[Nafsiyah] Menahan Kemarahan
Penulis: Ibnu al-Jauzi
Menjadikan marah sebagai sebahagian daripada sifat manusia hanyalah untuk menggalakkan manusia menjaga diri dari perkara yang boleh merugikan diri atau orang lain. Apa yang tercela tentang kemarahan ialah jika berlebihan sehingga mengakibatkan manusia menyimpang dari kebenaran. Selalunya orang yang marah berada pada tahap yang lebih tinggi daripada orang yang dimarahi. Marah merupakan bahang yang merebak apabila ada sesuatu yang menyebabkan kita marah. Akibatnya, darah kepuasan menyeksa atau menuntut dendam mendidih. Marah sering kali meninggalkan bekas panas. Secara umum, marah disebabkan oleh sifat sombong. Pada umumnya, manusia tidak akan berani memarahi seseorang yang lebih tinggi daripada dirinya.
Ubat untuk menahan kemarahan ialah pertama, orang yang sedang marah mesti bertenang dan mengubah posisinya. Jika dia sedang bicara maka diamlah; jika dia sedang berdiri maka duduklah; dan jika dia sedang duduk, berbaringlah agar tahap kemarahannya reda. Namun, jika dia segera keluar meninggalkan tempat dan menjauhi orang yang dimarahinya, maka itu adalah lebih baik.
Seterusnya, fikirkan tentang keutamaan menahan marah. Allah SWT. telah memuji orang-orang yang menahan kemarahannya dan sanggup memaafkan kesalahan orang lain,
“(Iaitu) … dan orang-orang yang menahan amarahnya dan memaafkan (kesalahan) orang. Allah menyukai orang-orang yang berbuat kebajikan.” [TMQ Ali Imran (3): 134].
Jika dia menyedari bahawa apa yang menimpa dirinya adalah sebagai akibat dari dosa dan kesilapannya serta sebagai takdir Yang Maha Kuasa, maka urusannya akan menjadi mudah.
Hadis-hadis tentang Menahan Kemarahan
Banyak hadis yang berkaitan dengan masalah menahan marah. Di antara hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah, dia berkata,
“Seorang lelaki datang kepada Nabi SAW., kemudian dia berkata, ‘Berilah aku wasiat!’ Nabi SAW. bersabda, ‘Janganlah engkau marah.’ Kemudian lelaki itu mengulangi permintaannya beberapa kali. Nabi SAW. bersabda, ‘Janganlah engkau marah.’” (HR Bukhari, At-Tirmidzi, dan Ahmad)
Rasulullah SAW. bersabda, “Orang yang kuat itu bukanlah kerana tendangannya. Orang yang kuat hanyalah orang yang dapat mengawal dirinya apabila sedang marah.” (HR Bukhari, Muslim, Abu Daud, dan Ahmad)
Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan dari Salman bin Shard, dia berkata, “Saya pernah duduk bersama Nabi SAW., sementara ada dua orang yang sedang bertengkar. Salah seorang daripada mereka wajahnya bertukar menjadi merah dan urat lehernya menegang. Nabi SAW. bersabda, “Sesungguhnya aku akan mengajarkan sebuah kalimat yang jika dia mengucapkannya nescaya akan hilang darinya apa yang sedang dia rasakan (rasa marah), sekiranya dia mengucapkan,
أَعُوْذُ بِاللَّهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِِ
nescaya hilang darinya apa yang sedang dia rasakan (rasa marah).” Lalu para sahabat berkata kepadanya, ‘Bahawa nabi SAW. mengucapkan,
أَعُوْذُ بِاللَّهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِِ
Kemudian dia berkata, ‘Adakah saya gila?”
Abu Daud meriwayatkan dari Abu Dzarr, bahawa Nabi SAW. bersabda,
“Jika salah seorang di antara kamu marah sedang dia dalam keadaan berdiri, maka hendaklah dia duduk. Jika kemarahan telah hilang daripadanya, (maka tetaplah duduk), dan jika belum (hilang), maka berbaringlah.”
Al-Khattabi berkata, “Dalam hal ini, orang yang berdiri akan bersedia untuk bergerak dan memukul, manakala orang yang duduk tidak akan.”
Dalam hadis yang diriwayatkan dari Ibnu ‘Abbas, Nabi SAW. bersabda,“Jika salah seorang di antara kamu marah, maka hendaklah dia diam.”
Al-Ahnaf berkata, “Tidak ada ketenangan ketika sedang marah, kecuali hal itu kerana kelemahan syaitan sahaja.”
Akibat Marah
Apabila manusia dalam keadaan sangat marah, maka dia cenderung melakukan penganiayaan dan pembunuhan. Hal ini akan menyebabkan penyesalan. Banyak manusia yang marah, kemudian mencederakan hatta sehingga membunuh, atau mencederakan organ tubuh anaknya sendiri, kemudian dia sedih dan menyesal seumur hidup kerana perbuatannya itu.
Di antara mereka yang marah, ada orang yang membunuh dan mencederakan dirinya sendiri. Ada seseorang yang marah kemudian dia berteriak, lalu mulutnya muntah darah dan akhirnya rebah sehingga mati. Ada juga seseorang yang memukul orang lain, kemudian jari pemukul itu cedera sementara orang yang dipukul tidak mengalami apa-apa.
Ubatnya ialah, orang yang sedang marah mesti membayangkan keadaannya ketika dia sedang marah. Kemudian bandingkan dengan keadaannya ketika dia sedang tenang. Pada masa itulah dia akan mengetahui bahawa keadaan marah adalah keadaan gila dan di luar dari tuntutan akal sihat. Apabila niatnya untuk memukul orang yang dimarahinya tidak berubah (dengan cara tersebut), maka tinggallah dan cuba mengubah niatnya, maka berjanjilah kepada dirinya bahawa dia akan melakukan pukulan dengan syarat dia mesti bertenang dahulu. Apabila dia sudah tenang, dia pasti akan melihat keburukan niatnya, sehingga dia akan berpaling dari niatnya itu.
Bagaimana Ulama Salaf Marah?
Dikatakan apabila ulama salaf marah, mereka akan memaafkan demi meraih keutamaan memberi maaf dan menahan kemarahan. Di antara mereka ada yang berpandangan bahawa sesuatu yang membuat mereka marah adalah akibat dari dosa mereka sendiri. Di antara mereka ada juga yang berpandangan bahawa dia sedang diuji.
Dalam beberapa kitab, Allah ada mengatakan, “Wahai anak Adam! Ingatlah kepada-Ku apabila engkau sedang marah, nescaya aku akan ingat padamu apabila Aku marah. Aku tidak akan membinasakanmu dan orang yang aku binasakan. Dan jika kamu dianiaya, maka hendaklah kamu puas dengan pertolongan-Ku kerana pertolongan-Ku lebih baik bagimu daripada pertolonganmu terhadap dirimu.”
Muriq berkata, “Kata-kataku apabila marah membuatkan aku menyesal apabila ia reda.”
Dikatakan bahawa Ibnu ‘Aun tidak suka marah, maka apabila ada seseorang yang membuat dia marah, dia berkata, “Semoga Allah memberkatimu.”
Tidak Menghukum dalam Keadaan Marah
Tidak wajar bagi seseorang menghukum dalam keadaan marah. Dia mesti menangguhkannya sehingga kemarahannya reda supaya hukumannya sesuai dengan tahap kejahatan, bukan kerana tahap kemarahannya. Pernah berlaku kes seorang lelaki diserahkan kepada Umar bin Abdul Aziz dan dia sedang marah kepada lelaki itu. Lalu Umar bin Abdul Aziz berkata, “Seandainya aku ini tidak marah, pasti aku akan memukulmu.” Kemudian dia membebaskan lelaki itu.
Sumber: Ibnu al-Jauzi, Mengubati Jiwa yang Lelah
#Nafsiyah #MenahanMarah