atas sekolah-sekolah; dan dianggarkan seorang anak Palestin dibunuh dalam setiap 10 minit. Pengepungan kejam itu telah mengakibatkan para ibu terpaksa menjalani pembedahan caesarean tanpa bius, doktor melakukan amputasi kepada kanak-kanak yang cedera tanpa bius, manakala bayi dalam inkubator mati kerana hospital kehabisan oksigen dan bahan api. Misi mereka yang jelas adalah untuk menghapuskan dan melakukan pembersihan etnik terhadap penduduk Palestin yang bakal menjadi masa depan Tanah yang Diberkati Al Aqsa.
Sebagai tindak balas terhadap genosid dan Nakba abad ke-21 ini, Bahagian Muslimah di Pejabat Media Pusat Hizbut Tahrir dengan kerjasama Muslimah Hizbut Tahrir di seluruh dunia telah melancarkan kempen antarabangsa intensif yang membawa kepada “Hari Tindakan Wanita Sedunia untuk Palestin” pada 26hb November untuk menuntut para tentera negara Islam bergerak dengan segera menyelamatkan para wanita dan kanak-kanak Gaza serta membebaskan seluruh tanah yang diberkati, Palestin, daripada penjajahan ini. Aktiviti Hari Tindakan ini akan merentasi 5 benua dan akan mencakupi bantahan, seminar dan aktiviti-aktiviti lain oleh para wanita di Palestin, Turkiye, Indonesia, Tunisia, Lubnan, Malaysia, Kenya, Amerika, Australia, Denmark, Belanda, Belgium dan Britain.
Wanita dan kanak-kanak Muslim Gaza telah dipinggirkan oleh setiap pemerintah di dalam dunia ini dalam masalah pembunuhan beramai-ramai ini. Pemerintah Barat telah memperlihatkan kedudukan mereka sebagai rakan kongsi dalam genosid ini, di mana mereka telah melindungi dan menyokong wakil polisi penjajahan mereka – entiti Zionis – tanpa mengambil kira tahap jenayah dan sejauh mana pelanggaran undang-undang antarabangsa mereka sendiri. Sementara itu, para pemerintah dan rejim negara Islam terus mengeluarkan kenyataan-kenyataan kosong dan melakukan persidangan demi persidangan yang berakhir dengan kesia-siaan, sambil merantai para tentera mereka di berek-berek tatkala umat sedang berdarah. Mereka telah menjadikan pengkhianatan kepada Islam dan agama kita sebagai satu kerjaya, menormalisasikan hubungan dengan penjajah yang zalim dan memperkukuhkan lagi persefahaman melalui perjanjian perniagaan yang bernilai jutaan dolar.
Sebagai wakil daripada Wanita Muslim, kami merayu kepada saudara-saudara di dalam angkatan tentera Muslim untuk bangkit merealisasikan tujuan sebenar mereka sebagai pelindung umat Islam dan agama mereka. Seterusnya menuju ke Al-Quds untuk membebaskan para lelaki, wanita dan kanak-kanak Palestin daripada penjajahan zalim ini, kerana mereka mempunyai pesawat-pesawat, kereta kebal, peluru-peluru dan angkatan tentera yang mampu menamatkan mimpi buruk ini selama-lamanya. Kami menyeru kepada pegawai-pegawai angkatan tentera Muslim untuk membuang sempadan-sempadan palsu buatan penjajah diantara tanah-tanah kita yang digunakan untuk memecah-belahkan umat Islam dan membenarkan musuh kita untuk bermaharajalela ke atas kita. Kami menyeru mereka untuk mencabut takhta pemerintah khianat yang tidak bertulang belakang dan rejim yang telah berkhidmat sebagai pengawal kepada entiti Yahudi. Dan kami juga menyeru mereka untuk bertindak balas terhadap tangisan penuh kesedihan dariada para ibu yang kematian anak, balu dan anak-anak yatim Gaza, seterusnya bergerak melindungi dan memberikan pertolongan kepada usaha untuk menegakkan pemerintahan Islam dan sistem yang benar, iaitu Khilafah di atas manhaj Kenabian, yang kelak akan menggerakkan para tentera untuk membebaskan setiap inci tanah umat Islam yang dijajah dan membebaskan semua umat Islam yang ditindas di seluruh dunia. Kami mengingatkan mereka dengan firman Allah SWT:
“Dan apakah yang menghalang kamu (maka kamu) tidak mahu berperang pada jalan Allah (untuk menegakkan agama Islam) dan (untuk menyelamatkan) orang-orang yang tertindas dari kaum lelaki, perempuan dan kanak-kanak, iaitu mereka yang selalu (berdoa dengan) berkata: Wahai Tuhan kami! Keluarkanlah kami dari negeri (Mekah) ini, yang penduduknya (kaum kafir musyrik) yang zalim dan jadikanlah bagi kami dari pihakMu seorang pemimpin yang mengawal (keselamatan agama kami) dan jadikanlah bagi kami dari pihakMu seorang pemimpin yang membela kami (dari ancaman musuh).” (An-Nisa [4] : 75)
Kempen ini boleh diikuti di https://hizb-ut-tahrir.info/en/index.php/hizbuttahrir/25393.html dan Facebook: Women’s Section CMO – HT.
Link kepada treler kempen: https://youtu.be/E4bkN60x8MI.
Hashtag kempen: #ArmiesToAqsa
Dr. Nazreen Nawaz
Pengarah Bahagian Muslimah
Pejabat Media Pusat Hizbut Tahrir