[Perjanjian Antarabangsa] Perjanjian Antarabangsa daripada sudut Pandang Islam (Mukadimah) (Bahagian 1/2)
Penulis: Iyad Hilal
Segala puji bagi Allah Rabbul ‘Alamin yang telah mewajibkan kita untuk mengemban risalah Islam ke seluruh dunia. Selawat dan salam kepada Nabi Muhammad SAW, yang telah menjelaskan kepada kita cara mengemban dakwah Islam melalui sirahnya sejak baginda diutus menjadi Rasul sehingga wafatnya.
Daripada pihak umat, usaha untuk mengubah negara daripada Darul Kufur kepada Darul Islam dilakukan dalam keadaan ketiadaan Negara Islam. Manakala daripada pihak Negara Islam pula, apabila Negara Islam telah wujud, peranannya adalah untuk menyebarkan Islam ke seluruh penjuru dunia melalui jihad, sehinggalah Allah menyempurnakan cahayaNya (agamaNya) walaupun orang-orang kafir tidak menyukainya. Semoga Allah juga meredhai para sahabat, tabiin, dan orang-orang yang mengikuti mereka dengan kebaikan sehinggalah Hari Kiamat.
Allah SWT telah menurunkan Islam untuk mengatur hubungan manusia dengan Penciptanya, seperti dalam perkara-perkara akidah dan ibadah. Juga mengatur hubungan manusia dengan dirinya sendiri, seperti perkara-perkara akhlak, makanan, dan pakaian. Demikian pula mengatur hubungan manusia dengan sesamanya, seperti perkara-perkara muamalah dan uqubat. Termasuk juga mengatur hubungan kaum muslim dengan pelbagai negara, individu, dan bangsa lain.
Allah SWT juga telah mewajibkan negara Islam untuk menerapkan sistem (hukum) Islam di dalam negeri, yang dinamakan dengan politik dalam negeri dan mengembannya ke seluruh dunia di luar negeri, yang dinamakan dengan politik luar negeri. Peraturan ini adalah peraturan yang sangat sempurna dan terpancar dari pemikiran menyeluruh tentang alam, manusia dan kehidupan, juga terpancar dari kaedah berfikir, iaitu akidah Islam.
Peraturan tersebut yang akan menyelesaikan seluruh masalah manusia sebagai manusia dan menyelesaikan permasalahannya, di mana satu perkara tidak lebih diutamakan dari perkara lainnya dan dapat memuaskan seluruh keperluannya. Islam juga merupakan peraturan yang datang melalui nas-nasnya yang merupakan garis-garis besar dan berpeluang melakukan istinbat hukum dari nas-nas tersebut sehingga mampu menyelesaikan masalah-masalah baru. Itu dilakukan melalui ijtihad dan tidak mungkin terlaksana, kecuali dengan memahami bahasa Arab yang merupakan alat untuk memahami Islam.
Para fuqaha dan mujtahid telah membahas hukum-hukum syarak yang mengatur urusan individu, umat, dan negara. Mereka telah mengarang buku yang sangat banyak, hingga manusia tidak pernah menemukan satu umat pun di muka bumi, sama ada pada masa lalu mahupun sekarang, yang memiliki seperempat dari kekayaan fiqah dan pemikiran yang dimiliki oleh umat Islam.
Kekayaan itu merupakan kekayaan terbesar yang pernah ada di antara seluruh umat sepanjang zaman. Meskipun para fuqaha dan mujtahid telah mengarang banyak buku fiqh yang mampu menyelesaikan keseluruhan masalah manusia, di mana mereka melakukan istinbat hukum-hukum syarak dari dalil-dalil yang terperinci, tetapi sebahagian besar dari para mujtahid itu mengarang sebahagian buku yang menjawab satu masalah saja. Semoga Allah meredhai mereka.
Seseorang akan menemukan bahawa selain buku-buku fiqih yang muktabar (diakui) seperti Al-Umm, Al-Mabsuth, Al-Mughni, Al-Mudawwanah al-Kubra, Al-Majmu’, ia juga akan menjumpai buku Al-Kharaj, Al-Ahkam as-Sulthaniyah yang khusus membahas satu masalah saja, sementara para pendahulunya membahas keseluruhan masalah.
Kaum muslim terus mengemban risalah Islam dan fiqih Islam, serta telah melewati masa keemasannya. Pada masa itu, pertumbuhan para mujtahid sangat subur dan kebangkitan pemikiran amat kuat, sehingga sebahagian daripada orang-orang yang memeluk Islam daripada kalangan non-Arab telah mengungguli orang-orang Arab itu sendiri dalam pembahasan-pembahasan bahasa Arab, seperti ilmu nahwu.
Semua ini merupakan buah yang dihasilkan daripada masyarakat yang menerapkan Islam di dalam negeri dan mengemban Islam ke luar negeri melalui negara Islam, sehingga menjadi negara superpower di dunia selama berabad-abad. Namun begitu, jangkauan itu mulai surut dan negara Islam mulai berhenti mengemban risalah Islam kepada umat-umat lain. Kemudian berakhirlah segalanya kerana pelbagai faktor, cara licik, dan tipu daya yang memberi kesan jangka masa panjang.
Setelah mengalami peristiwa yang luar biasa, maka berakhirlah segalanya dengan keruntuhan dan kehancuran negara Khilafah pada 1924 M. Melalui perantaraan individu yang bergelar Mustafa Kamal, orang-orang kafir penjajah dapat meruntuhkan negara Khilafah dan membuka jalan kepada orang kafir sebelum dan selepas tahun tersebut untuk memecahbelahkan kesatuan umat muslim menjadi banyak negeri kecil.
Kalau bukan kerana kekuatan Islam, umat Islam pasti sudah hancur berkeping-keping. Peristiwa tersebut begitu dahsyat dan hebat, sehingga tiada umat yang mampu bertahan menghadapinya, kecuali umat Islam. Kemerosotan tidak hanya menimpa kekuatan dan keberlangsungan negara, tetapi juga diikuti oleh kelemahan berfikir. Kaum muslim juga berpeluk tubuh dalam mempelajari Islam, terutamanya mempelajari hukum-hukum yang berkaitan dengan politik luar negara.
Sebahagian besar para penuntut ilmu mengelak daripada mempelajari Islam. Mereka beralih mempelajari hukum-hukum lain yang masih mendapat perhatian dari para penuntut ilmu dan penyelidik, walaupun perhatian itu lebih rendah dari taraf yang dituntut ke atas umat muslim. Akibatnya, sebahagian besar kaum muslim menyangka bahawa Islam tidak mengatur urusan pemerintahan dan politik luar negara.
Di antara mereka ada yang mengatakan bahawa Islam tidak mensyaratkan peraturan khusus bagi pemerintahan. Ada juga yang mengatakan bahawa Khilafah bukan berasal daripada Islam, seperti yang pernah diungkapkan oleh Ali Abdur Raziq dalam bukunya Al-Islam wa Ushulu al-Hukm. Beliau menolak keberadaan Rasulullah SAW sebagai negarawan dan Khilafah sebagai sistem pemerintahan dalam Islam. Beliau berdalih bahawa sistem ini adalah buatan para sahabat.
Beliau lupa bahawa apabila para sahabat telah melakukan ijmak (sepakat) atas sesuatu, kesepakatan mereka merupakan dalil syarak yang tidak berbeza kehujahannya dengan kehujahan Al-Quran dan sunnah. Berdasarkan pandangan bahawa Khilafah merupakan sebahagian dari ijmak sahabat, maka perkara ini saja sudah dianggap cukup untuk membuktikan bahawa Khilafah berasal daripada Islam.
Bagaimana pula dengan dalil-dalil yang dipetik daripada Al-Quran dan sunnah yang merupakan ‘ma’lumun min ad-din bi adh-dharurah’? Dalil-dalil ini menuntut agar bertahkim dengan Islam, serta menunjukkan kepentingan memilih seorang pemimpin yang sebutannya tertera di dalam banyak hadis dengan lafaz Al-Khalifah.
Sumber: Iyad Hilal, Perjanjian-Perjanjian Antarabangsa dalam Pandangan Islam.
(Bersambung ke “Mukadimah” Bahagian 2/2)
#PerjanjianAntarabangsa