Kempen 100 Tahun Tanpa Khilafah : Kembalikan ‘The Power of Ummah’
Tanggal 3 Mac 1924 merupakan titik akhir rasmi kepada Daulah Khilafah yang selama ini menjadi perisai dan tonggak tempat umat Islam berlindung, telah lenyap dari muka bumi. Bermula dari tarikh itu juga, lenyaplah sudah sebuah Daulah Khilafah yang telah menjadi kekuatan dan kesatuan umat Islam, di samping membawa sinar ketamadunan kepada dunia amnya dan umat Islam khasnya.
Sebagai Muslim, kita harus meniliti bahawa kehancuran Daulah Khilafah itu bukanlah berlaku secara tiba-tiba atau tidak disengajakan. Namun, ianya terjadi adalah disebabkan hasil sebuah perancangan dan usaha berabad-abad lamanya dari kaum kuffar untuk melawan Islam dan kaum Muslimin.
Kini, genaplah 100 tahun (3 Mac 2024) Daulah Khilafah diruntuhkan. Hancurnya Daulah Khilafah bererti hancurnya penyatuan kaum Muslimin. Negeri-negeri umat Islam telah dipisah-pisahkan menjadi negeri-negeri kecil yang lemah dan tidak berdaya menentang penjajahan Barat. Bahkan, sedikit demi sedikit fahaman nasionalisme, rasisme, dan patriotisme ditancap kukuh dalam kalangan kaum Muslimin, sehingga ikatan ukhuwah yang didasarkan atas kesatuan akidah Islam semakin hilang dari jiwa mereka. Selain itu, sistem Islam berlandaskan Syariat Allah swt digantikan dengan sistem demokrasi ciptaan penjajah dengan menerapkan undang-undang selain Islam. Ekonomi Islam digantikan dengan sistem ekonomi kapitalisme yang berasaskan ribawi. Lebih menyedihkan, makna Jihad fi sabilillah yang sebenar diterjemahkan semula sehingga ianya menjadi begitu asing dan jauh dari kamus kehidupan umat Islam dalam rangka dakwah dan kelestarian Islam. Bukan itu sahaja, keruntuhan Daulah Khilafah ini menjadikan umat Islam kehilangan identiti syakhsiyah Muslim yang hebat seperti Khalifah Umar Abdul Aziz, Sultan Muhammad al-Fatih, sang penakluk Salahuddin al-Ayyubi dan ramai lagi.
Sejak kejatuhan Daulah Khilafah, fakta telah mencatatkan penderitaan umat Islam disetiap penjuru dunia tanpa pembelaan dari siapa pun. Penjajahan di Palestin diancam dengan penghapusan etnik dan genosid yang hanya ditonton oleh pemimpin Arab disekelilingnya. Pengusiran dan pembunuhan ratusan ribu muslim Uighur dari tanah air mereka tanpa pembelaan dunia. Negara umat Islam di Afrika, Nigeria, Yaman dan beberapa negeri muslim lainnya mencatatkan kadar kematian akibat kebuluran lebih 100,000 orang setiap tahun. Bagaimana negeri-negeri ini diancam kemiskinan dan kebuluran yang mencengkam, padahal dahulunya mereka memiliki tanah yang subur dan penuh dengan sumber alam? Kekayaan dan kemewahan Qatar, UAE, Arab Saudi yang mencecah USD 270 Billion hanya dimiliki oleh segelintir umat Islam sahaja, manakala umat Islam berjiran dengannya mati kebuluran dan merempat di bumi sendiri.
Inilah kesan dari penerapan sistem penjajah yang menindas dengan penerapan nasionalisme. Sempadan negara yang disuburkan dalam sistem penjajah menyelinap masuk dalam setiap jiwa kaum muslim sehingga terhakisnya kesatuan akidah Islam dalam diri mereka. Kesatuan akidah Islam inilah yang perlu dikembalikan oleh umat Islam bagi membangkitkan umat. Dengan kebangkitan umat Islam, kita dapat meraih semula kemuliaan dan kegemilangan Islam, sekaligus menegakkan kembali Daulah Khilafah atas manhaj kenabian.
Sabda Rasulullah saw dalam khutbahnya yang terakhir ,
“Wahai manusia, sepertimana kamu menganggap bulan ini (Zulhijjah) dan kota ini (Mekah) sebagai suci, anggaplah jiwa dan harta setiap orang Muslim sebagai amanah suci. Kembalikan harta yang diamanahkan kepada kamu kepada pemiliknya yang berhak. Janganlah kamu sakiti sesiapapun agar orang lain tidak menyakiti kamu lagi. Ingatlah bahawa sesungguhya kamu akan menemui Tuhan kamu dan Dia pasti membuat perhitungan di atas segala amalan kamu.”
Bangkitlah wahai umat sekalian! Dahulu, kita pernah menjadi kuasa besar Super-Power. Kita menguasai hampir 2/3 dunia dan memerintah lebih 1300 tahun. Kita gemilang di bawah satu pemerintahan Daulah Khilafah. Allah swt dan Rasulullah saw juga menjanjikan akan kebangkitan Khilafah ala Minhaj Nubuwwah kali yang kedua. Justeru itu, bangkitlah bersatu dan berjuang demi Islam bersama-sama dengan kami, Muslimah Hizbut Tahrir Malaysia, untuk merealisasikannya. Masanya sudah hampir! Marilah kita mengembalikan ‘The Power of Ummah’!
Kami menyelenggarakan Kempen 100 Tahun Tanpa Khilafah: Kembalikan ‘The Power of Ummah’. Objektif dalam kempen ini adalah untuk;
- Menyedarkan umat Islam bahawa perpecahan dikalangan umat Islam adalah disebabkan oleh pengkhianatan pemimpin umat Islam yang menjadi ejen,tunduk dan berkhidmat kepada Kuffar Barat.
- Mengajak umat Islam untuk mengembalikan dan menerapkan hukum Al-Quran dan As-Sunnah dalam kehidupan setelah sekian lama hukum barat dijadikan sumber rujukan.
- Menyedarkan umat Islam mengenai kewajipan dan peranan mereka menegakkan kembali Daulah Khilafah, yang akan mengembalikan kesatuan, kekuatan dan kemuliaan umat Islam di persada dunia.
Rajab 1445H
Muslimah Hizbut Tahrir Malaysia