[AthThariq] Landasan Pemikiran dan Simpulan Besar Permasalahan Manusia (Bahagian 2/2)
Penulis: Syekh Ahmad Athiyat
Sebuah asas hendaklah mampu memecahkan segenap permasalahan manusia dan menjawab segala pertanyaan dan persoalan, baik kecil mahupun besar. Jika sebuah fikrah mampu melakukan hal tersebut, maka ia merupakan fikrah kulliyah dan layak untuk menjadi asas pemikiran.
Oleh kerana itu, idea kejujuran, idea nasionalisme, atau idea keikhlasan merupakan idea-idea yang tidak layak menjadi asas pemikiran. Kerana semua itu merupakan idea-idea cabang (al-afkar al-far’iyah). Disebabkan ianya menjadi idea cabang, maka ia tidak akan mampu membezakan segenap pemikiran yang lain, atau menjawab seluruh persoalan dan pertanyaan.
Beberapa pertanyaan yang dihadapi manusia dan memerlukan jawapan yang pasti, terdiri dari dua jenis pertanyaan. Pertama, berkaitan dengan pertanyaan besar atau sangat penting (urgent). Apabila pertanyaan tersebut dapat dipecahkan (diselesaikan), manusia akan merasa lega dan damai. Kedua, berkaitan dengan pertanyaan yang tidak terlalu penting yang berkaitan dengan solusi masalah pemenuhan keperluan jasmani dan naluri.
Pertanyaan-pertanyaan yang dihadapi manusia serta berbagai permasalahannnya dapat diumpamakan sebagai sebuah tali yang memiliki beberapa simpulan tali. Salah satu simpulannya besar dan sangat sukar untuk dihuraikan, sedang simpulan-simpulan lain yang lebih kecil sehingga tidak dapat dihuraikan secara benar kecuali setelah terhurainya simpulan besar tadi. Sehingga simpulan besar persoalan manusia tersebut merupakan persoalan-persoalan manusia yang celaru atau keliru dengan hakikat kehidupan ini, yakni keadaan sebelum dan setelah kehidupan tersebut, dan kaitannya antara sebelum dan sesudah kehidupan ini.
Jika dapat dihuraikan, dengan menjawab pertanyaan yang berkaitan dengan simpulan besar tersebut, maka menghuraikan pertanyaan dan persoalan lain akan menjadi mudah. Namun, jika simpulan besar tersebut tidak berjaya dihuraikan, akan mengakibatkan tersesatnya manusia dalam memecahkan berbagai persoalan yang lain, inilah kesan jika al-uqdah al-kubra (simpulan besar permasalahan manusia) tidak dihuraikan dengan solusi yang benar yang dapat menenangkan manusia dalam perjalanan hidupnya.
Boleh juga mengumpamakan realiti manusia dengan persoalan besarnya itu, yakni al-uqdat al-kubra, sebagai seorang yang memasuki sebuah istana besar dan agung buat pertama kalinya, setelah sekian lama dia menghabiskan hidupnya di dalam sebuah gua. Orang tersebut akan bingung, tidak tahu bagaimana dan apa yang akan dilakukan kerana takut akan akibat perbuatannya itu, atau mungkin juga takut akan hukuman pemilik istana jika bertingkah laku buruk.
Dia akan terus kebingungan dan sentiasa tertanya-tanya tentang perilaku yang sesuai sehingga dapat menjamin keselamatannya dan tidak menjerumuskannya ke dalam bahaya. Orang ini tidak akan tenang hatinya kecuali setelah dia mengetahui apa yang perlu dilakukannya dengan cara mengetahui pemilik istana tersebut dengan segenap ajarannya, perintah, dan larangannya.
Inilah realiti al-uqdat al-kubra (simpulan besar persoalan yang dihadapi manusia). Kerana itulah, sebuah asas pemikiran mesti berupa fikrah kulliyah tentang alam semesta, manusia, dan kehidupan, serta apa yang ada sebelum dan sesudah kehidupan ini. Dengan kata lain, ia merupakan akidah aqliyah (akidah yang bersandarkan pemikiran). Inilah definisi akidah aqliyah yang benar, yang mampu menjawab segenap pertanyaan yang ada.
Jika beberapa karakter tersebut dapat dipenuhi, yakni mampu memberikan jawapan yang jelas dan menyeluruh tentang persoalan-persoalan tersebut, ia menjadi asas pemikiran atau akidah aqliyah. Namun, jika tidak, ia bukanlah asas pemikiran atau akidah aqliyah sehingga tidak layak menjadi asas bagi perubahan, apatah lagi asas bagi kebangkitan.
Ketahuilah bahawasanya sesuatu yang menjadi fikrah kuliyah, atau akidah aqliyah atau asas pemikiran tidak memberikan erti bahawa ia menjadi satu-satunya asas menyeluruh dan benar bagi pemikiran dan kecenderungan, dengan kata lain ia menjadi asas yang benar, tetapi memberikan erti bahawa ia menjadi asas saja, dengan mengabaikan apakah ia sebuah asas yang benar, yakni yang membawa pada kebangkitan yang benar, ataukah sebaliknya sehingga tidak membawa pada kebangkitan yang benar.
Adapun yang menentukan sebuah asas itu benar dan menjamin sampainya kita pada kebangkitan yang benar, adalah apa yang akan kami bahas pada fasal berikutnya.
Sumber: Syekh Ahmad Athiyat, Ath-Thariq (Jalan Baru Islam)
#fikrulislam #aththariq #kebangkitanpemikiran