[Hukum Fikh] Larangan Ikhtilat dalam Majlis Pernikahan Menurut Empat Mazhab Fikih
Oleh: K.H. M. Shiddiq al-Jawi
Soalan:
Apakah pendapat ulama empat mazhab tentang hukum keharaman ikhtilat dalam majlis pernikahan?
Jawapan:
Sebenarnya hukum ikhtilat adalah haram secara umum (bukan sahaja dalam majlis pernikahan) dari pelbagai mazhab yang telah dijelaskan dalam bab sebelumnya, sudah memadai. Ini kerana hukum haram ikhtilat itu berlaku secara umum, baik ikhtilat di masjid, di jalanan, di sekolah, mahupun di tempat lain. Maka hukum umum tentang haramnya ikhtilat sebenarnya juga termasuk haramnya ikhtilat dalam majlis pernikahan.
Namun, kami akan memetik pelbagai pendapat ulama yang secara khusus menjelaskan keharaman ikhtilat dalam majlis pernikahan. Kami akan mengutip pendapat ulama dari pelbagai mazhab iaitu dari ulama mazhab Hanafi, Maliki, Syafie, dan Hanbali. Kami juga akan mengutip pendapat ulama kontemporari (semasa) mengenai larangan ikhtilat dalam majlis pernikahan.
Ulama Mazhab Hanafi
Imam Al-Hamawi (ulama mazhab Hanafi) (wafat 1098 H) menjelaskan bahawa majlis pernikahan yang mengandungi ikhtilat adalah haram,
وَهُوَ حَرَامٌ فِي زَمَانِنَا، فَضْلًاً عَنْ الْكَرَاهَةِ، لِأُمُورٍ لَا تَخْفَى عَلَيْكَ، مِنْهَا اخْتِلَاطُ النِّسَاءِ بِالرِّجَالِ
“Hal itu [walimah yang mengandungi kemungkaran] hukumnya haram pada zaman kita, lebih daripada sekadar makruh, kerana pelbagai alasan yang tidak tersembunyi kepada kita, antaranya berlaku ikhtilat antara wanita dan lelaki.” (Imam Al-Hamawi, Ghamzu ‘Uyuun Al-Basha’ir : Syarah Kitab Al-Asybah wa An-Nazhair li-Ibn Nujaim, Juz II, hlm. 144.).
Ulama Mazhab Maliki
Imam Ibnu Abu Zaid al-Qairuwani (ulama mazhab Maliki) (wafat 386 H), menjelaskan hukum mengenai wajibnya menghadiri undangan walimah kecuali jika dalam walimah itu terdapat kemungkaran (pelanggaran syariat),
وَلْتُجِبْ إذَا دُعِيت إلَى وَلِيمَةِ الْمُعْرِسِ إنْ لَمْ يَكُنْ هُنَاكَ لَهْوٌ مَشْهُورٌ وَلَا مُنْكَرٌ بَيِّنٌ
“Hendaklah kamu menghadiri jemputan walimah jika kamu diundang untuk menghadiri walimah al ‘urs, dengan syarat jika dalam walimah itu tidak ada lahwun masyhur (yang masyhur, perbuatan sia-sia yang haram) dan tidak ada kemungkaran yang nyata.” (Imam Nafrawi, Al-Fawakih ad-Dani, Juz II, hlm. 322).
Imam Nafrawi (wafat 1126 H) seterusnya memberikan syarah (penjelasan) mengenai kata “wa laa munkar bayyinun” (tidak boleh ada kemungkaran yang nyata dalam walimah) tersebut dengan berkata,
وَلَا مُنْكَرٌ بَيِّنٌ أَيْ : مَشْهُورٌ ظَاهِرٌ ، كَاخْتِلَاطِ الرِّجَالِ بِالنِّسَاءِ
“Perkataan ‘wa laa munkar bayyinun’ maksudnya adalah kemungkaran yang sudah masyhur yang jelas kelihatan seperti ikhtilat antara lelaki dan wanita.” (Imam Nafrawi, Al-Fawakih Ad-Dani, Juz II, hlm. 322).
Ulama Mazhab Syafie
Syeikh Musthofa al-Khin dan Syeikh Mushthofa al-Bugha (ulama mazhab Syafie) dalam kitab mereka Al-Fiqih al-Manhaji ‘ala Madzhab al-Imam Al-Syafie berkata mengenai syarat-syarat wajibnya memenuhi undangan walimah, antaranya ialah:
وَأَنْ لَا يَكُونَ هُنَاكَ مُنْكَرٌ : كَخَمْرٍ، وَاخْتِلَاطٍ بَيْنَ الرِّجَالِ وَالنِّسَاءِ أَوْ صُوَرِ إِنْسَانٍ أَوْ حَيَوَانٍ مُعَلَّقَةٍ عَلَى الْجُدْرَانِ
“Dalam walimah tidak boleh ada suatu kemungkaran, seperti dihidangkan arak, atau berlaku ikhtilat (bercampur aduk) antara tetamu lelaki dan wanita atau ada lukisan menggambarkan manusia atau binatang yang dipamerkan di dinding.” (Syeikh Musthofa Al-Khin dan Syeikh Mushthofa Al-Bugha, Al-Fiqih Al-Manhaji ‘Ala Madzhab Al-Imam Al-Syafie, [Damaskus : Darul Qalam, 1996], Juz IV, hlm. 99).
Syeikh Al-Habib Abdullah bin Husain Ba’alawi (ulama mazhab Syafie) dalam kitabnya Is’ādur Rafīq Syarah Sullam At-Taufīq menjelaskan bahawa haram bagi lelaki dan perempuan untuk berikhtilat dalam pelbagai jenis pertemuan (majmuu’at), termasuk di dalamnya ikhtilat dalam walimah nikah,
خَاتِمَةٌ : مِنْ أَقْبَحِ الْمُحَرَّمَاتِ وَأَشَدِّ الْمَحْظُورَاتِ اخْتِلَاطُ الرِّجَالِ بِالنِّسَاءِ فِي الْمَجْمُوعَاتِ لِمَا يَتَرَتَّبُ عَلَى ذَلِكَ مِنْ الْمَفَاسِدِ وَالْفِتَنِ وَالْقَبِيحَةِ
“Kesimpulan: termasuk keburukan dan keharaman yang paling besar ialah berlakunya ikhtilat antara lelaki dan perempuan dalam pertemuan, kerana hal ini akan menimbulkan pelbagai kerosakan, cubaan (Arab: fitnah), dan keburukan.” (Al-Habib Abdullah bin Husain Ba’ālawi, Is’ādur Rafīq Syarah Sullam At-Taufīq, Juz II, hlm. 68)
Ulama Mazhab Hanbali
Syeikh bin Baz menjelaskan di laman http://www.binbaz.or.sa dalam fatwa beliau bertajuk Hukmu Ikhtilāth A-Rijāl wa An-Nisā fi Al-A’rās seperti berikut,
أَمَّا اخْتِلَاطُ النِّسَاءِ بِالرِّجَالِ فِي مُنَاسَبَةِ الزَّوَاجِ هَذَا مُنْكَرٌ لَا يَجُوزُ، وَهَكَذَا رَقَصَ الزَّوْجُ مَعَ النِّسَاءِ، هَذَا مُنْكَرٌ لَا يَجُوزُ، بَلْ يَجِبُ مَنْعُ ذَلِكَ، وَلَا يَحِلُّ، بَلْ هُوَ مِنْ أَسْبَابِ الْفِتْنَةِ، فَهُوَ مُنْكَرٌ ظَاهِرٌ لَا يَجُوزُ، وَاَللَّهُ الْمُسْتَعَانُ، نَعَمْ
“Adapun ikhtilat wanita dengan lelaki dalam acara perkahwinan (walimah), ini adalah suatu kemungkaran, dan ianya tidak boleh. Begitu juga tarian pengantin lelaki dengan wanita, ini [juga] kemungkaran, tidak boleh, bahkan wajib hukumnya melarang hal itu, yang demikian itu tidak halal, malah ia merupakan salah satu punca berlakunya kemaksiatan (fitnah) kerana merupakan kemungkaran yang nyata, hukumnya tidak boleh. Wallahul musta’aan. Na’am. (Syeikh bin Baz, Hukmu Ikhtilāth A-Rijāl wa An-Nisā` fi Al-A’rās, http://www.binbaz.or.sa).
Ulama Lain
Syeikh Sayyid Sabiq dalam kitabnya Fiqih as-Sunnah berkata,
يُسْتَحْسَنُ شَرْعًا إِعْلَانُ الزَّوَاجِ، لِيَخْرُجَ بِذَلِكَ عَنْ نِكَاحِ السِّرِّ الْمَنْهِيِّ عَنْهُ، وَإِظْهَارًا لِلْفَرَحِ بِمَا أَحَلَّ اللَّهُ مِنْ الطَّيِّبَاتِ وَالْإِعْلَانُ يَكُونُ بِمَا جَرَتْ بِهِ الْعَادَةُ، وَدَرَجَ عَلَيْهِ عُرْفُ كُلِّ جَمَاعَةٍ، بِشَرْطِ أَلَّا يَصْحَبَهُ مَحْظُورٌ نَهَى الشَّارِعُ عَنْهُ كَشُرْبِ الْخَمْرِ، أَوْ اخْتِلَاطِ الرِّجَالِ بِالنِّسَاءِ، وَنَحْوِ ذَلِكَ
“Menurut syarak dianjurkan untuk mengumumkan pernikahan agar tidak termasuk ke dalam nikah siri (rahsia) yang telah dilarang, dan untuk menampakkan kegembiraan dengan segala sesuatu kebaikan yang telah dihalalkan oleh Allah. Pengumuman pernikahan itu dilakukan sesuai mengikut adat kebiasaan yang ada dan sesuai dengan kebiasaan masyarakat masing-masing, dengan syarat tidak disertai dengan perkara haram yang telah dilarang oleh syarak seperti minum arak (minuman keras), ikhtilat antara lelaki dan perempuan dan seumpamanya.” (Sayyid Sabiq, Fiqih As-Sunnah, Juz II, hlm. 231).
Dalam kitab Mausu’ah al-Fiqh al-Islami dinyatakan haramnya ikhtilat dalam walimah seperti berikut,
مَنْ دُعِيَ إِلَى وَلِيمَةِ الْعُرْسِ، وَعَلِمَ أَنَّ فِي الْوَلِيمَةِ مُنْكَرًاً يَقْدِرُ عَلَى تَغْيِيرِهِ، حَضَرَ وَغَيَّرَهُ، وَإِنْ لَمْ يَقْدِرْ فَلَا يَلْزَمُهُ الْحُضُورُ، وَالْمُنْكَرُ كَالْإِسْرَافِ فِي الطَّعَامِ، وَالْغِنَاءِ، وَالتَّصْوِيرِ، وَالتَّبَرُّجِ، وَالِاخْتِلَاطِ ، وَالْخُمُورِ وَنَحْوِ ذَلِكَ مِنْ الْمُحَرَّمَاتِ.وَمَنْ حَضَرَ ثُمَّ عَلِمَ بِالْمُنْكَرِ أَزَالَهُ، فَإِنْ لَمْ يَقْدِرْ عَلَى إِزَالَتِهِ انْصَرَفَ.
“Sesiapa saja yang diundang menghadiri walimah al ‘urs (walimah kahwin), dan dia mengetahui bahawa dalam walimah itu ada kemungkaran yang dapat dihilangkan, maka dia wajib hadir dan wajib menghilangkan kemungkaran yang berlaku. Jika dia tidak mampu menghilangkan kemungkaran, maka dia tidak wajib menghadiri undangan walimah itu. Kemungkaran itu contohnya berlebihan-lebihan (israaf) dalam makanan, ada nyanyian (yang haram), ada lukisan (makhluk bernyawa), tabarruj (hiasan wanita yang menarik perhatian lelaki), terjadinya ikhtilat, hidangan arak, dan perkara lain yang diharamkan. Dan barang siapa yang hadir dalam walimah itu kemudian mengetahui ada kemungkaran, maka dia wajib menghapuskan kemungkaran itu. Jika dia tidak mampu menghapuskan kemungkaran, maka dia mesti pulang.” (www.al-eman.com, Mausu’ah al-Fiqh al-Islami).
Dalam kitab Al-Mausū’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah juga dinyatakan bahawa ikhtilat dalam dalam walimah adalah haram seperti berikut,
مِنْ شُرُوطِ إِجَابَةِ الدَّعْوَةِ أَنْ لَا يَكُونَ بِمَكَانِ الْوَلِيمَةِ اخْتِلَاطُ النِّسَاءِ بِالرِّجَالِ
“Di antara syarat-syarat wajib [memenuhi undangan walimah nikah] : bahawa tidak ada ikhtilat (percampuran) antara perempuan dan lelaki di tempat walimah.” (Al-Mausū’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, Juz ke-45, hlm. 242).
Kesimpulannya, keharaman ikhtilat dalam walimah nikah merupakan hukum syarak yang disepakati oleh semua ulama, baik ulama dari empat mazhab iaitu mazhab Hanafi, Maliki, Syafie, dan Hanbali, mahupun ulama-ulama lain pada zaman terdahulu ataupun pada zaman sekarang.
Sumber:
*Petikan dari buku Ikhtilat dalam Walimah Nikah karya K.H. M. Shiddiq al-Jawi, Cetakan II, 2023, hlm. 46—50.
#Fikih #WalimahNikah #Ikhtilat #HukumSyarak