[Nafsiyah] Menjauhi Kesombongan, Mengingati Kematian
Antara akhlak tercela yang sering kita temui dalam pergaulan manusia ialah sifat sombong. Sikap sombong ialah melihat diri sendiri berada di atas kebenaran dan merasa lebih tinggi daripada orang lain. Orang yang sombong merasakan dirinya sempurna dan melihat dirinya melebihi orang lain. [Bahjatun Nadzirin, hlm. 664].
Allah SWT melarang manusia dari sifat sombong. Hal ini dinyatakan dalam firmanNya, “Dan janganlah kamu memalingkan mukamu dari manusia (kerana sombong) dan janganlah kamu berjalan di muka bumi dengan angkuh. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang sombong lagi membanggakan diri.” [TMQ Luqman (31): 18].
Daripada Abdullah bin Mas’ud RA daripada Rasulullah SAW, “Tidak akan masuk syurga seseorang yang di dalam hatinya terdapat kesombongan sebesar biji sawi.” Seseorang bertanya, “Bagaimana dengan seseorang yang suka memakai pakaian dan kasut yang bagus?” Baginda menjawab, “Sesungguhnya Allah itu indah dan menyukai keindahan. Sombong ialah menolak kebenaran dan merendahkan orang lain.” [HR Muslim].
An-Nawawi RA bersabda, “Hadis di atas mengandungi larangan terhadap sifat sombong, iaitu bermegah-megah terhadap manusia, merendahkan mereka, dan menolak kebenaran.” [Syrah Sahih Muslim Imam Nawawi, hlm. 163].
Oleh itu, jauhilah sifat sombong. Bagaimana kita boleh menjauhkan diri daripada sifat sombong? Salah satunya adalah dengan mengingati kematian.
Mengingati Kematian
Tiada manusia yang dapat mengelak kematian apabila tiba masanya. Kematian tetap akan datang walaupun seseorang bersembunyi di tempat paling selamat di bumi. Imam Al Ghazali dalam kitab Khuluq Al Muslim menasihati murid-muridnya dengan mengatakan bahawa yang paling dekat dengan manusia adalah kematian.
Di dalam Al-Quran terdapat banyak ayat yang mengingatkan manusia supaya tidak melupakan kematian. Allah SWT berfirman, “Dan setiap umat mempunyai ajal (batas waktu). Apabila kematian mereka datang, mereka tidak boleh meminta kelewatan atau dicepatkan sesaat.” [TMQ Al-A’raaf (7): 34].
Oleh itu, haram membunuh diri sendiri atau orang lain tanpa sebab yang sah (menurut syarak). Seperti sekarang, sangat mudah untuk manusia memilih jalan pintas membunuh diri bagi menamatkan dugaan hidup. Hakikatnya, mereka sebenarnya akan menghadapi masalah baru di hadapan Rabb mereka.
Kemudian, Allah SWT juga berfirman, “Dan Allah tidak akan menangguhkan (kematian) seseorang apabila ajalnya telah tiba. Dan Allah amat teliti terhadap apa yang kamu kerjakan.” [TMQ Al-Munafiqun (63): 11].
Allah SWT juga berfirman “Sesungguhnya kematian yang kamu lari daripadanya, nescaya ia akan menemui kamu, kemudian kamu akan dikembalikan kepada (Allah) yang mengetahui yang ghaib dan yang nyata, lalu Dia beritakan kepadamu apa yang telah kamu kerjakan.” [TMQ Al-Jumu’ah (62) : 8].
Ketiga-tiga ayat di atas menjadi penanda kepada kita betapa pentingnya untuk sentiasa mengingati kematian. Kaedah ini amat berkesan sekiranya kesombongan itu wujud dalam hidup kita. Pasti untuk seketika, kita akan menundukkan kepala kerana malu di hadapan Allah SWT. Ini kerana sebagai makhluk, kita tiada apa yang boleh dibanggakan.
Rasulullah SAW menyatakan bahawa orang yang paling cerdik ialah mereka yang paling banyak mengingati kematian. Dia tidak akan dibuai oleh perkara keduniaan yang sementara. Sebaliknya, dia akan lebih sibuk mempersiapkan dirinya untuk mencapai keselamatan dan kenikmatan di akhirat yang kekal abadi.
Merugilah orang yang mengingkari kematian dan hanya mengingati dunia saja. Para salafus soleh memiliki pelbagai cara untuk selalu mengingatkan diri kepada kematian. Salah satunya dengan melakukan ziarah kubur.
Dalam kitab Mukasyafah Al Qulub Al Maqarrib ila hadhrah ‘Allam al Ghuyub, Imam Ghazali menjelaskan kisah Shafiyah bin Huyay RA yang mengadu kepada Aisyah RA tentang keadaan hatinya. Aisyah RA pun menyarankan kepadanya supaya mengingati mati untuk melembutkan hatinya.
Banyak pengajaran yang boleh kita perolehi dengan mengingati kematian. Kita akan segera menunaikan pelbagai hukumNya dan berusaha untuk tidak melanggar laranganNya. Tetapi malangnya, kematian dianggap jauh oleh sesetengah orang. Oleh itu, mereka terus melakukan maksiat, mengambil hak orang lain, dan tidak menunaikan kewajipan di hadapan Allah SWT.
Orang seperti ini pastinya menyangka bahawa dia akan hidup selama-lamanya di dunia. Sesungguhnya dia telah tertipu dengan hal-hal keduniaan, lalu lalai mempersiapkan bekal menuju kepada Rabbnya. Setelah mengalami kematian, barulah dia menyesal dan memohon kepada Allah SWT agar dikembalikan ke dunia ini supaya dia dapat beramal.
Namun, ketika itu semuanya sudah terlambat. Kematian telah memutuskan semua urusannya dengan dunia. Pelbagai amal yang dilakukannya di dunia menjadi harapannya untuk mencapai keampunan dan tempat terbaik di sisi Allah SWT. Oleh itu, sebelum terlambat, kita hendaklah segera menyedari dan menunaikan syariatNya. Wallahu’alam bissawab.
Sumber: muslimahnews id