[Tafsir Al-Quran] Cintai Allah, Ikuti Risalah Nabi [Tafsir Surah Ali Imran Ayat 31]
Penulis: Kartinah Taheer
Allah SWT berfirman,
قُلْ إِنْ كُنْتُمْ تُحِبُّونَ اللَّهَ فَاتَّبِعُونِي يُحْبِبْكُمُ اللَّهُ وَيَغْفِرْ لَكُمْ ذُنُوبَكُمْ وَاللَّهُ غَفُورٌ رَحِيمٌ
“Katakanlah, Jika kamu (benar-benar) mencintai Allah, ikutilah aku, nescaya Allah mengasihi dan mengampuni dosa-dosa kamu, Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” [TMQ Ali Imran (3): 31].
Ibnu Kathir dalam Tafsir Al-Qurân al-‘Azhīm menyatakan bahawa ayat yang mulia ini menganggap setiap orang yang mengaku cinta kepada Allah, sedangkan perbuatannya tidak berada di atas jalan yang dirintis oleh Nabi Muhammad SAW, maka sesungguhnya dia adalah orang yang berdusta dalam pengakuannya sebelum dia mengikuti syariat Nabi SAW dan agama yang dibawanya dalam semua ucapan dan perbuatannya.
Sebagaimana dalam hadis disebutkan bahawa Rasulullah SAW bersabda,
مَنْ عَمِلَ عَمَلًا لَيْسَ عَلَيْهِ أَمْرُنَا فَهُوَ رَدٌّ
“Barangsiapa yang melakukan amalan yang tidak termasuk dalam petunjuk kami, maka amalannya tertolak.”
Oleh itu, dalam ayat ini dinyatakan melalui firmanNya,
قُلْ إِنْ كُنْتُمْ تُحِبُّونَ اللَّهَ فَاتَّبِعُونِي يُحْبِبْكُمُ اللَّهُ
“Jika kamu (benar-benar) mencintai Allah, ikutilah aku, nescaya Allah akan mencintai kamu.” [TMQ Ali Imran (3): 31].
Yakni kamu akan mendapat balasan yang lebih dari apa yang dianjurkan untuk kamu agar kamu mencintaiNya, iaitu Dia (Allah) mencintai kamu. Cinta Allah kepada kamu dianggap lebih besar dari yang pertama, iaitu cinta kamu kepadaNya. Seperti yang dikatakan oleh sebahagian ulama yang bijak, isunya bukanlah bertujuan untuk membuat kamu mencintai, tetapi sebenarnya ialah bagaimana supaya kamu dicintai.
Al-Hasan Al-Basri dan ulama salaf yang lain mengatakan bahawa ada segolongan manusia yang menduga bahawa mereka mencintai Allah, maka Allah menguji mereka dengan ayat ini, iaitu firmanNya, “Katakanlah, Jika kamu (benar-benar) mencintai Allah, ikutilah aku, nescaya Allah mengasihi kamu.’” [TMQ Ali Imran (3): 31].
قَالَ ابْنُ أَبِي حَاتِمٍ: حَدَّثَنَا أَبِي، حَدَّثَنَا عَلِيُّ بْنُ مُحَمَّدٍ الطَّنافِسي، حَدَّثَنَا عُبَيْدُ اللَّهِ بْنُ مُوسَى عَنْ عَبْدِ الْأَعْلَى بْنِ أَعْيَنَ، عَنْ يَحْيَى بْنِ أَبِي كَثِيرٍ، عَنْ عُرْوَةَ، عَنْ عَائِشَةَ، رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا، قَالَتْ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: “وَهَلِ الدِّينُ إِلَّا الْحُبُّ والْبُغْضُ؟ قَالَ اللَّهُ تَعَالَى: {قُلْ إِنْ كُنْتُمْ تُحِبُّونَ اللَّهَ فَاتَّبِعُونِي يُحْبِبْكُمُ اللَّهُ
Ibnu Abu Hatim berkata, telah menceritakan kepada kami ayahku, telah menceritakan kepada kami Ali bin Muhammad At-Tanafisi, telah menceritakan kepada kami Abdullah bin Musa bin Abdul A’la bin A’yun, dari Yahya bin Abu Kasir, dari Urwah, dari Aisyah RA yang menceritakan bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda, “Tiada lain (ajaran) agama itu melainkan cinta kerana Allah dan benci kerana Allah. Allah SWT berfirman, Katakanlah,Jika kamu (benar-benar) mencintai Allah, ikutilah aku.”” [TMQ Ali Imran (3): 31].
Kemudian Allah SWT berfirman,
وَيَغْفِرْ لَكُمْ ذُنُوبَكُمْ وَاللَّهُ غَفُورٌ رَحِيمٌ
“Dan mengampuni dosa-dosa kamu, Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” [TMQ Ali Imran (3): 31].
Yakni kerana kamu mengikuti Rasulullah SAW, maka kamu memperoleh kurnia itu berkat syafaatnya.
Sementara itu, Jalaluddin Al-Mahalli dan Jalaluddin As-Suyuthi dalam Tafsir al-Jalalain menyatakan, “(Katakanlah) kepada mereka, wahai Muhammad! (Jika kamu benar-benar mencintai Allah, ikutilah aku, nescaya Allah akan mencintaimu) dengan maksud Dia akan memberi pahala kepadamu (dan mengampuni dosa-dosamu,’ Allah Maha Pengampun) terhadap orang yang mengikutiku, mengenai dosa-dosanya yang telah terjadi sebelum itu (lagi Maha Penyayang“) kepadanya.
Oleh itu, berdasarkan penjelasan ahli-ahli tafsir, ittiba’ kepada Nabi adalah bukti cinta kepada Allah SWT. Sedangkan ittiba’ kepada Nabi perlu mencontohi baginda dalam semua aspek kehidupan.
Mencontohi baginda tidak cukup hanya dengan membataskan pada peribadinya sebagai manusia yang berakhlak mulia, mahupun kehidupan berkeluarga. Namun, mengikuti Rasulullah SAW dalam semua aktivitinya termasuk dakwahnya. Mencontohi dakwah Nabi selain dari aspek kesabaran dan istiqamah, apa yang perlu diberi perhatian ialah sasaran yang mesti dicapai dalam dakwah dan kaedah (thariqah) baginda dalam dakwah bagi mencapai tujuan tersebut.
Dakwah nabi bukan setakat memperbaiki akhlak. Dakwah nabi ialah menjalankan kehidupan Islam dalam daulah atau negara Islam. Nabi SAW juga sebagai ketua negara, mengetuai peperangan, menghantar utusan ke pelbagai negara, melantik wali dan amil. Nabi juga merupakan hakim yang memutuskan perkara antara manusia berdasarkan wahyu.
Inilah yang kemudian diteruskan oleh para sahabat setelah wafatnya, iaitu meneruskan kehidupan Islam dan melaksanakan dakwah ke seluruh dunia dengan dakwah dan jihad dalam sebuah institusi bernama Khilafah sebagai pengganti kepimpinan Rasulullah dalam memerintah manusia dengan syariat Islam. Inilah konsep bernegara yang umat Islam mesti ikut hari ini, bukan demokrasi yang penggagasnya adalah seorang atheis.
Rasulullah SAW bersabda,
فَعَلَيْكُمْ بِسُنَّتِى وَسُنَّةِ الْخُلَفَاءِ الرَّاشِدِينَ الْمَهْدِيِّينَ عَضُّوا عَلَيْهَا بِالنَّوَاجِذِ
“Berpegang teguhlah kepada sunnahku dan sunnah para khulafaurrasyidin yang mendapat petunjuk (dalam ilmu dan amal). Berpegang teguhlah dengan sunnah tersebut dengan gigi geraham kamu.” [HR Bukhari no. 3093, Muslim no. 1759, dan Abu Daud no. 2970].
Oleh itu, pada hari ini ia mestilah menjadi kewajipan bagi manusia yang mengaku sebagai umat Nabi Muhammad SAW dan berharap syafaatnya untuk ittiba’ secara keseluruhan, tidak membatasi diri hanya pada peribadinya yang agung. Lebih-lebih lagi hanya upacara memperingati maulid tanpa ittiba’, bahkan malah memusuhi perjuangan untuk menerapkan risalah Nabi. Na’uzubillahi min zalik. Wallahua’lam bissawab.
Sumber: suaramubalighah.com