Dari Rumah, Peradaban Islam Bermula
Penulis: Arini Retnaningsih
Sejarah telah mencatatkan bahawa pada zaman kegemilangan Islam, peranan wanita sungguh tidak boleh diabaikan. Pertama, peranan sebagai ibu yang telah melahirkan dan membentuk orang-orang besar, seperti ibu kepada Imam Syafie, Imam Bukhari, Muhammad al-Fatih dan sebagainya.
Kedua, peranan sebagai isteri pemimpin yang mengharumkan nama suaminya, seperti Fatimah binti Abdul Malik, isteri khalifah Umar bin Abdul Aziz; dan Zubaydah binti Abu Ja’far al-Mansur, isteri Khalifah Harun al-Rasyid.
Tidak ketinggalan juga, peranan sebagai ulama dan penasihat para penguasa, seperti Sayyidah Naafisah, salah seorang guru Imam Syafie, Fatima binti Alauddin Muhammad, atau Karimah binti Muhammad bin Hatim. Mereka menulis beberapa kitab hadis dan fiqh yang dijadikan rujukan oleh para ulama di zaman mereka. (Sumber: Ali Fikri, 1995, Wanita Teladan Zaman).
Tidak salah jika kita mengatakan bahawa wanita adalah ibu peradaban. Memang sejarah tidak banyak mencatat nama mereka, tetapi hasil perjuangan mereka kekal harum semerbak dalam kenangan umat sepanjang masa kegemilangan Islam sekitar 12 abad lamanya. Boleh jadi juga, keharuman perjuangan para wanita akan terus semerbak tatkala Islam kembali bangkit, melahirkan peradaban rahmatan lil ‘alamin sekali lagi di muka bumi.
Wanita Pembentuk Peradaban
Kedudukan wanita sebagai pembentuk peradaban tidak lari dari peranan yang telah Allah gariskan buat mereka dalam ajaran Islam, iaitu sebagai ibu dan isteri serta mengambil bahagian dalam pembangunan umat melalui kerjasama dengan lelaki.
Sebagai seorang ibu, beliau adalah pendidik utama dan pertama kepada anak-anaknya. Ibu adalah batu asas kepada kemahiran kepimpinan anak-anak dan menyediakan mereka untuk menjadi generasi pejuang. Ibulah yang pertama kali mengajarkan anaknya tentang Tuhan, yang kepadanya dia mesti takut, tunduk dan patuh.
Hasilnya, lahirlah para pemimpin masa depan yang takut kepada Allah Taala sehingga ketika memimpin, mereka akan benar-benar taat pada-Nya, menjalankan seluruh aturan-Nya, serta amanah mengurus rakyat hanya dengan syariat-Nya. Pemimpin yang mampu membuat perubahan hakiki serta membangun peradaban Islam yang gemilang.
Sebagai isteri, wanita menjadi pendorong dan pemberi inspirasi buat para suami. Mereka meringankan beban suami, melayani suami dan memberikan ketenangan dan kenyamanan. Ini membolehkan suami menumpukan sepenuh perhatian dalam melaksanakan pelbagai kewajipan dalam mencari nafkah, berdakwah dan berjuang di jalan Allah. Ini bukan peranan yang remeh. Berapa ramai pemimpin yang diilhamkan oleh isteri mereka, dan berapa ramai juga pemimpin yang jatuh ke dalam ketidakadilan kerana isteri mereka.
Ibu dan pengurus rumah adalah peranan utama wanita. Syeikh Taqiyuddin an-Nabhani menyatakan dengan tegas tanpa keraguan terkait kedudukan wanita. Beliau berkata dalam kitab Nizhamul Ijtima’i fil Islam Bab “Muqaddimah Dustur”, “Hukum asal wanita dalam Islam adalah sebagai ummun wa babbatu al-bayt (ibu kepada anak dan pengurus rumah suaminya) kerana ia adalah sebuah kehormatan yang wajib dijaga.”
Beliau juga berkata, “Atas dasar ini, perlu jelas bahawa apa sahaja aktiviti yang ditugaskan kepada wanita, apa juga taklif yang dikenakan ke atas mereka, aktiviti utama mestilah tetap selari dengan aspek keibuan dan mendidik serta membesarkan anak-anak.”
Dari sini jelaslah bahawa aktiviti utama wanita adalah di rumah. Bagaimana juga, rumah merupakan keperluan asas wanita dalam merealisasikan peranan mereka sebagai pembina peradaban.
Kehidupan Wanita di Rumah
Kehidupan wanita di rumahnya adalah kehidupan yang khusus, iaitu kehidupan yang memerlukan redha atau keizinan pemiliknya apabila orang asing ingin memasukinya. Islam mengatur kehidupan khusus ini untuk memastikan keamanan dan keselesaan bagi penghuni rumah. Tanpa ketenangan dan keselesaan di rumah mereka, sukar bagi wanita untuk menjalankan peranan mereka dengan baik.
Terkait dengan kehidupan khusus wanita (muslimah), Syeikh Taqiyuddin an-Nabhani telah menjelaskannya di dalam kitab Nizhamul Ijtima’i fil Islam Bab “Kehidupan Khusus”. Dijelaskan bahawa kehidupan khusus merupakan keadaan di mana manusia hidup di dalam rumahnya bersama-sama dengan anggota keluarga yang lain.
Di antara hal yang menonjol dalam pengaturan kehidupan khusus adalah pengaturan kehidupan ada di tangan pemiliknya sepenuhnya. Siapa pun dilarang memasukinya, kecuali setelah mendapatkan izin dari pemilik rumah tersebut.
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَدْخُلُوا بُيُوتًا غَيْرَ بُيُوتِكُمْ حَتَّىٰ تَسْتَأْنِسُوا وَتُسَلِّمُوا عَلَىٰ أَهْلِهَا ۚ ذَٰلِكُمْ خَيْرٌ لَكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُونَ
“Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu masuk ke dalam mana-mana rumah yang bukan rumah kamu, sehingga kamu meminta izin dahulu serta memberi salam kepada penduduknya; yang demikian adalah lebih baik bagi kamu, supaya kamu beringat (mematuhi cara dan peraturan yang sopan itu).” [TMQ An-Nuur (24): 27]
Dalam kehidupan khusus, peraturan sedia ada memastikan wanita dapat menjalankan peranan mereka dengan sempurna. Sebagai ibu, di rumah wanita bebas menyusukan bayi tanpa risau aurat terdedah di hadapan lelaki bukan mahram. Sebagai isteri, wanita bebas mempamerkan kecantikan di hadapan suami, bermesra dengan suami, dan menguruskan segala urusan rumah tangga dalam keadaan selesa.
Kerana itu, Allah menurunkan pelbagai hukum sokongan seperti wanita dibenarkan memakai pakaian rumah tanpa jubah dan tudung di dalam rumah. Allah juga mewajibkan anak-anak atau pembantu meminta izin pada tiga waktu aurat untuk masuk ke bilik orang tua. Juga kewajipan untuk memisahkan tempat tidur anak lelaki dan perempuan.
Sudah tentu, dengan pelbagai peraturan ini, sekurang-kurangnya seorang Muslim perlu memiliki rumah dengan bilik yang mencukupi. Rumah itu juga dibina berkonsepkan syariat Islam, contohnya kedudukan pintu yang tidak membolehkan tetamu untuk melihat ke bahagian dalam rumah secara langsung dan bebas. Kawasan aktiviti wanita seperti dapur, tempat menjemur, bilik air dan seumpamanya hendaklah ditutup. Bilik ibu bapa juga diasingkan dari bilik keluarga dan bilik kanak-kanak, dan yang seangkatan dengannya.
Dengan semua peraturan ini, tidaklah cukup untuk keluarga Islam hanya mempunyai rumah berkeluasan 27 kaki persegi, yang hanya mempunyai satu bilik di mana sebaik sahaja pintu dibuka, seluruh bilik itu serta-merta kelihatan. Keadaan ini sebenarnya merupakan salah satu faktor yang menyebabkan berlakunya kes kerosakan dalam keluarga, seperti kes keganasan seksual, sumbang mahram dan sebagainya.
Konsep Rumah dalam Pengembangan Keluarga Muslim
Bagi keluarga muslim, rumah bukan sahaja tempat untuk tinggal dan beristirahat. Apabila berkahwin, seorang muslim sepatutnya sudah mempunyai konsep tentang rumah yang ingin dibina. Bukan sekadar konsep fizikal, malah lebih kepada membangunkan keluarganya.
Pada awalnya, membina rumah tangga adalah satu bentuk untuk memenuhi naluri melestarikan keturunan. Namun begitu, konsep seterusnya yang mesti dikembangkan daripada keturunan ialah konsep khas, berbeza dengan konsep lain.
Ramai orang melihat keturunan sebagai aset peribadi untuk hari tua atau hanya sekadar penyejuk mata. Islam pula memiliki sudut pandang yang berbeza. Islam berpandangan bahawa keturunan adalah harta umat dan harta akhirat. Dengan cara ini, keluarga Islam akan cuba membentuk anak-anak mereka untuk memainkan peranan dalam masyarakat. Membentuk mereka menjadi generasi pemimpin dan pejuang umat. Mendidik mereka menjadi generasi soleh-solehah yang boleh diajak masuk syurga bersama.
Hasilnya, keluarga muslim akan menggunakan rumah sebagai sarana untuk melatih dan membentuk peribadi anak-anak mereka. Di rumah, anak-anak akan diajar mengenal Tuhan mereka, dilatih untuk mentaati-Nya, dan diperkenalkan dengan erti perjuangan, keadilan dan tanggungjawab. Anak-anak juga diajarkan Al-Quran dan keterikatan dengan hukum-Nya, serta diperkenalkan kepada nabi-Nya dan kewajipan untuk meneladaninya.
Dengan konsep pembangunan keluarga yang sebegitu rupa, rumah bagi umat Islam mempunyai fungsi yang sangat penting. Malah, rumah ini merupakan benteng pertahanan terakhir keluarga Islam apabila syariat Islam tidak lagi diterapkan
Isu perumahan sepatutnya mendapat perhatian besar daripada negara. Selagi keperluan untuk perumahan yang baik tidak dapat dipenuhi, ia akan menjadi sukar untuk menghasilkan sumber manusia yang berkualiti daripadanya.
Tanggungjawab Negara dalam Menyediakan Rumah buat Rakyat
Dalam sistem Islam, negara (Khilafah) wajib memenuhi keperluan asas rakyatnya termasuk perumahan. Sebagaimana sabda Rasulullah SAW., “Imam (khalifah) adalah pentadbir manusia dan dia akan diminta pertanggungjawaban terhadap orang yang diuruskannya.” (HR Bukhari dan Ahmad).
Ulama terdahulu telah menuturkan polisi Khilafah berhubung pembinaan rumah kediaman dengan memberi perhatian kepada prinsip syariah. Sebagai contoh, kitab Al-Qismah wa Ushul al-Aradhin, karya Abu Bakar al-Farfattha’i, seorang ulama abad ke-5 Hijrah. Juga kitab Al-I’lan bi Ahkam al-Bunyan karya Ibnu Rumi, seorang ulama abad ke-8. H.
Kitab-kitab ini menerangkan peraturan Islam dalam membina rumah seperti memilih lokasi, ketinggian rumah, bilangan bilik, teras, pagar dan kedudukan pengudaraan. Semuanya dikawal untuk menjaga kehormatan dan ketenteraman penghuninya.
Khatimah
Keupayaan negara menyediakan keperluan asas rakyat termasuk perumahan dapat direalisasikan kerana Islam mempunyai sistem ekonomi yang berbeza dengan kapitalisme. Dalam Islam, sumber alam seperti air, hutan dan lombong adalah harta awam yang diuruskan oleh negara, dan hasilnya digunakan untuk kemakmuran semua rakyat.
Dengan adanya peraturan perumahan oleh negara, fungsi rumah dalam Islam dapat berjalan secara optimum. Wanita dijamin mampu menjalankan peranan mereka dalam melahirkan generasi Islam yang mantap, dengan kerjasama negara yang menguruskan sistem pendidikan berlandaskan akidah Islam.
Sememangnya peranan wanita ini mungkin tidak membawa wanita kepada kemasyhuran di persada sejarah, tetapi insya-Allah akan melahirkan para pencetak sejarah yang gemilang. Benarlah kata pepatah, “Dari rumah bermulanya tamadun Islam,” maka negara yang membangunkannya menjadi tamadun dunia.
#KapitalismeSengsarakanUmat
#KhilafahPerisaiHakiki
#IslamSolusi
#Khilafah