[Perjanjian Antarabangsa] Jenis-Jenis Perjanjian (Bahagian 2/2)
Penulis: Iyad Hilal
(Sambungan daripada “Jenis-Jenis Perjanjian” Bahagian 1/2.)
Sesungguhnya firman Allah SWT, “Dan perangilah kaum musyrikin itu semuanya.” [TMQ at-Taubah (9): 36] datang untuk menasakhkan pengharaman berperang pada Bulan Haram, sebagaimana pendapat majoriti ahli tafsir. Ini dari satu sudut. Manakala dari sudut yang lain pula, penelitian terhadap sabab nuzul (sebab penurunan) Surah Al-Baqarah, ayat 217 akan membawa kepada pentafsiran ayat tersebut. Rasulullah SAW telah mengutus Abdullah bin Jahsy RA pada bulan Rejab bersama sekumpulan kaum Muhajirin.
Rasulullah SAW menulis sepucuk surat kepadanya sambil memerintahkannya supaya tidak membuka surat tersebut melainkan setelah dua hari dalam perjalanan. Abdullah bin Jahsy RA pun melaksanakan arahan itu tanpa memaksa sesiapa pun daripada rombongannya untuk terus bersamanya dalam ekspedisi tersebut. Setelah dua hari perjalanan, beliau membuka surat itu dan mendapati bahawa Rasulullah SAW memerintahkannya supaya meneruskan perjalanan sehingga ke kawasan Nakhlah, iaitu suatu tempat di antara Mekah dan Taif. Hal ini bertujuan untuk memantau pergerakan kaum Quraisy serta mendapatkan maklumat tentang mereka.
Abdullah bin Jahsy RA tiba di tempat yang telah ditetapkan. Ketika itu, beliau mendapati seekor kafilah unta milik kaum Quraisy yang membawa bekalan makanan, sedangkan hari tersebut merupakan hari terakhir bulan Rejab. Abdullah bin Jahsy RA bermusyawarah dengan para sahabat yang bersamanya mengenai perkara itu. Jika mereka membiarkan kafilah itu berlalu, maka ia akan segera memasuki Tanah Haram. Namun, jika mereka memeranginya, bererti peperangan akan berlaku pada bulan Rejab, iaitu salah satu Bulan Haram. Kedua-dua keadaan itu amat sukar kerana sama ada peperangan akan berlaku di Tanah Haram ataupun pada Bulan Haram.
Setelah berbincang, mereka akhirnya sepakat untuk menyerang. Kaum Muslimin berjaya membunuh seorang musyrik dan menawan dua orang lelaki, kemudian mereka semua kembali ke Madinah. Akibatnya, pihak Quraisy mula membentuk opini untuk menentang kaum Muslimin dengan mendakwa bahawa mereka telah berperang pada Bulan Haram. Pada masa yang sama, Rasulullah SAW sendiri enggan menerima kedua-dua tawanan tersebut, sambil menunggu turunnya wahyu daripada Allah SWT.
Kemudian Allah SWT menurunkan firmanNya: “Mereka bertanya kepadamu tentang berperang pada Bulan Haram.” [TMQ al-Baqarah (2): 217]. Ketika itu juga Rasulullah SAW berasa gembira, lalu baginda menerima kedua-dua tawanan tersebut dan menghantar kepada pihak Quraisy bayaran tebusan bagi seorang daripada anggota mereka yang terbunuh. Ayat yang mulia itu menjelaskan bahawa kaum Muslimin telah berperang pada Bulan Haram. Namun, terdapat suatu kaum yang telah menghalang kaum Muslimin daripada jalan Allah, sedangkan mereka itu kafir. Perbuatan kekufuran tersebut jauh lebih besar dosanya di sisi Allah daripada peperangan yang berlaku pada Bulan Haram.
Oleh itu, ayat yang mulia tersebut telah membolehkan peperangan pada Bulan Haram dan membenarkan tindakan para sahabat. Apabila mendengar turunnya ayat itu, Rasulullah SAW berasa gembira. Jadi, ayat tersebut ialah muhkamat (jelas maknanya dan tidak memerlukan pentafsiran yang mendalam). Ayat itu juga bukan mansukh (dimansuhkan, dibatalkan atau tidak lagi berkuat kuasa), dan tidak menunjukkan pengharaman berperang pada Bulan Haram. Malah, ayat tersebut membawa maksud mengharuskannya. Jika tidak demikian, mengapakah Rasulullah SAW berasa gembira dan menerima kedua-dua tawanan itu setelah sebelum ini baginda enggan menerima mereka sehingga turunnya ayat tersebut?
Di samping itu, Perang Khaibar juga berlaku pada Bulan Haram. Semua ini menunjukkan bahawa peperangan pada Bulan Haram adalah dibolehkan. Berdasarkan hal ini, tidak benar dakwaan bahawa gencatan senjata pada Bulan Haram adalah wajib. Perkara ini berkaitan dengan perjanjian gencatan senjata.
Adapun mengenai perjanjian hubungan kejiranan, dalil yang menunjukkan keharusannya ialah Rasulullah SAW pernah mengikat perjanjian hubungan kejiranan dengan orang Yahudi di Madinah al-Munawwarah. Walaupun perjanjian dengan orang Yahudi itu tidak ditetapkan tempoh masa tertentu, namun penetapan tempoh bagi Perjanjian Hudaibiyah serta ayat-ayat dalam Surah Al-Bara’ah (At-Taubah) yang memberikan tempoh empat bulan kepada golongan yang mempunyai perjanjian secara mutlak menunjukkan bahawa perjanjian hubungan kejiranan, sebagaimana juga perjanjian-perjanjian yang lain, hendaklah dihadkan dengan suatu tempoh masa dan tidak boleh dibuat tanpa had masa.
Dalil yang menunjukkan keharusan perjanjian gencatan senjata dan perjanjian untuk tidak saling mengganggu ialah Rasulullah SAW pernah mengikat kedua-dua jenis perjanjian tersebut dengan banyak kabilah. Diriwayatkan bahawa baginda SAW telah mengadakan perjanjian dengan Bani Dhamrah dan Bani Mudlij, iaitu perjanjian untuk tidak saling mengganggu antara kedua-dua pihak.
Demikian juga, Rasulullah SAW telah membuat perjanjian dengan penduduk Ailah ketika baginda menuju ke Perang Tabuk. Selain itu, Rasulullah SAW juga telah mengikat perjanjian gencatan senjata dengan kaum Quraisy yang dikenali sebagai Perjanjian Hudaibiyah, sebagaimana yang telah diketahui. Rasulullah SAW telah memperoleh manfaat yang sangat besar daripada perjanjian hubungan kejiranan , perjanjian gencatan senjata dan perjanjian untuk tidak saling mengganggu. Perjanjian-perjanjian tersebut telah membuka jalan kepada penduduk Semenanjung Arab untuk memeluk Islam dan tunduk di bawah pemerintahan Islam. Semua itu berlaku sebelum kewafatan Rasulullah SAW, iaitu dalam tempoh hanya sepuluh tahun.
Rasulullah SAW telah mengambil langkah-langkah yang sangat teliti dan saling berkaitan dalam mengikat perjanjian-perjanjian seperti ini. Hal ini kerana Rasulullah SAW, Abu al-Qasim, melihat dunia dari satu sudut pandang yang khusus, iaitu menyebarkan dakwah Islam. Pada masa yang sama, baginda juga mengambil kira bahawa Quraisy ketika itu merupakan kuasa besar di Semenanjung Arab serta menjadi pemimpin orang-orang kafir dalam menghadapi penyebaran dakwah Islam.
Oleh itu, pada tahun-tahun awal penegakan Negara Islam, Rasulullah SAW mengehadkan aktiviti politik dan ketenteraan baginda terhadap Quraisy. Hal ini kerana baginda ingin mengasingkan Quraisy daripada kabilah-kabilah Arab yang lain. Hasilnya, tidak lama kemudian, hanya beberapa tahun selepas itu, Rasulullah SAW berjaya menjadikan Quraisy sebagai salah satu kabilah yang tunduk kepada Islam atau terikat dengan perjanjian bersama kaum Muslimin.
Aktiviti pertama yang dilakukan oleh Rasulullah SAW setelah keadaan di Madinah menjadi agak stabil, iaitu selepas baginda mengikat perjanjian dengan penduduknya, ialah mengadakan perjanjian dengan kabilah-kabilah yang tinggal di antara Madinah dan pantai Laut Merah. Antaranya ialah Kabilah Juhainah, Bani Dhamrah, Bani Ghifar serta beberapa kabilah lain yang mendiami laluan perdagangan musim panas Quraisy menuju ke Syam dan Mesir.
Langkah ini menyebabkan laluan perdagangan Quraisy menjadi tertutup. Setelah mengikat pelbagai perjanjian tersebut, Rasulullah SAW mula melaksanakan pelbagai tindakan untuk menghadapi Quraisy. Baginda memantau setiap pergerakan Quraisy, mengganggu kafilah-kafilah perdagangan mereka dan berhadapan dengan mereka dalam beberapa pertempuran ketenteraan. Dalam keadaan tertentu, baginda juga mendapatkan bantuan daripada sekutu-sekutunya dalam kalangan kabilah-kabilah tersebut. Pada ketika itu, Perang Badar merupakan peperangan besar yang pertama, sehingga ia dikenali sebagai Badar al-Kubra.
Setelah peristiwa-peristiwa tersebut berlalu dan tahun demi tahun silih berganti, sampailah suatu ketika Rasulullah SAW mendapat tahu bahawa sedang berlangsung rundingan antara Yahudi Khaibar dengan Quraisy. Rundingan itu bertujuan membentuk pakatan antara kedua-dua pihak untuk menyerang Madinah al-Munawwarah serta menghancurkan Islam dan negaranya.
Lalu Rasulullah SAW menetapkan asas tindakan baginda dengan mengikat perjanjian gencatan senjata sementara dengan pihak Quraisy supaya baginda dapat menumpukan perhatian untuk menghadapi Khaibar. Baginda turut mengadakan pelbagai usaha perundingan dengan pihak Khaibar bagi menggagalkan perjanjian pakatan mereka dengan Quraisy. Namun, Khaibar tidak memberikan respons yang diharapkan oleh Rasulullah SAW. Oleh itu, baginda memfokuskan usaha untuk memeterai perjanjian gencatan senjata dengan pihak Quraisy.
Daripada sini, kita dapat melihat bahawa Rasulullah SAW menjadikan dasar politik damai sebagai asas kepada tindakannya terhadap Quraisy sehinggalah dasar tersebut membawa baginda mencapai matlamat yang diinginkan. Hal ini jelas dapat dilihat melalui tindakan-tindakan baginda pada tempoh tersebut, bermula daripada keberangkatan baginda untuk menunaikan umrah, kemudian menerima penolakan daripada Quraisy, sehinggalah baginda menunjukkan sikap berlembut terhadap kekerasan Quraisy, termasuk menerima beberapa syarat yang tidak dipersetujui oleh sebahagian sahabat. Semua tindakan itu dilakukan oleh Rasulullah SAW kerana baginda mengamalkan dasar politik damai yang ketika itu diperlukan oleh keadaan kaum Muslimin.
Setelah Rasulullah SAW berjaya memeterai perjanjian gencatan senjata dengan pihak Quraisy, baginda menumpukan perhatian untuk menyerang Khaibar serta beberapa kabilah yang masih memusuhi Islam dan kaum Muslimin. Setelah manuver-manuver tersebut, yang masih berbaki hanyalah Mekah dan Quraisy. Lalu Rasulullah SAW mula mencari peluang yang sesuai untuk melaksanakan manuver berikutnya.
Pada ketika itu, pihak Quraisy telah melanggar Perjanjian Hudaibiyah. Tindakan tersebut menyebabkan Rasulullah SAW mengubah dasar politik damai yang sebelum ini baginda laksanakan terhadap Quraisy. Oleh itu, kita dapat melihat bahwa segala tindakan Rasulullah SAW selepas itu tetap selaras dengan dasar yang telah baginda tetapkan. Baginda menolak usaha Quraisy untuk memperbaharui perjanjian gencatan senjata, lalu mula mempersiapkan angkatan tentera dan bergerak menuju ke Mekah sehingga berjaya memasuki serta menaklukkannya pada Tahun Pembukaan (Fath Makkah).
Strategi yang dilaksanakan oleh Rasulullah SAW ini bukanlah suatu strategi yang dilakukan tanpa perancangan. Langkah-langkah baginda juga bukan muncul secara spontan atau kebetulan. Sebaliknya, setiap langkah Baginda disusun dengan sangat teliti, hasil daripada kajian dan pertimbangan yang mendalam sehingga menghasilkan kejayaan yang amat besar. Semua ini memperlihatkan kepada kita pendekatan yang perlu diambil dalam membuat pelbagai perjanjian. Ia juga mengajar kita bahawa perjanjian-perjanjian tersebut merupakan salah satu uslub (kaedah) yang penting dalam membuat persiapan agar Negara Islam mampu mengemban dakwah Islam ke seluruh pelosok dunia.
Semua aktiviti tersebut dilaksanakan dengan sempurna dan penuh ketelitian, termasuk dalam memanfaatkan peluang dan masa yang sesuai. Tambahan pula, ketika itu keadaan negara telah menunjukkan tanda-tanda kemampuannya untuk melaksanakan aktiviti-aktiviti tertentu dalam usaha menyebarkan dan mengembangkan dakwah Islam.
Perjanjian gencatan senjata, perjanjian untuk tidak saling mengganggu, mahupun perjanjian hubungan kejiranan, semuanya merupakan antara cara terbaik untuk memecah-belahkan kekuatan pihak lawan dan musuh. Pendekatan yang sama turut digunakan oleh Salahuddin al-Ayyubi ketika memerangi Tentera Salib melalui pemeteraian Perjanjian Ramlah, yang membuka jalan ke arah pembebasan Al-Quds. Begitu juga perjanjian yang dimeterai oleh Sultan Qalawun dengan pemerintah Perancis di Akka pada tahun 782H/1294M, yang dianggap sebagai suatu perjanjian hubungan kejiranan. Perjanjian tersebut memberikan pelbagai kemudahan kepada kaum Muslimin.
Pihak Perancis juga mematuhi perjanjian itu dengan memaklumkan kepada Sultan tentang manuver salah seorang raja Perancis yang lain. Perjanjian yang seumpamanya turut dimeterai oleh Sultan Qalawun dengan pemerintah Barcelona pada tahun 652H, serta perjanjian yang dibuat oleh Az-Zahir Baybars dengan Kerajaan Beirut pada tahun 667H. Kesemua perjanjian ini membolehkan kaum Muslimin mempertahankan dan menjamin keselamatan barisan hadapan mereka, sekali gus memberi ruang untuk menumpukan perhatian kepada medan lain sehingga akhirnya membawa kepada kehancuran kekuatan musuh. Perjanjian-perjanjian ini memberikan kesan politik yang sangat besar, antaranya mengubah peta politik ketika itu dan membawa kepada pembebasan negeri-negeri Islam daripada cengkaman Tentera Salib.
Sumber: Iyad Hilal, Perjanjian-Perjanjian Antarabangsa dalam Pandangan Islam.
#PerjanjianAntarabangsa #DarulIslam #DarulKufur #GencatanSenjata