[NF154] Buli: Ancaman Terhadap Kesihatan Mental Anak-Anak
Oleh : Nur Zuliyana Mustafa
Isu buli menjadi satu isu yang lebih membimbangkan pada saat ini apabila terdapat kes buli yang berakhir dengan perlakuan jenayah. Statistik menunjukkan bahawa sebanyak 2,889 kes salah laku buli direkodkan membabitkan 740 kes di sekolah rendah dan 2,149 kes di sekolah menengah sepanjang tahun lalu. Bagi kategori salah laku jenayah pula, sebanyak 3,570 kes direkodkan dengan 457 kes di sekolah rendah dan 3,113 kes di sekolah menengah.
Baru-baru ini juga negara digemparkan dengan kes seorang pelajar perempuan berusia 15 tahun di Banting yang cedera parah akibat ditikam oleh rakan sekelasnya yang dipercayai sedang menjalani rawatan kesihatan mental selepas menjadi mangsa buli. Kes ini telah membuka mata masyarakat tentang kepentingan memberi perhatian terhadap kesihatan mental dalam kalangan kanak-kanak dan remaja, khususnya mereka yang menjadi mangsa buli.
Kesan Buli Kepada Kesihatan Mental
Buli memberikan kesan yang besar kepada kesihatan mental mangsa. Pengalaman dibuli secara berterusan boleh menyebabkan mangsa mengalami tekanan emosi, kemurungan (depression) dan kebimbangan (anxiety). Mangsa juga cenderung berasa tidak selamat, hilang kepercayaan dan bersikap curiga terhadap orang lain serta merasakan diri tidak bernilai.
Selain itu, kekurangan sokongan sosial menyebabkan mangsa lebih sukar untuk menghadapi tekanan dan seterusnya meningkatkan perasaan gelisah, takut dan memicu pemikiran negatif. Dalam sesetengah keadaan, mangsa buli boleh menjadi lebih agresif sebagai satu cara untuk mangsa mempertahankan diri. Dalam jangka panjang, jika hal ini tidak ditangani, ia akan menyebabkan risiko masalah kesihatan mental yang berpanjangan.
Pensyarah Perunding Kanan Psikiatri Universiti Malaya (UM) Prof Madya Dr Muhammad Muhsin Ahmad Zahari berkata, tekanan berterusan pada mangsa buli boleh mencetuskan kemurungan serius dan kerisauan melampau apabila rasa selamat, penerimaan sosial dan maruah diri mereka terjejas. [Harian Metro Online, 14/7/2026]
Kesihatan Mental: Tanggungjawab Siapa?
Bagi menangani isu ini, semua pihak perlu bekerjasama, khususnya ibu bapa, sekolah dan masyarakat. Ibu bapa hendaklah sentiasa peka terhadap perubahan tingkah laku anak serta mewujudkan komunikasi yang terbuka agar anak berasa selesa berkongsi segala masalah terutamanya jika mereka dibuli di sekolah.
Di sekolah pula, para guru termasuklah kaunselor dan warden asrama perlu peka dengan tanda-tanda awal mangsa buli, memberikan sokongan emosi serta mengambil tindakan segera terhadap setiap aduan buli yang diterima. Hal ini penting kerana kesihatan mangsa buli perlu diberikan keutamaan supaya mereka dapat pulih daripada masalah kesihatan fizikal dan mental yang berpanjangan akibat dibuli.
Prof Madya Dr Muhammad Muhsin Ahmad Zahari menegaskan bahawa tanpa mengira sama ada kes di Banting itu disahkan berpunca daripada buli atau sebaliknya, ia sewajarnya membuka semula perbincangan mengenai betapa pentingnya sistem sokongan kesihatan mental yang menyeluruh di sekolah. Tujuannya adalah untuk melindungi mangsa sekaligus menyelamatkan pelaku daripada terus hanyut dalam kitaran keganasan yang lebih besar.
Selain itu, masyarakat juga memainkan peranan penting dalam membanteras budaya buli. Masyarakat tidak boleh hanya berdiam diri apabila menyaksikan kejadian buli, sebaliknya haruslah melaporkannya kepada pihak yang bertanggungjawab. Di samping itu, masyarakat perlu memberikan sokongan kepada mangsa dan menggalakkan mereka mendapatkan bantuan profesional sekiranya mengalami masalah kesihatan mental. Kerjasama semua pihak amat penting bagi mewujudkan persekitaran yang selamat, prihatin dan bebas daripada buli.
Bagaimana Pula Dengan Peranan Negara?
Memang tidak dinafikan bahawa ibu bapalah yang bertanggungjawab dalam mendidik dan membesarkan anak-anak dengan sokongan masyarakat. Namun, usaha untuk melindungi anak-anak tidak boleh dipikul oleh ibu bapa dan masyarakat sahaja. Negara turut mempunyai tanggungjawab besar melalui pelaksanaan dasar terutamanya dalam perkhidmatan kesihatan, penguatkuasaan undang-undang, serta pelaksanaan sistem pendidikan Islam. Bak kata pepatah bahasa Inggeris, “It takes a village to raise a child” yang bermakna membesarkan seorang anak adalah tanggungjawab semua pihak.
Dalam Islam, negara bertanggungjawab untuk menerapkan sistem pendidikan yang berasaskan akidah Islam bagi melahirkan insan yang bertakwa dan berkeperibadian Islam. Melalui pelaksanaan sistem ini, setiap individu dijamin hak untuk memperoleh ilmu dan pendidikan yang membentuk akhlak, sekaligus melahirkan masyarakat yang terikat dengan hukum syarak, saling menghormati serta mencegah gejala sosial seperti buli.
Selain itu, negara juga berperanan mengawal kemasukan bahan-bahan yang berunsur keganasan atau negatif melalui pelbagai medium. Hal ini penting bagi mengelakkan anak-anak mudah terpengaruh dengan apa yang mereka lihat dan tonton. Kanak-kanak cenderung meniru tingkah laku yang dipertontonkan dihadapan mereka dan jika tidak dikawal, pendedahan tersebut boleh membentuk sikap agresif serta menormalisasikan perbuatan seperti buli dan keganasan.
Di samping itu, negara turut bertanggungjawab menjaga kesihatan rakyat dengan menyediakan perkhidmatan kesihatan terbaik yang percuma, berkualiti dan boleh diakses oleh semua, termasuk rawatan fizikal dan kesihatan mental kepada mangsa buli. Hospital hendaklah dilengkapi dengan kemudahan moden, tenaga kesihatan yang berkelayakan serta rawatan yang bebas daripada kepentingan komersial.
Penyediaan perkhidmatan ini bukan sekadar kebajikan, tetapi merupakan kewajipan syarak bagi memelihara nyawa dan kesejahteraan rakyat. Oleh itu, dalam Negara Islam, setiap individu berhak memperoleh rawatan kesihatan yang sewajarnya sebagai salah satu hak asasi yang dijamin oleh negara.
Rasulullah SAW bersabda, “Ketahuilah, setiap kalian adalah pemimpin, kesemuanya bertanggungjawab terhadap apa yang dipimpinnya. Imam adalah pemimpin ke atas orang ramai dan dia bertanggungjawab terhadap apa yang dipimpinnya.” [HR Bukhari dan Muslim]
Zulkipli et al. (2022) menjelaskan bahawa psikoterapi Nabawi merupakan pendekatan rawatan komplementari yang berteraskan al-Quran dan Sunnah bagi membantu memulihkan kesihatan mental melalui pengukuhan aspek rohani, emosi dan spiritual. Pendekatan ini melengkapkan rawatan moden dengan amalan seperti zikir, doa, bacaan al-Quran dan tawakal.
Peradaban Islam satu ketika dahulu, turut memberi perhatian terhadap kesihatan mental melalui penubuhan Bimaristan, iaitu hospital yang menyediakan rawatan bagi penyakit fizikal dan mental. Hal ini membuktikan bahawa Negara Islam menitikberatkan penjagaan kesihatan rakyat termasuk kesihatan mental dan memastikan setiap individu mendapat hak untuk menerima rawatan yang sewajarnya.
Kesimpulan
Kesihatan mental mangsa buli bukan sekadar masalah individu, tetapi berpunca daripada keruntuhan akhlak dan gejala sosial dalam masyarakat. Justeru, penyelesaiannya bukan hanya tertumpu kepada rawatan mangsa atau pembentukan sahsiah individu semata-mata, malah memerlukan peranan negara yang menerapkan sistem Islam secara bersepadu dan menyeluruh. Firman Allah SWT,
“Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam Islam secara keseluruhan (kaffah)…” [TMQ al-Baqarah (2) :208].
Dengan pelaksanaan sistem Islam secara menyeluruh, segala urusan kehidupan umat dapat diatur dengan baik sehingga dapat membanteras budaya buli dan dapat memelihara kesihatan mental anak-anak.
Rujukan :
- Parlimen: 2,889 kes buli direkod tahun lalu, 2024 catat angka tertinggi | Awani
- Hanya sistem pendidikan berteraskan akidah Islam dapat melahirkan anak-anak yang bertakwa – Hizbut Tahrir Malaysia
- https://mykhilafah.com/masalah-kesihatan-sistem-bukan-sekadar-individu-yang-perlu-berubah/
- https://www.google.com/amp/s/www.hmetro.com.my/amp/WM/2026/07/1383963/pelaku-dan-mangsa-ada-masalah