[Nafsiyah] Hakikat Teman Sejati
Penulis : Ustaz Arief B. Iskandar
Apabila ajal tiba dan seseorang itu secara sukarela atau terpaksa meninggalkan dunia ini, sebenarnya dia hanya akan ditemani oleh tiga ‘iringan’ iaitu keluarganya, hartanya dan amalnya.
Keluarganya hanya akan mengiringi jenazahnya hingga ke tepi tanah perkuburan. Mereka tidak mungkin menemaninya hingga ke dalam.
Hartanya—rumah, pangsapuri, tanah yang luas, taman yang indah, syarikat yang banyak, dan aset-aset lain—tidak mungkin menemaninya sejak awal. Satu-satunya harta yang dapat menemani dan mengiringinya ialah kain kafan yang melekat pada tubuhnya. Itupun hanya sampai ke dalam kubur.
Di saat kematian seperti itu, hanya amal soleh yang pasti akan tetap setia mengiringi dan menemaninya sehingga bertemu Rabbnya. Ia bukan sahaja menjadi sahabat sejati yang mendampinginya, malah amal solehnya juga akan dengan setia dan rela menjadi pembelanya di hadapan Mahkamah Pengadilan Akhirat, sebuah pengadilan yang pastinya amat dahsyat! Ketika itu, tidak mungkin keluarganya termasuk isteri/suaminya dapat membela atau membantu dirinya. Mereka malah boleh mencelakakan diri mereka sendiri, kecuali anak-anak mereka yang soleh/solehah. Bagaimana dengan hartanya? Tidak mungkin dia dapat mempertahankan dan menolong dirinya sendiri. Boleh jadi hartanya itu benar-benar membebaninya dan memberatkannya di hadapan Hakim yang Maha Adil, Allah ‘Azza wa Jalla, kecuali harta yang dia pernah sedekahkan, dihadiahkan, dihibahkan atau diwakafkan di jalanNya.
Jika benar hanya amal soleh sahaja yang menjadi sahabat sejati yang akan mengiringi, mendampingi dan membela manusia apabila dibawa ke Mahkamah Pengadilan Akhirat, hakikatnya ramai manusia yang lebih kerap sibuk mencari dan mengumpul harta kekayaan, mengejar jawatan dan kedudukan, dan taksub untuk mencapai kejayaan duniawi yang fana. Sebaliknya, mereka lalai untuk memperbanyakkan amal soleh, mengejar pahala/syurga, dan taksub untuk mencapai kejayaan ukhrawi yang abadi.
Oleh sebab itu, Nabi Muhammad SAW pernah besabda, “Tuhanku pernah menawarkan kepadaku untuk mengubah bukit-bukit di Mekah menjadi emas. Namun, aku mengangkat tanganku kepadaNya sambil berkata, ‘Ya Allah, aku lebih suka satu hari kenyang dan satu hari lapar supaya aku dapat mengingatiMu ketika aku lapar, dan memujiMu dan bersyukur kepadaMu apabila aku kenyang.‘” [HR At-Tirmidzi].
Bagaimana dengan kita?
Wa mâ tawfîqî illâ billâh wa ’alayhi tawakkaltu wa ilayhi unîb.
Sumber: ariefbiskandar[dot]com