[Nafsiyah] Jangan Menjadi Pemalas
Setiap manusia pasti pernah dihinggapi perasaan malas. Malas adalah penyakit yang membawa akibat buruk kerana boleh merosakkan personaliti, menghilangkan semangat hidup, menyebabkan kelalaian, dan melengah-lengahkan aktiviti dalam pelbagai perkara. Oleh itu, kita hendaklah sentiasa memohon perlindungan kepada Allah SWT daripada sifat malas.
Rasulullah SAW mengajarkan doa perlindungan daripada sifat malas, “Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung kepadaMu daripada kebingungan dan kesedihan. Aku berlindung kepadaMu dari kelemahan dan kemalasan. Aku berlindung kepadaMu dari sifat pengecut dan bakhil. Dan aku berlindung kepadaMu dari belenggu hutang dan penganiayaan manusia.” [HR Bukhari].
Imam Ar-Raghib rahimahullah berkata, “Barangsiapa yang bermalas-malasan, maka dia telah terputus dari kemanusiaan, bahkan dari kebinatangan dan telah menjadi kaum orang mati.”
Astaghfirullah. Sungguh teruk keadaan mereka yang suka bermalas-malasan. Kemalasan akan menyebabkan seseorang tidak dapat mencapai sesuatu yang menjadi haknya. Jika dia bosan, bermakna dia tidak sabar untuk mencapai haknya.
Sesungguhnya Allah SWT memberikan pelbagai potensi kepada manusia. Allah juga menciptakan akal dan kekuatan fizikal supaya manusia mampu melakukan banyak perkara. Semua kenikmatan ini bermanfaat untuk kehidupan mereka. Oleh itu, seorang Muslim mestilah mempunyai keazaman yang tinggi dan usaha yang gigih untuk mencapai banyak kebaikan.
Beramallah
Rasulullah SAW bersabda, “Sebaik-baik pendapatan seseorang adalah hasil jerih payah tangannya.” [HR Ibnu Majah]. Hadis ini memotivasikan para suami untuk bersemangat mencari rezeki dengan bekerja.
Umar RA mengatakan, “Wahai pembaca al-Quran (iait ahli ibadah), angkatlah kepala kalian sehingga jalan menjadi terang. Maka berlumba-lumbalah kamu dalam kebaikan dan janganlah kamu menjadi beban bagi kaum Muslim.”
Setiap muslim wajib beramal soleh, berusaha dan bersungguh-sungguh dalam setiap perkara. Orang yang hanya duduk diam bukanlah mutawakkil (orang yang bertawakkal), tetapi dia adalah mutawaakil (orang yang berpura-pura bertawakkal). Ini adalah kemalasan.
Setiap orang Islam mesti bersemangat menghadiri majlis ilmu, melaksanakan dakwah, dan bekerja bagi memenuhi nafkah keluarga. Wahai jiwa yang malas, bangkitlah! Bersegeralah melakukan pelbagai amal soleh agar tercatat amal soleh dan memperbanyakkan bekal menuju Rabbmu. Janganlah jadi pemalas kerana itu tidak membawa kebaikan untuk dunia dan akhiratmu. Wallahu musta’an.
https://muslimahnews.net/2023/12/29/26003/