[Perjanjian Antarabangsa] Perjanjian Antarabangsa daripada sudut Pandang Islam (Mukadimah) (Bahagian 2/2)
Penulis: Iyad Hilal
(Sambungan dari “Mukadimah” Bahagian 1/2.)
Sepatutnya bagi umat Islam, terutamanya mereka yang ingin mempelajari, memikirkan dan meneliti, agar meluangkan sebahagian perhatian mereka terhadap aspek ini. Seterusnya, mereka mempelajari dan menyebarkan penyelidikan tersebut kepada masyarakat, supaya umat Islam mengetahui sepenuhnya agama yang diturunkan oleh Tuhan Semesta Alam.
Begitu juga supaya perhatian yang berbentuk pemikiran ini berubah menjadi usaha yang bersungguh-sungguh dan serius. Usaha ini bertujuan untuk mengembalikan Islam dalam kehidupan dan meneruskan kehidupan Islam dengan mendirikan Negara Islam, iaitu negara yang melaksanakan syariat Islam di dalam negara dan menyebarkannya ke seluruh dunia, serta membina hubungannya dengan negara-negara lain berdasarkan asas Islam.
Oleh sebab itulah, saya memilih topik ini untuk ditulis. Tidak hairanlah jika perpustakaan-perpustakaan kosong daripada buku-buku yang menjelaskan secara terperinci dan khusus tentang perjanjian-perjanjian dalam Islam, walaupun buku-buku yang membincangkan tentang undang-undang perjanjian dalam undang-undang antarabangsa banyak ditemui.
Saya sengaja tidak membuat perbandingan dengan undang-undang antarabangsa. Hal ini kerana, perbandingan tersebut pada hakikatnya seolah-olah turut menyebarluaskan undang-undang antarabangsa yang kewujudannya sengaja direka untuk menekan Islam, serta bertindak menentang Islam dan Negara Islam sejak Persidangan Westphalia pada tahun 1648. Seterusnya, perbandingan sedemikian juga tidak diperlukan semata-mata untuk menunjukkan kebenaran Islam dan kelemahan hukum-hukum dalam undang-undang antarabangsa tersebut.
Cukuplah bahawa Islam itu berasal dari Tuhan Semesta Alam, sedangkan undang-undang antarabangsa merupakan buatan manusia. Di dalamnya penuh dengan perbezaan, pertentangan, perselisihan, dan sangat dipengaruhi oleh keadaan (semasa). Saya berusaha sedaya upaya untuk konsisten dengan perkara-perkara berikut sepanjang perbincangan ini.
- Berjalan bersama Islam di mana-mana sahaja tanpa cuba menakwilkan nas dan memutarbelitkannya agar sesuai dengan hawa nafsu, pendapat para orientalis, atau hukum taghut. Kita wajib melakukan istinbat (mengeluarkan hukum) daripada mana-mana nas yang sememangnya terkandung dalam nas tersebut tanpa memedulikan anggapan-anggapan yang batil.
Saya juga tidak cuba meletakkan diri saya sebagai “pembela Islam” (seolah-olah sebagai tertuduh) kerana sikap sedemikian membawa maksud pengakuan secara tersirat terhadap idea yang menikam Islam. Hal ini kerana tindakan tersebut akhirnya hanya akan menjurus kepada usaha menolak tuduhan (dengan membela diri) daripada tikaman berkenaan.”
Malah sikap ini akan mengakibatkan adanya usaha untuk memasukkan pemikiran yang tidak Islami ke dalam Islam. Umat Islam kan menyangka ia berasal daripada Islam, seperti pandangan yang berhubung dengan jihad dan mengaitkannnya dengan situasi pertahanan (defensive) sahaja.
Begitu juga dengan pandangan yang berkaitan dengan demokrasi dan idea kebebasan, hukum-hukum yang berkaitan dengan kebolehan riba dan larangan poligami, serta usaha untuk menetapkan syarat pada kes talak.
- Saya membataskan pemilihan pandangan dan pengistinbatan hukum kepada ketetapan hukum yang bersandarkan dalil syarak daripada al-Quran, as-Sunnah an-Nabawiyyah, ijmak sahabat dan qiyas yang mempunyai ilat yang diambil daripada dalil syarak.
- Saya tidak membuat perbandingan dengan undang-undang antarabangsa, walaupun saya mengambil sebahagian daripada adat kebiasaan (‘urf) antarabangsa yang saya anggap bersifat umum dan telah diketahui serta diamalkan oleh masyarakat sejak dahulu lagi. Hal ini kerana adat kebiasaan antarabangsa berbeza daripada undang-undang antarabangsa. Rasulullah SAW tidak membunuh dua orang utusan (duta) yang diutus oleh Musailamah al-Kazzab, lalu Baginda bersabda kepada kedua-duanya: ‘Demi Allah, sekiranya bukan kerana para utusan itu tidak boleh dibunuh, nescaya aku telah membunuh kamu berdua.’
Mengikut kebiasaan antarabangsa ketika itu, utusan tidak boleh dibunuh, sehingga Rasulullah yang mulia mengambil kira adat kebiasaan tersebut. Ini menunjukkan bolehnya terikat dengan adat kebiasaan antarabangsa.
Skop Pembahasan
Pembahasan terdiri daripada pendahuluan, tiga bab pembahasan, dan penutup.
- Pendahuluan. Di dalamnya saya membahas beberapa hukum syarak yang harus dikaji dan dijelaskan sebagai pengantar pembahasan, seperti Islam telah membahagi dunia ini menjadi Darul Islam dan Darul Kufur, juga tentang jihad dan tujuannya, serta dasar hubungan Darul Islam dengan Darul Kufur.
- Bab pertama tentang definisi perjanjian dan dalil-dalil disyariatkannya perjanjian itu beserta unsur-unsurnya.
- Bab kedua tentang jenis-jenis perjanjian dan dalil-dalil disyariatkannya atau haramnya perjanjian yang meliputi,
- Perjanjian-perjanjian yang dibolehkan.
- Perjanjian-perjanjian yang diharamkan.
- Perjanjian-perjanjian yang dibolehkan dalam keadaan terpaksa.
- Bab ketiga tentang hukum-hukum perjanjian. Di dalamnya saya membahas hukum-hukum yang berkaitan dengan rakyat negara yang mengadakan perjanjian, cara menerapkan perjanjian-perjanjian itu, dan keadaan-keadaan suatu perjanjian dianggap batal.
- Penutup.
Inilah perancangan yang saya telah buat. Apabila saya benar, kebenaran itu berasal daripada Allah Taala. Hanya kepada-Nya puji dan syukur sejak awal hingga akhir. Sebaliknya, apabila ada kesalahan, itu berasal daripada diri saya. Saya berharap agar Allah Swt. memberikan ampunan dan pembetulan atas pendapat saya.
Pembelajaran dalam Islam merupakan suatu proses yang bersifat praktikal serta bertujuan mengubah pemikiran yang dipelajari menjadi kefahaman yang membentuk tingkah laku dan mendorong seseorang untuk beramal. Oleh itu, pendekatan yang terlalu bersifat akademik perlu dielakkan, khususnya apabila penulisan ini dicetak dan disebarkan kepada masyarakat umum.
Sumber: Iyad Hilal, Perjanjian-Perjanjian Internasional dalam Pandangan Islam.
#PerjanjianAntarabangsa