[Ath-Thariq] Landasan Pemikiran dan Simpulan Besar Permasalahan Manusia (Bahagian 1/2)
Penulis: Syekh Ahmad Athiyat
Sesungguhnya metode yang benar untuk mengubah manusia dengan sebuah perubahan yang produktif yakni yang kukuh, kuat, berterusan, dan berkesinambungan agar selari dengan tujuan yang dimaksudkan yakni kebangkitan, tidak mungkin terlaksana secara sempurna kecuali dengan metode satu-satunya, yakni membangun perubahan di atas asas pemikiran (al-asas al-fikriy) atau landasan ideologi (al-qaidah al-fikriyah). Sebagaimana sebuah bangunan, apa pun bentuknya, tidak mungkin berdiri kuat kecuali dengan adanya asas (foundation) yang kuat dan kukuh pula.
Begitu pula dengan pemikiran-pemikiran yang diberikan pada manusia, tidak mungkin tertanam kuat dalam akalnya dan tetap keberadaannya sehingga memiliki kesan nyata, kecuali jika disandarkan pada asas pemikiran yang kukuh dan kuat. Jika tidak, pemikiran-pemikiran tersebut mudah goyah, keadaannya bagaikan bangunan yang tidak memiliki asas atau ditegakkan di atas asas yang rapuh dan lemah.
Sebagaimana asas bangunan yang tersembunyi dan tidak tampak dalam pandangan mata, begitu juga dengan asas pemikiran yang tersembunyi di balik tindakan dan perilaku seseorang sehingga asas pemikiran ini tidak dapat diketahui kecuali oleh orang yang memiliki mata hati yang tajam.
Asas pemikiran berperanan untuk mengubah pemikiran-pemikiran (al-afkar) dari sekadar pemikiran yang terpisah-pisah dan berserakan sehingga tidak memiliki kesan apa pun atau memiliki pengaruh yang bersifat sementara menjadi pemahaman (mafahim) kukuh yang menentukan sikap dan perilaku seseorang dalam kehidupan secara kukuh, lurus, selaras, jelas rambu dan alurnya. Hal ini tiada lain kerana yang menggerakkan manusia dalam kehidupan itu bukan hanya sekadar pemikiran, tetapi pemikiran yang diyakini kebenarannya oleh seseorang dan itulah pemahaman (mafahim).
Untuk lebih memperjelas perbezaan antara pemikiran (al-afkar) dengan pemahaman (al-mafahim), kami paparkan beberapa contoh berikut. Misalnya, ketika dikatakan pada seseorang bahawa si fulan adalah orang yang terhormat, maka ini hanyalah informasi (al-ma’lumat) kerana maknanya belum dapat difahami, atau menjadi pemikiran (al-fikrah) apabila maknanya telah difahami.
Namun, khabar tadi—dalam dua keadaan tersebut yakni menjadi maklumat dan menjadi fikrah—tidak mendorongnya pada tingkah laku di atas asas pernyataan tersebut terhadap si fulan yang telah diberi sifat terhormat tadi atau berakibat timbulnya sebuah perilaku yang bersifat sementara. Tahap kekuatan perilakunya secara langsung berkaitan dengan tahap kepercayaan akan kebenaran informasi tersebut, yakni makin bertambah kepercayaan kita dengan sumber beritanya, maka perilaku kita terhadap orang yang “terhormat” tersebut akan lebih dekat pada sikap hormat.
Namun, setelah kita bergaul dengan “orang terhormat” itu dan memastikan bahawa memang dia adalah orang terhormat, maka kita berkeyakinan dengan kebenaran sifat terhormatnya itu sehingga fikrah kita pun beralih menjadi pemahaman yang akan menentukan perilaku kita terhadap si fulan tersebut secara terus menerus.
Begitu juga untuk mengubah al-afkar (pemikiran) menjadi mafahim (pemahaman) yang mempengaruhi perilaku kerana perilaku menunjukkan sikap keyakinan seseorang akan sebuah fikrah, “Orang-orang yang beriman dan beramal soleh”, maka fikrah tersebut perlu selaras dengan realiti, yakni realiti membuktikan kebenarannya. Namun, kebenarannya itu tidaklah bererti bahawa kita dapat menyesuaikan setiap pemikiran pada realiti dan tidak pula realiti setiap fikrah itu jelas sempurna di hadapan mata, sebab mungkin saja realiti sebahagian fikrah itu tidak boleh langsung terindera.
Kemudian, muncullah perbezaan dalam memahami fikrah dan status benar atau salahnya fikrah tersebut. Oleh kerana itu, perlu ada sebuah thariqah (metode) yang menjadikan kita dapat memilih fikrah yang benar dari fikrah yang salah, dan metode tersebut adalah landasan ideologi (al-qaidah al-fikriyah) atau asas pemikiran (al-asas al-fikriy).
Landasan ideologi yang membentuk asas bagi segenap perilaku (suluk) seseorang dan menjadikannya berbeza dengan orang lain, perlu berbentuk fikrah kulliyah (pemikiran menyeluruh), bukan sekadar fikrah sahaja kerana qaidah fikriyah ini merupakan asas, sedangkan asas itu merupakan landasan tempat berpijak sehingga segala sesuatu terbit dan terpancar darinya. Jika kaedah ini bukan sebuah fikrah yang menyeluruh, yakni pemikiran cabang, maka sebuah fikrah cabang (fikrah far’iyah) tidak boleh menjadi asas. Oleh kerana itu, asas pemikiran hendaklah sebuah fikrah kuliyah (pemikiran yang menyeluruh) sehingga amal dan tingkah laku sesuai dan selaras dengan fikrah tersebut.
Sumber: Syekh Ahmad Athiyat, Ath-Thariq (Jalan Baru Islam)
#fikrulislam #aththariq #kebangkitanpemikiran