[SN 645] Hanya Khilafah Harapan Kita, Bukannya ICJ Mahupun PBB
Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pada 26 Januari 2024 memerintahkan Israel mengambil tindakan mencegah pembunuhan beramai-ramai (genosida) di Gaza dan menggesa diadakan gencatan senjata. Walaubagaimanapun, ICJ tidak membuat keputusan berkaitan intipati kes yang dikemukakan oleh Afrika Selatan sama ada genosida berlaku di Gaza atau tidak. Setelah ICJ mengeluarkan keputusan tersebut Israel tetap meneruskan operasi menyembelih umat Islam di Gaza malah beberapa buah negara seperti Amerika Syarikat dan Britain telah menghentikan sumbangan kepada Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA) dengan alasan beberapa kakitangan agensi itu terbabit dalam serangan pada 7 Oktober.
ICJ hakikatnya hanya mampu mengeluarkan keputusan tanpa daya untuk menguatkuasakannya. Pada tahun 2020 ICJ pernah memerintahkan Myanmar untuk melindungi umat Islam Rohingya namun perintah itu tidak diendahkan oleh pemerintah Myanmar. Yang pasti, mengharapkan badan antarabangsa seperti ICJ untuk menyelesaikan masalah umat Islam adalah sia-sia dan hanyalah suatu fantasi.
Di media sosial ramai yang meluahkan perasaan marah terutama di kalangan mereka yang mengharapkan ICJ mengeluarkan keputusan yang tegas. Tidak dinafikan ada antara umat Islam di Palestin yang berharap ICJ dapat memberikan keadilan, mengiktiraf nasib mereka dan memberi mereka sedikit kelegaan. Namun, sekali lagi mereka melihat badan antarabangsa seperti ICJ mengecewakan mereka.
Mereka yang memahami kerosakan yang wujud dalam peraturan antarabangsa tidak terkejut dengan keputusan ini malah ianya dijangkakan. Tambahan pula, ICJ adalah badan PBB dan mereka tidak mempunyai daya untuk melakukan sebarang tindakan secara praktikal. Bukan itu sahaja, Amerika Syarikat dan Israel telah secara terang-terangan menyatakan berkali-kali bahawa mereka akan menolak sebarang keputusan yang bertentangan dengan kepentingan mereka dan akan meneruskan tindakan kejam mereka.
Apa yang memeranjatkan adalah ada pihak yang memuji keputusan ICJ ini sebagai satu kemenangan. Mereka mengatakan bahawa keputusan ICJ dicapai hampir sebulat suara; bahawa kes yang dibawa oleh Afrika Selatan mempunyai merit; dan ICJ mengarahkan Israel mengambil “semua langkah dalam kuasanya” untuk menghentikan pembunuhan ke atas penduduk Gaza serta menuntut Israel untuk melaporkan kembali kepada ICJ dalam tempoh sebulan. Keputusan ICJ juga disifatkan sebagai suatu yang “luar biasa” oleh Craig Mokhiber, mantan pengarah pejabat Pesuruhjaya Tinggi Hak Asasi Manusia PBB. Beliau berpendapat terdapat gesaan tersirat untuk gencatan senjata dalam keputusan ICJ.
Bagaimanapun, analisis ke atas keputusan ICJ menunjukkan kepada kita dua perkara:
1) Israel tidak diwajibkan untuk mengikut keputusan dan ketetapan tersebut, kerana ICJ tidak mempunyai kuasa untuk menguatkuasakan keputusannya. Ia bergantung semata-mata kepada kesanggupan sesebuah negara untuk mematuhi ketetapan tersebut. Israel tidak merasa terdesak untuk mematuhi arahan ICJ kerana ia mendapat perlindungan Amerika Syarikat dan sekutunya sejak penubuhannya pada tahun 1948 yang menjadikan Israel angkuh dan biadap.
2) Jika ICJ memutuskan Israel telah melakukan pembunuhan beramai-ramai sekalipun, ia tidak akan membawa apa-apa perubahan. Badan seperti ICJ digunakan apabila negara Barat mahu memberi tekanan kepada pihak lain untuk mengikut peraturan dan nilai mereka, atau apabila mereka ingin menunjukkan bahawa kedaulatan undang-undang boleh kekal utuh – walaupun kerajaan tertentu memilih untuk tidak mematuhinya. Ini dilakukan dalam usaha untuk memastikan dunia terus merujuk kembali kepada sistem ciptaan mereka untuk penyelesaian, walaupun hakikatnya sistem itulah yang menjadi punca permasalahan.
Umat Islam seharusnya sedar, walaupun diberitahu bahawa mereka mempunyai pemerintah yang ‘demokratik’, para pemimpin umat Islam hakikatnya tidak sanggup menunaikan kewajipan mereka untuk melindungi umat Islam. Krisis yang melanda semenanjung Gaza ini bukanlah kejadian kali pertama para pemimpin umat Islam mendedahkan wajah sebenar mereka. Sudah banyak kejadian di mana kaum Muslimin dizalimi dan bantuan para pemimpin diharapkan – namun berulang kali umat Islam kecewa kerana para pemimpin mereka langsung tidak berusaha untuk melakukan sesuatu yang konkrit bagi menyelesaikan masalah-masalah ini. Apa yang mereka dengar hanyalah retorik yang diulang berkali-kali.
Umat Islam memiliki kencintaan yang cukup mendalam terhadap penduduk Palestin dan mereka benar-benar memahami kedudukan Masjid al-Aqsa sebagai masjid ketiga paling suci dalam Islam serta kedudukan Palestin sebagai bumi anbiya’ (para nabi). Mereka sangat membenci kekejaman Israel dan kagum dengan keimanan penduduk Palestin dalam menghadapi penindasan. Malangnya perasaan umat Islam tidak dikongsi oleh para penguasa mereka.
Perubahan wajib dilakukan – dan bukan hanya perubahan pemimpin, lebih penting, perubahan dari sistem yang rosak hari ini kepada sistem Islam. Kita perlu mengakui bahawa sistem yang wujud sekarang merupakan punca utama permasalahan yang melanda umat Islam. Sistem ini wajib diubah kepada sistem pemerintahan Islam bagi menyelamatkan umat Islam di Palestin dan di tempat-tempat lain. Usaha untuk menegakkan semula Khilafah Islam sebagai sistem pemerintahan yang diwarisi dari Nabi SAW merupakan satu kewajiban yang dipikul oleh setiap Muslim hari ini.
Pada masa yang sama, muhasabah wajib dijalankan ke atas para pemimpin sedia ada. Kita wajib terus menyeru para pemimpin dan tentera di negara-negara kaum Muslimin bahawa satu-satunya jalan untuk membebaskan saudara kita di Palestin adalah dengan mengirimkan tentera yang boleh menghentikan penjajahan Zionis. Allah SWT berfirman:
“Jika mereka meminta pertolongan kepadamu dalam [urusan pembelaan] agama, maka kamu wajib memberikan pertolongan”
[Al-Anfal 8:72].
Seruan ini wajib kita lakukan meskipun hasil yang kita harapkan tidak berlaku.
Allah SWT telah memberitahu kita berulang kali dalam Al-Quran bahawa kita mempunyai kewajiban untuk hidup di bawah pemerintahan Islam. Kehidupan di bawah Islam akan memastikan bahawa umat Islam kita akan dilindungi. Kehidupan di bawah sistem pemerintahan bukan Islam akan membawa kepada ketidakadilan dan kesengsaraan.
“Dan hendaklah engkau menjalankan hukum di antara mereka dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah dan janganlah engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka, dan berjaga-jagalah supaya mereka tidak memesongkanmu dari sesuatu hukum yang telah diturunkan oleh Allah kepadamu”
[Al Maidah 5:49]
Umat Islam yang masih berfikiran waras dan memiliki keimanan pastinya memahami bahawa membela Palestin merupakan satu tanggungjawab yang besar. Hakikatnya, Palestin hanya boleh dibebaskan secara hakiki di bawah sistem pemerintahan Islam, Khilafah. Sang Khalifah wajib melindungi seluruh dunia Islam termasuk bumi Palestin yang diberkati Allah dan mengusir para penjajah kuffar dari seluruh penjuru tanah kaum Muslimin. Pada suatu ketika, Palestin pernah berada di bawah perlindungan Khilafah semenjak Saidina Umar bin Al-Khaththab ra menandatangani Perjanjian Umariyyah.
Salah satu usaha Khilafah dalam melindungi Palestin adalah penolakan Khalifah Uthmaniyyah dari tipu daya pemimpin Zionis Theodor Herzl. Beliau telah merayu Khalifah Sultan Abdul Hamid II (1842-1918) dan cuba menyogok Khalifah dengan wang yang sangat banyak dan berjanji akan melunasi hutang Khilafah Uthmaniyyah. Namun, harga diri dan ketaqwaan Sultan Abdul Hamid II amat tinggi – beliau menolak sogokan tersebut sekeras-kerasnya.
Jelas sekali, kewujudan Khilafah Islamiyyah adalah penting dan usaha mewujudkannya adalah wajib atas kaum Muslimin kerana ia merupakan satu-satunya pelindung umat yang hakiki. Dengan Khilafah, harta, darah dan jiwa kaum Muslimin dan ahlu dhimmah akan dilindungi. Kesejahteraan dan keamanan akan dikecapi, pembelaan dan perlindungan akan diperolehi – di sinilah seharusnya diletakkan usaha dan pengharapan kita, bukannya sandaran kepada institusi kufur seperti ICJ.
Nabi Muhammad SAW bersabda:
إِنَّمَا الْإِمَامُ جُنَّةٌ، يُقَاتَلُ مِنْ وَرَائِهِ، وَيُتَّقَى بِهِ
”Sungguh imam (khalifah) itu laksana perisai, orang-orang akan berperang di belakangnya dan menjadikannya sebagai pelindung (mereka)”
[HR Muslim]
Sumber: mykhilafah