Benarkah Memilih Pasangan Mesti Sekufu?
Penulis: Farisha Aris
Pada hakikatnya, perbincangan mengenai kafa’ah (setaraf atau sedarjat) antara suami dan isteri tidak mempunyai asas dalam syariat Islam. Isu ini sama sekali tidak disentuh, kecuali dalam beberapa hadis palsu. Malah al-Quran al-Karim sendiri menolaknya, begitu juga beberapa hadis sahih. Maka, setiap wanita Muslimah pada asasnya sesuai dengan mana-mana lelaki Muslim, begitu juga sebaliknya. Pelbagai perbezaan seperti kuantiti harta, jenis pekerjaan, garis keturunan atau perkara lainnya, tidak mempunyai nilai sama sekali. Oleh itu, umat Islam, sebahagian daripada mereka adalah sesuai untuk sebahagian yang lain. Allah SWT berfirman: “Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa di antara kamu” [TMQ al-Hujurat (49): 13].
Hanzhalah ibn Abi Sufyân al-Jumahi meriwayatkan daripada ibunya yang berkata: “Aku melihat saudara perempuan ‘Abdurrahmân ibn ‘Awf berada di bawah tanggungjawab (menjadi isteri) Bilal” [HR ad-Daruquthni]. Nabi SAW sendiri pernah mengahwinkan sepupu perempuannya iaitu Zaynab binti Jahsyi al-Asadiyah dengan Zayd ibn Harithah, mawla baginda (seorang hamba sahaya) yang telah dimerdekakan oleh baginda.
Seterusnya, Rasullullah SAW telah memberi pesanan penting kepada para Muslimah dan walinya yang dituturkan oleh Abu Hatim al-Muzani: “Rasulullah SAW pernah bersabda:“Jika datang kepada kamu seseorang (lelaki) yang kamu redai agama dan akhlaknya, maka kahwinkanlah dia. Jika kamu tidak melakukannya, maka akan berlaku fitnah di muka bumi dan kerosakan yang besar.” Para sahabat bertanya: “Wahai Rasulullah, bagaimana jika hal itu (kebaikan agama dan akhlak) ada padanya?” Rasulullah SAW menjawab: “Jika datang kepada kamu seseorang (lelaki) yang kamu redai agama dan akhlaknya, maka kahwinkanlah dia.” Rasulullah SAW mengatakannya hingga tiga kali” [HR Tirmidzî]. Hadis yang sama juga diriwayatkan melalui beberapa jalur yang lain.
Kesemua dalil di atas dengan jelas menunjukkan bahawa aspek sekufu (setaraf atau sedarjat) bagi suami dan isteri tidak diakui dalam syariat Islam. Setiap wanita yang telah reda dengan seorang lelaki untuk menjadi suaminya, maka hendaklah dia dikahwinkan dengan lelaki tersebut berdasarkan keredaannya itu. Begitu juga, setiap lelaki yang telah reda dengan seorang wanita untuk menjadi isterinya, maka hendaklah dia mengahwini wanita tersebut sesuai dengan keredaannya tanpa mempertimbangkan lagi masalah sekufu.
Kekeliruan tentang persoalan sekufu timbul apabila terdapat hadis-hadis seperti berikut:
- Hadis yang diriwayatkan oleh ‘Abdullâh ibn ‘Umar bahawa Nabi SAW pernah bersabda:“Orang Arab adalah sekufu satu sama lain, sebahagian untuk sebahagian lainnya, satu kabilah untuk kabilah lainnya, satu lingkungan untuk lingkungan lainnya, dan seseorang untuk seseorang lainnya, kecuali tukang tenun dengan tukang bekam.” Hadis ini munkar mawdhû‘ (mungkar dan palsu), tidak mempunyai asal-usul dan batil.
Daripada paparan di atas dengan jelas menunjukkan bahawa tidak terdapat satu pun nas mengenai masalah sekufu (setaraf atau sedarjat) sebagai syarat perkahwinan dalam Islam. Lebih-lebih lagi, menjadikan kesekufuan sebagai syarat adalah bertentangan dengan sabda Rasulullah SAW:“Tidak ada keutamaan bagi orang Arab atas orang non-Arab, kecuali dengan ketakwaan” [HR Ahmad]. Juga bertentangan dengan nas al-Quran yang bersifat qath’i: “Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa di antara kamu” [TMQ al-Hujurat (49): 13].
Wallahu’alam.