[Nafsiyah] Maaf, Saya Sibuk!
Setiap muslim mesti memahami peta kehidupan agar mengetahui tujuan besar dari penciptaan dirinya dan alam semesta tempat dia hidup. Ketika seorang muslim hendak menuju keredaan Allah SWT, dia akan menghadapi banyak rintangan. Allah menjelaskan dalam firmanNya bahawa hanya orang-orang beriman yang mampu menghadapinya.
“Adakah manusia mengira bahawa mereka akan dibiarkan hanya dengan mengatakan, ‘Kami telah beriman dan mereka tidak diuji?’” [TMQ Al-Ankabut (29): 2].
Salah satu rintangan atau cabaran yang dihadapi oleh setiap muslim ialah mengurus masa supaya bermanfaat bagi diri dan agamanya, serta meraih keberkatan. Kerap kali, manusia mengatakan, “Maaf, saya sibuk!” untuk menolak suatu perkara. Boleh jadi, itu alasan paling mudah untuk meyakinkan orang lain agar tidak melibatkan dirinya dalam pelbagai persoalan.
Namun, belum tentu dia benar-benar tidak memiliki waktu lapang. Rasulullah SAW mengingatkan kita, “Dua kenikmatan yang sering dilupakan oleh kebanyakan manusia adalah kesihatan dan waktu lapang.” [HR Bukhari]. Jangan sampai alasan sibuk menjadikan kita lalai melakukan kebaikan dan akhirnya tidak membantu orang lain yang mengalami kesulitan.
Memohon Pertolongan Allah SWT
Waktu yang berkat ialah waktu yang dipenuhi dengan pelbagai amalan berkualiti di hadapan Allah SWT. Amalan yang dapat meraih pahala, bukan dosa. Demi meraih waktu yang berkat, seorang muslim perlulah memohon pertolongan Allah SWT melalui doa agar diberikan petunjuk, serta kekuatan untuk melaksanakan segala perintahNya.
Rasulullah SAW bersabda, “Ya Allah, sesungguhnya aku memohon kepadaMu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik (halal), dan amalan yang diterima.” [Nataij Al-Afkar, Ibnu Hajat Al-Atsqalani, hlm. 411].
Kesibukan dalam hal yang bermanfaat seharusnya dilakukan oleh seorang muslim dengan menuntut ilmu, mencari rezeki, dan beramal soleh. Namun, hal itu semua tidak melalaikannya untuk menunaikan seluruh syariatNya dan saling membantu dalam pelbagai kebaikan.
Sebelum seseorang mengatakan, “Maaf, saya sibuk!” sebaiknya dia merancang aktiviti rutinnya sehingga boleh mengurus waktu dengan baik. Allah SWT berfirman, “Wahai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah dan hendaklah setiap orang memperhatikan apa yang telah diperbuatnya untuk hari esok (akhirat), dan bertakwalah kepada Allah. Sungguh, Allah Maha Teliti terhadap apa yang kamu lakukan.” [TMQ Al-Hasyr (59): 18].
Ayat di atas mengingatkan kita untuk merancang dengan baik setiap perkara, bermula dengan perkara yang kecil hingga menjadi kebiasaan, dan perkara-perkara besar dalam melaksanakan pelbagai aktiviti. Dengan demikian, kita tidak mudah mengatakan, “Maaf, saya sibuk!” kemudian meninggalkan kewajipan sebagai seorang muslim untuk menuntut ilmu agama dan mendakwahkan pemikiran Islam. Akhirnya, ramai di antara kaum muslim yang kosong daripada pemahaman agama sehingga berakhir dengan melakukan maksiat.
Sebagaimana ada dari kalangan pengemban dakwah yang tidak menunaikan pelbagai amanah dakwah kerana kesibukan menunaikan urusan peribadinya. Dia seharusnya memahami, sebagai seorang muslim banyak kewajipan yang perlu ditunaikan. Makin banyak perkara yang perlu diselesaikan dan dia seharusnya semakin pandai mengurus waktu. Begitulah idealnya kehidupan seorang muslim.
Rasulullah SAW bersabda, “Di antara tanda kebaikan keislaman seseorang adalah jika dia meninggalkan hal-hal yang tidak bermanfaat baginya.” [HR Addaruquthni].
Sebagai seorang muslim dan pengemban dakwah, kita seharusnya memahami bahawa disekeliling kita terdapat banyak hak orang yang berada di sekitar kita. Sabda Rasul SAW, “Sesungguhnya Rabbmu mempunyai hak atasmu, dan jiwamu mempunyai hak atasmu, dan isterimu mempunyai hak atasmu, maka berilah setiap hak kepada orang yang berhak.” [Kitab Fataawa Nur ‘Ala Ad-Darbi Li Ibni, hlm. 675].
Semoga Allah SWT memberikan kemudahan bagi kita untuk memenuhi pelbagai amanah dan melakukan hal-hal yang bermanfaat. Dengan demikian, kita boleh meraih keberkatan setiap waktu sehingga tidak lagi berasa sibuk sendiri dan lalai melakukan pelbagai kebaikan (dakwah). Amin. Wallahu’alam bissawab.