[NF157] GENERASI KITA, TANGGUNGJAWAB SIAPA? (Siri 1)
Oleh : Ummu Raudhah
Saban hari, masalah buli yang ekstrem, salah laku jenayah, serta masalah sosial dalam kalangan pelajar tidak boleh lagi dilihat sebagai sekadar kes terpencil. Sebaliknya, masalah-masalah ini telah menjadi satu barah yang kian bernanah dalam masyarakat kita. Tambahan pula, masalah-masalah ini bukan sahaja menggambarkan keruntuhan akhlak pelajar tetapi melibatkan soal keselamatan dan kesejahteraan pelajar di sekolah yang memerlukan perhatian serius daripada semua pihak.
Sorotan Statistik dan Data
Buli terutamanya, terus menjadi masalah yang mencabar keselamatan dan kesejahteraan murid di sekolah. Data Sistem Sahsiah Diri Murid (SSDM) Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) merekodkan sebanyak 6,528 kes buli pada 2023 manakala sebanyak 7,681 kes buli di sekolah bawah KPM pada 2024. Pada 2025 pula, sebanyak 2,889 kes buli turut direkodkan. [1]
Tidak cukup dengan itu, persoalan keselamatan pelajar menjadi lebih berat apabila berlakunya salah laku yang meragut nyawa. Pada Oktober 2025, seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun maut ditikam di sebuah sekolah menengah di Bandar Utama, Petaling Jaya. Pada Oktober 2026, seorang lagi pelajar perempuan berusia 16 tahun dilaporkan maut dalam kejadian di sebuah sekolah di Yong Peng, Johor. Kedua-dua kejadian mempunyai latar belakang tersendiri dan tidak wajar dianggap berpunca daripada satu faktor yang sama. Namun, tragedi ini menuntut penelitian terhadap keselamatan pelajar, kesejahteraan mereka serta keupayaan institusi berkaitan mengesan dan menangani masalah sebelum keadaan menjadi lebih buruk. [2]
Selain itu, data Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menunjukkan bahawa seramai 16,951 remaja perempuan berusia 19 tahun dan ke bawah yang belum berkahwin direkodkan hamil di fasiliti kesihatan kerajaan sepanjang 2020 hingga 2024. [3] Sementara itu, jumlah murid dan pelajar yang tercicir daripada pendidikan rendah dan menengah menurun daripada 21,748 orang pada 2020 kepada 13,007 orang pada 2024. Penurunan ini merupakan perkembangan positif, tetapi masih terdapat ribuan anak yang memerlukan perhatian agar mereka tidak terputus daripada pendidikan. [4]
Angka-angka ini tidak membuktikan bahawa semua masalah generasi hari ini berpunca daripada satu pihak. Setiap isu mempunyai faktor yang perlu diselidiki secara khusus. Namun, keseluruhan isu itu membawa kita kepada persoalan yang lebih mendasar iaitu mengapa pembentukan generasi masih berhadapan dengan pelbagai cabaran meskipun pendidikan formal, didikan keluarga, program kesedaran dan mekanisme pencegahan telah lama dilaksanakan?
Pendidikan: Membentuk Keperibadiaan Manusia atau Sekadar Melahirkan Pekerja?
Pembentukan generasi tidak berlaku dalam lingkungan keluarga atau sekolah semata-mata. Cara anak-anak berfikir, membuat pilihan dan bertingkah laku turut dipengaruhi oleh masyarakat, media dan sistem yang melatari kehidupan mereka. Oleh itu, memahami masalah generasi memerlukan penelitian yang lebih luas daripada sekadar mencari pihak yang bersalah. Kita perlu meneliti matlamat pendidikan, pengaruh persekitaran dan aturan kehidupan yang membentuk mereka.
Hakikatnya, pendidikan bukan sekadar proses menyampaikan ilmu atau menyediakan tenaga kerja untuk pasaran. Pendidikan turut membentuk cara seseorang memahami kehidupan, menilai sesuatu tindakan dan membuat keputusan ketika berhadapan dengan pilihan yang sukar.
Apabila kejayaan pendidikan terlalu tertumpu pada pencapaian akademik, kelayakan dan kebolehpasaran dalam pekerjaan, maka pembentukan keperibadian berisiko menjadi agenda sampingan. Persoalannya bukan sama ada pencapaian akademik itu penting atau tidak, tetapi sama ada kejayaan pendidikan telah dinilai secara sempit sehingga aspek amanah, tanggungjawab, maruah dan hubungan dengan Allah SWT tidak diberikan perhatian yang sewajarnya.
Dalam Islam, ilmu tidak terpisah daripada pembentukan keperibadian. Pendidikan sepatutnya melahirkan manusia yang memahami kedudukannya sebagai hamba Allah SWT, mengenali batas halal dan haram serta menyedari tanggungjawabnya terhadap diri, keluarga dan masyarakat. Ilmu bukan hanya untuk meningkatkan keupayaan seseorang bersaing, tetapi juga untuk membimbingnya menggunakan pengetahuan dan kemahiran menurut petunjuk Allah SWT.
Pembentukan Generasi: Tanggungjawab Bersama
Keluarga merupakan institusi awal pembentukan keperibadian individu. Di sinilah anak mula mengenal kasih sayang, batas pergaulan, tanggungjawab dan adab. Allah SWT berfirman, “Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu daripada api neraka…” [TMQ at-Tahrim (66): 6].
Ayat ini meletakkan tanggungjawab yang besar kepada setiap Muslim untuk memelihara diri dan keluarganya. Namun, tanggungjawab tersebut tidak bermaksud ibu bapa mampu mengawal keseluruhan pengaruh yang diterima anak-anak. Mereka membesar dalam persekitaran yang turut dicorakkan oleh rakan sebaya, media digital, budaya popular dan keadaan masyarakat.
Ibu bapa boleh mengajar anak-anak tentang adab dan batas pergaulan, tetapi cabarannya ialah kandungan yang ditonton atau budaya yang ditemui di luar rumah. Guru pula boleh menanamkan disiplin dan rasa hormat, namun pengaruh terhadap pelajar tidak terhenti apabila sesi persekolahan berakhir.
Oleh itu, usaha membina generasi tidak boleh diserahkan kepada keluarga atau sekolah sahaja. Kedua-duanya perlu diperkasakan, sementara masyarakat turut memainkan peranan dalam mewujudkan persekitaran yang menyokong pendidikan dan pembentukan akhlak. Persoalannya ialah sejauh mana pengaruh daripada pelbagai pihak ini saling menyokong dan bukannya bercanggah dalam membentuk generasi muda?
Pengaruh Persekitaran dalam Membentuk Generasi
Media digital ternyata memperluas akses kepada ilmu. Tetapi pada masa yang sama, ia membolehkan pelbagai pemikiran dan tingkah laku, termasuk yang negatif, mempengaruhi masyarakat dengan pantas. Kandungan yang berulang kali dipaparkan boleh mempengaruhi perkara yang dianggap biasa, menarik atau boleh diterima, khususnya ketika anak-anak dan remaja sedang berada dalam fasa membentuk identiti serta cara berfikir.
Walau bagaimanapun, media tidak boleh dijadikan penjelasan tunggal bagi setiap kes buli, salah laku jenayah atau masalah sosial dalam kalangan pelajar. Tingkah laku manusia terbentuk melalui interaksi pelbagai faktor. Perkara yang perlu diteliti ialah mesej yang disebarkan, cara kandungan dipilih dan perkara yang diberikan perhatian meluas.
Masalahnya, apabila perhatian dan keuntungan menjadi pertimbangan utama dalam penghasilan kandungan, bahan yang sensasi mungkin mendapat tempat lebih besar berbanding kandungan yang mendidik. Akibatnya, keluarga dan sekolah terpaksa berhadapan dengan pengaruh yang tidak semestinya selari dengan matlamat pendidikan malah sangat bertolak belakang.
Kemelut pendidikan ini membawa kita untuk meneliti bukan sahaja gejala tingkah laku seseorang, tetapi juga punca yang mendorongnya. Apakah tujuan di sebalik dasar pendidikan yang sepatutnya? Adakah sistem kehidupan hari ini yang melatari kehidupan masyarakat sudah cukup membantu masyarakat mengutamakan kebaikan, menunaikan tanggungjawab dan mentaati Allah SWT?
Bersambung…
NOTA KAKI :
[1] Bernama, Lebih 2,000 Kes Buli, 3,570 Kesalahan Jenayah Berlaku Di Sekolah Tahun Lepas – KPM, 26 Februari 2026. (https://bernama.com/bm/news.php?id=2527768)
[2] Bernama, Fatal School Stabbing: 14-year-old Boy Charged With Murder Of Female Schoolmate, 22 Oktober 2025; RTM, Kes bunuh pelajar di Yong Peng: Reman remaja disambung enam hari, 9 Oktober 2026. https://www.bernama.com/en/news.php?id=2481324 ; https://berita.rtm.gov.my/kes/senarai-berita-kes/senarai-artikel/kes-bunuh-pelajar-di-yong-peng-reman-remaja-disambung-enam-hari/
[3] RTM, Hampir 17,000 remaja hamil luar nikah sepanjang 2020–2024, 20 November 2025. https://berita.rtm.gov.my/nasional/senarai-berita-nasional/senarai-artikel/hampir-17000-remaja-hamil-luar-nikah-sepanjang-2020-2024/
[4] Bernama, Kadar Keciciran Pelajar Sekolah Rendah Dan Menengah Menurun – KPM, 4 Februari 2025. https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2389219
#PendidikanLenteraPembinaGenerasiUnggul #Pendidikan #BinaGenerasi #GenerasiMuslim