[Keluarga] Mengatur Penggunaan Gajet untuk Anak
Penulis: Najmah Saidah
Gajet atau peranti elektronik seperti computer riba, telefon bimbit dan lain-lain, sering digunakan sebagai alat untuk belajar. Lebih-lebih lagi semasa pandemik yang lalu, pelajar terpaksa menggunakannya dalam tempoh yang agak lama kerana terpaksa menjalankan Pembelajaran Atas Talian ( Online Learning). Maka wajarlah ia akhirnya menimbulkan masalah baru, terutamanya bagi ibu. Selain perlu mengawasi pembelajaran anak-anak, mereka juga perlu memantau penggunaan gajet agar tidak disalahgunakan.
Namun,apabila kita menghadapi situasi seperti ini dan berada dalam sistem kapitalis sekular yang dilaksanakan di negara ini.Apatah lagi dengan arus liberalisme yang begitu kuat melanda. Rancangan di televisyen dan media sosial nampaknya seperti tiada brek. Begitu juga, pelbagai game beredar seolah-olah di luar kawalan. Sewajarnya kita sebagai ibu bapa sangat risau dengan keadaan ini.
Apa yang Ibu Bapa Perlu Tanamkan kepada Anak-Anak Mereka
Kita semua faham bahawa pengaruh gajet tidak semuanya buruk. Banyak juga kebaikan yang kita boleh dapat jika kita bijak menggunakannya. Cuma apa yang sering berlaku ialah pengaruh buruk yang mendominasi. Di sinilah sebenarnya peranan kita sebagai ibu bapa.
Bukan mudah untuk menghapuskan pengaruh negatif penggunaan gajet kepada anak. Lebih-lebih lagi selepas pandemik lalu yang memerlukan penggunaan gajet untuk pembelajaran jarak jauh, anak menjadi terbiasa menggunakannya. Terdapat beberapa piawaian yang boleh dicuba oleh ibu bapa untuk meminimumkan kesan buruk penggunaan gajet kepada anak-anak.
Tanamkan Iman
Menanamkan keimanan yang teguh kepada Allah SWT dan RasulNya adalah tugas utama ibu bapa. Ini akan mempengaruhi pertumbuhan dan perkembangan pegangan agama dalam diri anak. Rasulullah SAW bersabda, “Setiap anak dilahirkan dalam keadaan fitrah. Ibu dan ayahnyalah yang menjadikannya Yahudi, Nasrani atau Majusi.” [HR Al-Bukhari].
Matlamat menanamkan keimanan adalah supaya anak-anak mengenal Allah SWT dan RasulNya. Apabila anak-anak faham bahawa Allah itu Maha Melihat dan Mendengar, insyaAllah kelak mereka akan faham bahawa segala perbuatan mereka sentiasa di bawah pengawasanNya. Dengan cara ini, anak akan berhati-hati dalam melakukan sesuatu.
Mengasah Minda untuk Berfikir Benar
Cabaran arus globalisasi budaya, maklumat dan teknologi mempunyai peranan yang besar dalam mewarnai sikap dan tingkah laku anak. Anak sering mempunyai hujah mereka sendiri mengenai apa yang mereka lakukan. Seorang kanak-kanak pandai berhujah kerana kepintaran dan sifat ingin tahunya yang tinggi. Ibu bapa hendaklah mengasah minda anak-anak untuk berfikir dengan benar dengan memberikan maklumat yang betul bersumberkan ajaran Islam. Pada masa hadapan, ini akan digunakan sebagai asas untuk menilai pelbagai maklumat yang diterima oleh anak.
Memperkenalkan Syariat Islam dan Akhlak Mulia
Anak mesti diperkenalkan dengan syariat Islam sejak kecil lagi. Rasulullah SAW bersabda, “Perintahkanlah anak-anak kamu solat ketika mereka berumur tujuh tahun. Pukullah mereka kerana (tidak mahu solat) ketika mereka berumur sepuluh tahun.”
Begitu juga dengan hukum-hukum lain, seperti kewajipan menutup aurat, menjaga pergaulan, larangan mencuri, dan sebagainya. Jelaskan juga tentang ahkamul khamsah, iaitu lima hukum syarak. Begitu juga dengan akhlak, seperti berbakti kepada ibu dan bapa, berakhlak mulia, jujur, berani kerana benar, tidak berdusta, sabar, rajin bekerja, bersederhana, dan sebagainya.
Berikan Teladan
Anak-anak adalah peniru yang baik. Mereka belajar dari apa yang mereka lihat dan rasa. Oleh itu, ibu bapa hendaklah mengajarkan nilai-nilai murni sejak kecil dengan menunjukkan teladan. Dengan cara itu, anak mempunyai asas yang kukuh untuk menghadapi segala bentuk cabaran dalam pelbagai situasi dan pelbagai zaman. Termasuk penggunaan gajet, ibu bapa juga harus menjadi contoh teladan. Jangan sampai ibu bapa leka menggunakan gajet di hadapan anak-anak tanpa menghiraukan keperluan mereka.
Menanamkan Sikap Tanggungjawab
Apabila anak-anak sudah mumayyiz, ibu bapa mesti meningkatkan kesedaran bahawa semua tindakan yang mereka lakukan akan dipertanggungjawabkan. Perbuatan baik akan mendapat pahala. Sebaliknya, perbuatan buruk akan dibalas dengan seksaan. Oleh itu, anak-anak akan bertindak dengan berhati-hati. Mereka tidak mudah jatuh ke dalam keburukan. Jika anak melakukan kesilapan, mereka akan segera menyedarinya, kemudian bertaubat dan membetulkannya. Sikap bertanggungjawab akan menjadikan anak-anak bijak mengawal diri mereka.
Bersikap Bijaksana
Ibu bapa hendaklah berusaha bersungguh-sungguh menerapkan prinsip-prinsip untuk melindungi anak-anak mereka daripada pengaruh buruk gajet. Jika ibu bapa tidak memantau dengan teliti, dikhuatiri anak-anak akan terdedah kepada potensi negatif gajet ini. Di sini penting untuk ibu bapa bijak dalam meminimumkan pengaruh negatif gajet kepada anak-anak.
Masa yang Tepat untuk Memperkenalkan Gajet
Kanak-kanak kecil tidak memerlukan gajet, tetapi lebih kepada kemahiran motor kasar dan halus. Anak mesti bebas bergerak, berlari, mencapai sesuatu, merasakan kasar dan licin sesuatu, dan sebagainya. Lebih-lebih lagi jika ia dikaitkan dengan kesan negatif terhadap fungsi penglihatan, sinaran radiasi, dan aspek sosialisasi anak. Menggunakan gajet melebihi keperluan anak akan meningkatkan kesan buruk. Malah, pengaruh buruk itu memang lebih dominan. Oleh itu, apabila mereka ‘terpaksa’ menggunakan gajet, amat penting untuk menghadkan penggunaan mereka pada masa yang diperlukan. Itu pun dengan pengawasan ibu bapa.
Anak-anak umumnya mengutamakan keinginan daripada keperluan, jadi perlu ditetapkan masa tertentu apabila menggunakan gajet. Berbeza pula apabila mereka sudah akil baligh, lebih kurang selepas 15 tahun. Dengan proses pengasuhan dan pendidikan yang baik, anak-anak akan dapat membezakan perkara yang baik dan buruk. Mereka akan lebih mantap dan bijak menggunakan gajet. Walau bagaimanapun, ibu bapa perlu terus mengawasi dan menemani anak-anak mereka.
Menjelaskan Kesan Buruk Gajet
Seiring pertambahan usia, anak-anak mesti difahamkan mengenai kesan buruk gajet. Interaksi yang berlebihan dengan gajet juga mengurangkan peluang kanak-kanak untuk berinteraksi dan bersosial, mengenali alam semula jadi, dan menyukarkan tidur. Pendedahan berpanjangan kepada skrin gajet juga boleh mengganggu fungsi visual anak.
Mengiringi dan Mengawasi Aktiviti Anak
Ibu bapa tetap perlu mendampingi anak-anak menggunakan gajet supaya anak-anak faham dan dapat memanfaatkan perkara yang mereka lihat dalam kehidupan seharian. Anak-anak memerlukan bimbingan tentang pelbagai perkara dalam kehidupan mereka termasuk teknologi. Anak mesti mendapat pendidikan tentang penggunaan internet dan gajet. Terdapat panduan tentang cara memanfaatkan internet, serta cara-cara menggunakannya supaya dari awal anak-anak memahami hadnya. Seterusnya, ibu bapa memantau mereka supaya anak-anak tidak ketagih atau menggunakan gajet untuk perkara negatif. Ibu bapa juga perlu memantau persekitaran dan rakan-rakan anak mereka.
Komunikasi dan Perjanjian
Komunikasi yang erat antara ahli keluarga adalah perkara penting yang akan merapatkan satu sama lain. Lebih banyak masa bersama anak membuatkan mereka tidak rasa terbeban dengan pelbagai tugas. Jangan biarkan dia berasa lebih gembira menghabiskan masa dengan gajet. Berbekalkan komunikasi yang baik, ibu bapa boleh membuat perjanjian dengan anak-anak mereka. Sekiranya terdapat percikan ketegangan hubungan dalam keluarga, segera buka komunikasi yang jujur untuk mencari penyelesaian bersama.
Bermain Sekali-sekala Sahaja
Islam bukan anti teknologi. Sejarah telah mencatatkan bahawa umat Islam adalah pelopor pembangunan teknologi, pemimpin peradaban di dunia selama berbelas-belas abad. Istimewanya teknologi berkembang berlandaskan iman dan ketundukan kepada hukum syariah. Adalah wajar bahawa apa yang berkembang adalah teknologi positif. Islam juga tidak menentang permainan, asalkan permainan itu positif dan mencerdaskan. Walau bagaimanapun, kandungannya mestilah bertujuan untuk kebaikan dan menyokong proses pendidikan.
Di sinilah peranan ibu bapa untuk menyampaikan kepada anak-anak bahawa Islam tidak melarang permainan atau hiburan, cuma Islam telah mengaturnya, iaitu sekali-sekala sahaja. Seperti yang diceritakan dalam Sahih Muslim, Hanzhalah RA pergi menemui Abu Bakar as-Siddiq RA dan memberitahunya tentang kebimbangannya (terhadap kemunafikan). Dia boleh begitu khusyuk ketika dia berada dalam majlis Rasulullah SAW, tetapi apabila dia pulang ke rumah dan bertemu dengan isteri dan anak-anaknya, dia terlalai dengan mereka. Kemudian kedua-duanya bertemu Rasulullah SAW, lalu baginda bersabda, “Demi (Zat) yang jiwaku di TanganNya! Sesungguhnya jika kamu menepati keadaan seperti yang kamu biasanya berada di sisiku dan ketika dalam berzikir, nescaya kamu akan berjabat tangan (iaitu disamakan) dengan malaikat di tempat-tempat pembaringan kamu dan di jalan-jalan kamu. Tetapi, wahai Hanzhalah! sa’at[an] wa sa’at[an] (sesaat begini dan sesaat begitu) (Rasulullah mengulang tiga kali).”
Keutamaan Aktiviti
Islam telah mengajar kita fiqh awlawiyaat iaitu keutamaan melaksanakan hukum syariah. Konsep ini membimbing kita untuk mendahulukan yang wajib daripada yang sunnah, mendahulukan yang sunnah daripada yang mubah. Ini juga yang mesti ibu bapa ajarkan kepada anak-anak mereka. Oleh itu, seiring dengan peningkatan usia anak-anak, dan dengan corak pengasuhan dan pendidikan yang betul, anak-anak akan mengetahui aktiviti yang wajib, sunnah, mubah, dan sebagainya. Anak juga akan dapat memilih aktiviti yang penting untuk dilakukan.
Ibu bapa memainkan peranan penting dalam mengarahkan anak-anak menjalankan pelbagai aktiviti mengikut bahagiannya. Contohnya, anak lelaki mesti solat berjemaah di masjid, belajar pada masanya, membiasakan diri dengan solat sunat, membaca al-Quran, dan mengulangkaji pelajaran. Selain itu, melakukan perkara-perkara penting seperti mandi, makan tiga kali sehari pada masa dan tempat yang betul, membantu ibu bapa, dan sebagainya. Dengan cara ini, selain berdisiplin, anak akan faham apa yang patut dan penting untuk dilakukan atau tidak, mereka juga akan meminimumkan bermain gajet.
Aktiviti Bersama
Melakukan aktiviti bersama semua ahli keluarga, bekerjasama, boleh menyibukkan anak-anak dengan aktiviti positif. Ibu bapa boleh mengintensifkan solat berjemaah, memperbanyakkan solat sunat, tahajud, puasa sunat, tadarus, mengulangkaji, belajar membaca kitab, atau tazkirah ringkas. Kita juga boleh memperbanyak melakukan kerja rumah bersama-sama, mengemas rumah, memasak atau berkebun. Ini akan mengeratkan hubungan kekeluargaan. Kebersamaan dalam keluarga akan memupuk sikap saling menyayangi dan menghormati antara ahli keluarga kita. Menjalankan pelbagai aktiviti positif seperti ini juga akan dapat mengalihkan aktiviti negatif seperti leka bermain game dan sebagainya, sekurang-kurangnya dapat mengurangkannya.
Wallahua’lam bissawab.
Sumber: alwaie[dot]net
*Dengan sedikit pengubahsuaian.