Pada bulan Rajab yang dimuliakan tahun ini 1447H / 2026M, kita dikunjungi peringatan ke-105 runtuhnya (dihancurkannya) Khilafah oleh para pengkhianat Arab dan Turki — yang merupakan ejen kepada kafir penjajah. Daulah Islam itu telah didirikan buat pertama kalinya oleh Penghulu para Rasul, Muhammad (saw) bersama para Sahabat Baginda (ra). Runtuhnya Khilafah bererti terhapusnya sistem pemerintahan Islam, yang terjadi tepatnya pada 28 Rajab 1342 H bersamaan 3 Mac 1924 M, akibat tangan si penjenayah Mustafa Kemal.
Peringatan tragedi ini kembali kepada kita tatkala pembunuhan beramai-ramai yang dilakukan oleh entiti Yahudi masih berterusan terhadap umat Islam yang tidak bersenjata dan tidak berdaya di Gaza. Puluhan ribu telah syahid, manakala ratusan ribu lagi cedera dan hilang tempat tinggal – sebuah kekejaman oleh Yahudi tanpa mengenal kanak-kanak, wanita mahu pun orang-orang tua.
Demikian juga peringatan runtuhnya Khilafah ini terjadi di saat berlakunya perang sia-sia di Sudan, yang terus-menerus meragut nyawa umat Islam – sebuah perang saudara sesama ejen Amerika demi kepentingan Amerika dalam rangka memisahkan Darfur daripada Sudan, sebagaimana mereka telah memisahkan selatan Sudan sebelum ini.
Sesungguhnya umat ini telah ditimpa pelbagai malapetaka sejak runtuhnya Khilafah. Dua malapetaka utama ialah kerana ia dipimpin oleh penguasa yang merupakan ejen Barat, dan dipaksakan ke atasnya sistem yang datang dari Barat. Sesungguhnya Umat ini tidak akan berada dalam kebaikan kecuali dengan apa yang telah menjadikannya baik sebelum ini iaitu tatkala mereka berada di bawah naungan Khilafah.
Justeru, sempena Rajab tahun ini, Hizbut Tahrir Malaysia mengingatkan sekali lagi bahawa setiap Muslim wajib berusaha mendirikan semula Khilafah, sebuah kewajipan yang sangat penting dan mendesak yang disifatkan oleh para Ulama sebagai ahammul wajibat (kewajipan yang paling utama), yang hanya dengannya umat Islam akan meraih kembali persatuan, kekuatan dan kemuliaan yang telah hilang sejak sekian lama.