[Metode Dakwah Al-Quran] Metode Dakwah Al-Quran Khusus mengenai Akidah atau Perang Pemikiran (Bahagian 1/4)
Penulis: Hafidz Shaleh, M.A.
Telah menjadi pengetahuan umum bahawa tidak mungkin memberikan idea baru kepada seseorang, sedangkan dalam benaknya terdapat sesuatu yang bertentangan atau kontradiksi dengannya. Oleh sebab itu, yang ada perlu dihilangkan dulu, agar yang baru boleh ditetapkan.
“Sesungguhnya Allah tidak mengubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka mengubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri.” (TMQ Ar-Ra’d [13]: 11).
Oleh kerana itu, Al-Quran bukan hanya mencukupkan dengan menjelaskan akidah Islam dan pemikirannya, serta hukum-hukum dan syariatnya, tetapi Al-Quran juga memberi perhatian pada akidah dan pemikiran yang rosak dalam diri kaum tersebut, lalu menjelaskan kekeliruannya dan membuktikan kebatilannya.
Ketika Islam hadir, masyarakat ketika itu benar-benar dalam kebodohan yang nyata dan kesesatan yang dalam. Adalah jelas bahawa dua akidah yang bertentangan tidak mungkin menyatu dalam benak manusia. Oleh kerana itu, berbagai akidah yang rosak dan pemikiran yang salah tersebut perlu diruntuhkan argumentasinya.
“Sebenarnya Kami melontarkan yang hak kepada yang batil lalu yang hak itu menghancurkannya, maka dengan serta merta yang batil itu lenyap.” (TMQ Al-Anbiyâ’ [21]: 18).
Dengan demikian, hujah mestilah dihentam dengan hujah, argumentasi dengan argumentasi. Banyak ayat telah menghina mimpi-mimpi kaum tersebut, menyerang keyakinan mereka, menjelaskan kekeliruannya, serta membuktikan kebatilannya, baik dari aspek asas mahupun cabang-cabangnya. Al-Quran tidak hanya mengkritik secara global terhadap orang yang tidak beriman, dan tidak hanya menggunakan aspek-aspek umum, atau pemikiran yang menyeluruh saja, tetapi juga memberi perhatian pada bahagian-bahagiannya.
Ayat-ayat Al-Quran mengkritik apa dikemukakan oleh tiap sekte/kelompok. Ertinya, ayat tersebut tidak hanya menyerang kekufuran kerana semata-mata kufur, tetapi ia juga menyerang semua bentuk kekufuran. Memang benar, kekufuran itu merupakan satu agama (fahaman). Ketika kata “kufur”, “kuffar” dan “kâfirûn” dikemukakan, tidak ada konotasi lain selain semua orang yang tidak mengimani kenabian dan kerasulan Muhammad.
Bukan hanya orang yang tidak beriman kepada Allah, seperti kaum atheis, atau beriman kepada Allah, tetapi berpandangan bahawa Allah tidak mempunyai tempat dalam kehidupan, atau orang yang tidak mengimani kebangkitan. Mereka semuanya dalam pandangan Islam adalah kafir. Jadi, setiap orang yang tidak beriman kepada kerasulan/risalah Muhammad saw. adalah kafir.
Sesungguhnya banyak ayat yang berturutan menyerang kekufuran dan orang-orang kafir. Berapa banyak juga ayat yang telah melaknat orang-orang kafir.
“Ingatlah, kutukan Allah (ditimpakan) atas orang-orang yang zalim.”(TMQ Hûd [11]: 18).
Berapa banyak ayat yang telah menghina mimpi-mimpi mereka dan mencela Tuhan-Tuhan mereka dengan gaya bahasa yang umum. Namun, ketika ayat-ayat tersebut membangun hujah terhadap masalah tertentu, ayat-ayat itu pasti mencantumkan apa yang dikemukakan oleh sekte kafir ini ataupun itu, kemudian mengkritik apa yang mereka kemukakan, walau hanya terhadap satu idea pada satu sekte. Oleh kerana itu, kita menemukan ayat-ayat tersebut mengkritik suku-suku Arab dengan berbagai keyakinannya secara spesifik, atau mengeneralisasikan mereka, kemudian menyebut mereka sebagai kaum musyrik untuk membezakan dengan orang-orang kafir ahli kitab. Ayat-ayat tersebut telah mengkritik pandangan materialisme bangsa Arab yang menyatakan,
“Kehidupan itu tidak lain hanyalah kehidupan kita di dunia ini, kita mati dan kita hidup dan sekali-kali tidak akan dibangkitkan lagi.”(TMQ Al-Mu’minûn [23]: 37).
“ Dan mereka berkata: “Tiadalah hidup yang lain selain daripada hidup kita di dunia ini. Kita mati dan kita hidup (silih berganti); dan tiadalah yang membinasakan kita melainkan edaran zaman”. Pada hal mereka tidak mempunyai sebarang pengetahuan tentang hal itu; mereka hanyalah menurut sangkaan semata-mata.“ (TMQ Al-Jâtsiyah [45]: 24).
Atau orang-orang yang mengakui dan meyakini kewujudan Tuhan,
Dan demi sesungguhnya! Jika engkau (wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu: “Siapakah yang mencipta langit dan bumi?” Sudah tentu mereka akan menjawab: “Allah”. (TMQ Az-Zumar [39]: 38).
Atau orang-orang yang tidak beriman sebagai kedengkian dalam hati mereka, atau orang-orang yang mengatakan,
“Dan mereka berkata, ‘Mengapa Al-Quran ini tidak diturunkan kepada seorang besar dari salah satu dua negeri (Makkah dan Thaif) ini?’” (TMQ Az-Zukhruf: 31).
Iaitu, Mekah dan Thaif. Atau orang-orang yang mengatakan,
“Kami tidak menyembah mereka melainkan supaya mereka mendekatkan kami kepada Allah dengan sedekat-dekatnya.” (TMQ Az-Zukhruf [43]: 3).
Ayat-ayat tersebut juga telah menyerang Tuhan-Tuhan mereka dan menjelaskan sisi-sisi buruknya, bahawa ia tidak boleh memberi manfaat dan mudarat, bahkan tidak boleh menyelamatkan dirinya dari keburukan. Mudah-mudahan ayat-ayat ini akan menggerakkan kepekaan dan perasaan mereka sehingga mereka dapat memfungsikan akal mereka serta memikirkan apa yang dikemukakan kepada mereka, agar dengan cara berfikir mereka itu, mereka akan boleh mengetahui kebenaran dan hakikat yang sesungguhnya.
Sumber: Hafidz Shaleh, M.A., Metode Dakwah Al-Quran