[Fikih] Mengenakan Jilbab di Dalam Rumah Ketika Ada Lelaki Non-mahram
Oleh: K.H. M. Shiddiq al-Jawi
(Pakar Fikih Muamalah dan Kontemporer)
Soalan:
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Ustaz, afwan ustaz saya mahu bertanya terkait jilbab. Apakah wajib seorang perempuan ketika di dalam rumah mengenakan jilbabnya, ketika ada lelaki asing (ajnabi) bukan mahram di dalam rumah tersebut. Misalnya, abang ipar atau adik ipar ketika acara-acara keluarga. Apakah boleh berpakaian longgar yang tidak menampakkan auratnya? Misalnya telekung, Ustaz.
Jawapan:
Wa‘alaikumus salam warahmatullahi wabarakatuh
Boleh hukumnya seorang wanita muslimah tidak mengenakan jilbab di dalam rumah, ketika ada lelaki bukan mahram di dalam rumah tersebut, misalnya abang ipar atau adik iparnya. Di dalam rumah wanita muslimah tidak diwajibkan mengenakan jilbab, hanya diwajibkan mengenakan busana yang menutup aurat, iaitu busana yang menutupi seluruh tubuhnya, kecuali wajah dan kedua telapak tangan.
Jilbab yang dimaksudkan di sini bukanlah tudung atau hijab sebagaimana yang difahami oleh masyarakat, melainkan jilbab dalam maknanya yang syarie. Jilbab syarie adalah busana sekeping (bukan potongan) yang longgar yang menutupi seluruh tubuh seorang wanita muslimah yang dipakai di atas baju rumahnya, semisal kaftan, blouse berserta seluar panjang, dsb..
Syeikh Rawwās Qal’ah Jie dalam kitabnya Mu’jam Lughat Al-Fuqaha` menjelaskan definisi jilbab dalam makna syarie-nya sebagai berikut,
الْجِلْبَابُ هُوَ ثَوْبٌ وَاسِعٌ تَلْبَسُهُ الْمَرْأَةُ فَوْقَ ثِيَابِهَا
“Jilbab adalah sebuah baju yang longgar yang dipakai oleh wanita muslimah di atas baju rumahnya.” (Rawwās Qal’ah Jie, Mu’jam Lughat Al-Fuqaha`, hlm. 144).
Syeikh ‘Atha bin Khalil Abu ar-Rasytah, seorang ulama Palestin, penulis kitab Taysīr Al-Wushūl Ilā Al-Ushūl, menjelaskan definisi yang sama untuk jilbab syarie, sebagai berikut,
الْجِلْبَابُ هُوَ ثَوْبٌ وَاسِعٌ فَوْقَ مَلاَبِسِهَا الْمُعْتَادَةِ يُرْخىَ إِلىَ أَسْفَلَ حَتىَّ الْقَدَمَيْنِ
“Jilbab adalah sebuah baju yang longgar di atas baju rumahnya yang biasa dipakainya, yang terhulur hingga ke bawah hingga kedua kakinya.” (https://www.hizb-ut-tahrir.info/ar/index.php/ameer/jurisprudence-questions/55042.html).
Jilbab dalam pengertian ini merupakan busana yang wajib dipakai dalam kehidupan umum (al-hayāt al-‘āmmah), misalnya di jalan raya, di lapangan, di pejabat, di sekolah, di masjid, dalam kenderaan umum, dan sebagainya.
Dalilnya adalah hadis Ummu ‘Athiyah ra. sebagai berikut,
عَنْ أُمِّ عَطِيَّةَ، قالَتْ: أَمَرَنَا رَسولُ اللهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، أَنْ نُخْرِجَهُنَّ في الفِطْرِ وَالأضْحَى، اَلْعَوَاتِقَ، وَالْحُيَّضَ، وَذَوَاتِ الخُدُورِ، فأمَّا الحُيَّضُ فَيَعْتَزِلْنَ الصَّلَاةَ، وَيَشْهَدْنَ الخَيْرَ، وَدَعْوَةَ المُسْلِمِينَ، قُلْتُ: يَا رَسُوْلَ اللهِ، إحْدَانَا لاَ يَكُوْنُ لَهَا جِلْبَابٌ، قَالَ: لِتُلْبِسْهَا أُخْتُهَا مِن جِلْبَابِهَا
Dari Ummu ‘Athiyah ra. dia berkata, “Rasulullah saw. telah memerintahkan kami (kaum wanita) untuk keluar rumah pada hari raya Aidilfitri dan Aidiladha, baik gadis-gadis yang baru baligh, wanita-wanita yang sedang haid, mahupun gadis-gadis pingitan. Adapun kaum wanita yang sedang haid, mereka tidak ikut solat, tetapi mereka menyaksikan kebaikan dan mendengarkan dakwah untuk kaum muslimin. Aku (Ummu ‘Athiyah ra.) berkata, ‘Wahai Rasulullah, salah seorang wanita dari kami tidak mempunyai jilbab.’ Maka Rasulullah saw. bersabda, ‘Hendaklah saudaranya sesama muslimah meminjamkan jilbabnya kepadanya.’” (HR. Bukhari, no. 980; Muslim, no. 883).
Setelah menyajikan hadis ini dan dalil-dalil lainnya, Syeikh ‘Atha bin Khalil Abu ar-Rasytah berkata,
فَهَذِهِ الْأَدِلَّةُ صَرِيحَةٌ فِي الدَّلَالَةِ عَلَى لِبَاسِ الْمَرْأَةِ فِي الْحَيَاةِ الْعَامَّةِ
“Jadi dalil-dalil ini, secara jelas menunjukkan adanya busana bagi wanita muslimah dalam kehidupan umum (al-hayāt al-‘āmmah), (iaitu jilbab).” (https://www.hizb-ut-tahrir.info/ar/index.php/ameer/jurisprudence-questions/55042.html).
Jadi, jilbab dalam maksud busana sekeping yang longgar (satu potong) yang terhulur hingga ke kedua kaki, bukan dalam maksud tudung (hijab), yang merupakan busana yang wajib dipakai wanita muslimah dalam kehidupan umum (al-hayāt al-‘āmmah), seperti di jalan raya, di sekolah, dsb.. Maksudnya, jilbab tidak wajib dipakai bagi wanita muslimah yang berada dalam kehidupan khusus (al-hayāt al-khashshah), seperti di rumah, di rumah, di asrama, di dalam kenderaan peribadi, dan yang semisalnya.
Adapun jika di dalam kehidupan khusus (al-hayāt al-khashshah) tersebut terdapat lelaki bukan mahram, misalnya abang ipar atau adik iparnya, maka wanita muslimah hanya diwajibkan berbusana yang sopan yang menutup seluruh auratnya, kecuali wajah dan kedua telapak tangan. Dalilnya hadis dari Qatādah ra. bahawa Rasulullah saw. telah bersabda,
إنَ الْجَارِيَةَ إِذَا حَاضَتْ لَمْ يَصْلُحْ أَنْ يُرَ مِنْهَا إِلاَ وَجْهَهَا وَكَفَيْهَا إِلَى الْمِفْصَلِ
”Sesungguhnya seorang perempuan jika telah haid, maka tidak boleh dilihat darinya kecuali wajahnya dan tangannya hingga pergelangan tangan.”(HR Abu Dawud, Al-Marāsil ma’a Al-Asānid, Kitābul Libās, hlm. 215).
Kesimpulannya, boleh hukumnya seorang wanita muslimah tidak mengenakan jilbab di dalam rumah, misalnya memakai telekung, seperti yang ditanyakan di atas, ketika ada lelaki bukan mahram di dalam rumah tersebut. Di dalam rumah, wanita muslimah tidak diwajibkan mengenakan jilbab, hanya diwajibkan mengenakan busana yang menutup aurat, iaitu busana yang menutupi seluruh tubuhnya, kecuali wajah dan kedua telapak tangan.
Hanya saja, yang afdal (utama) adalah wanita muslimah tersebut tetap mengenakan jilbab walaupun di rumahnya sendiri, ketika ada saudara lelaki ipar, sebagai bentuk kehati-hatian (ihtiyāth). Rasulullah saw. bersabda,
الحموُ الموتُ
”(Berkhalwat dengan) saudara ipar (al-hamwu) adalah kematian.” (HR. Al-Bukhari & Muslim).
Yakni maksudnya, berkhalwat dengan saudara ipar dapat menyebabkan terjadinya kemaksiatan, seperti zina, dsb.. (Ibnu Hajar Al-‘Asqalani, Fathul Bāri, 9/332). Wallahualam.