[Menjadi Ahli Politik Transformatif] Meningkatkan Valensi Diri (Bahagian 3/3)
Penulis: MR Kurnia, dkk.
Adapun zuhud dalam memerangi syaitan, maka pertama sekali kita bertaawuz (mengucapkan A’uzubillahi minash-syaitanir rajim) dengan lisan dan disedari dalam hati. Jika syaitan masih mengganggu, tekadkan dengan kuat untuk terus memeranginya dengan cara tidak mengikuti kehendaknya.
Sementara itu, nafsu ibarat kuda liar. Apabila dibiarkan, ia akan lari entah ke mana. Namun, apabila dikendalikan, ia akan patuh kepada penunggangnya. Kawalan hawa nafsu adalah takwa. Dengan bersandarkan takwa inilah, mata akan dijaga agar tidak memandang sesuatu yang haram (QS An-Nûr: 31—32), telinga akan dicegah daripada mendengarkan perkataan dosa dan yang tidak bermanfaat, serta lidah juga tidak akan berbicara sesuka hatinya.
Dengan zuhud seperti itu, insya Allah, keinginan untuk beribadah menjadi sangat kuat. Dorongan akan datang dari dalam diri, dan juga sokongan rakan-rakan.
Keempat, jangan takut kekurangan rezeki. Sesungguhnya musibah, kesengsaraan dan kebahagiaan, semua itu adalah ujian. Rezeki menguji manusia adakah dia sabar pada saat rezekinya sedikit atau adakah dia akan bersyukur ketika rezekinya banyak. Ketetapan Allah SWT atas perkara ini sudah jelas sebagaimana firman-Nya dalam ayat berikut, “Dan janganlah kamu membunuh anak-anakmu kerana takut miskin. Kamilah yang memberi rezeki kepada mereka dan kepadamu.” [TMQ Al-Isra’ (17): 31]
“Dan di langit pula terdapat (sebab-sebab) rezeki kamu, dan juga terdapat apa yang telah (ditakdirkan dan) dijanjikan kepada kamu.” [TMQ Adz-Dzâariyaat (51): 22]
Musibah, kesengsaraan dan ujian tidak akan menimpa kita, kecuali apa yang ditetapkan oleh Allah kepada kita. Hadapilah semua itu dengan kesabaran. Yakinlah bahawa semua itu merupakan yang terbaik bagi kita. Namun, walaupun demikian, kita perlu berusaha menghindarinya. Ingatlah, semua itu tentu ada hikmah yang baik bagi kita. Pilihan Allah pasti yang terbaik.
Cuba renungkan hal berikut. Andai kata ada orang yang berkata kepada anda bahawa segala urusan anda akan ditanggung olehnya dan diatur sesuai kemaslahatan anda. Anda disuruh menyerahkan segala urusan anda kepadanya. Sedangkan orang yang berkata itu adalah orang yang paling luas ilmu dan kebijaksanaannya, paling kuat dan berkuasa, serta paling benar. Jika demikian, pasti anda akan gembira dan berterima kasih kepadanya. Tentu anda yakin, dia tidak akan memilihkan sesuatu yang buruk. Cuba renungkan, adakah kita kurang percaya kepada Allah sehingga kita tidak mahu menyerahkan urusan kepada-Nya? Siapakah yang lebih sayang, lebih tahu, lebih berkuasa dan lebih kaya daripada Allah?
Kelima, perlu khauf dan raja’. Untuk menjaga diri daripada maksiat, nafsu kita perlu dididik dengan khauf, iaitu merasa takut terhadap seksaan Allah Taala. Dengan demikian, kita akan terdorong untuk selalu taat kepada-Nya. Di samping khauf, kita juga perlu raja’, iaitu merasa penuh harapan mengingati kemurahan Allah dan merasa tenteram mengingati luasnya rahmat Allah Taala.
Seperti halnya seorang petani, tetap rajin bekerja di bawah terik matahari atau tengah-tengah hujan yang lebat kerana adanya harapan akan menuai hasil tanamannya kelak. Khauf dan raja’ ini dapat diperoleh dengan mengingat hal-hal berikut.
- a) Firman-firman Allah yang dapat menimbulkan khauf dan raja’.
- b) Murka dan ampunan Allah Taala.
- c) Balasan Allah kepada hamba-Nya yang berupa pahala dan dosa.
Keenam, jangan bersikap riak dan ujub. Riak ertinya beramal kerana mengharapkan keuntungan dunia atau tidak diniatkan lillahi taala. Contohnya, beramal kerana ingin dipuji, dihormati, disukai atau mendapatkan harta benda lainnya. Lawan bagi riak adalah ikhlas, iaitu beramal kerana mengharapkan redha Allah semata. Ikhlas juga bermaksud tidak menghiraukan pandangan manusia sama ada mereka suka atau tidak.
Riak dan ikhlas memang pekerjaan hati. Oleh kerana itu, berhati-hatilah dan berusahalah agar tetap memiliki hati yang bersih daripada tujuan-tujuan selain lillahi taala. Selain itu, jagalah jiwa daripada rasa ujub. Ujub bermaksud merasakan diri memiliki sifat-sifat yang serba sempurna.
Rasa ujub sebenarnya hanyalah hak Allah kerana Allah yang Maha Sempurna dalam segala perkara. Manusia dengan pangkat apa pun dan kedudukan setinggi apa pun tetap bukanlah makhluk yang berhak untuk merasa ujub.
Ketujuh, memuji dan bersyukur kepada Allah Taala. Memuji dan bersyukur kepada-Nya atas segala nikmat yang diberikan-Nya akan semakin menambah kenikmatan itu kepada kita. Bersyukur merupakan satu ciri penghambaan seorang hamba. Selain itu, syukur mencirikan keperluan hamba akan kelangsungan dan pertambahan nikmat yang selama ini diterimanya.
Allah SWT berfirman, “Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: “Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan menambah nikmat kepada kamu, tetapi jika kamu mengingkari (nikmat-Ku), pasti azab-Ku sangat pedih.’” [TMQ Ibrahim (14): 7]
Betapa sombongnya orang yang telah beribadah, tetapi tidak bersyukur. Seseorang yang dapat melakukan ibadah, sedangkan ramai yang lain tidak mampu berbuat demikian, bukankah ini satu nikmat besar yang patut disyukuri?
Ketika seseorang bersyukur, dia akan terdorong untuk menunjukkan rasa syukur berikutnya. Kerana dia dapat bersyukur, sementara ramai yang lain tidak mampu bersyukur kepada-Nya, ini juga satu merupakan satu nikmat.
Apabila semua ini telah dimiliki oleh siapapun secara penuh, lebih-lebih lagi para pengemban dakwah, pasti dia akan menjadi seorang pejuang Islam (mujahid), sekaligus sebagai ahli ibadah (muta’abid). Setiap langkah perjuangannya padat berisi amal-amal kebaikan.
Sumber: MR Kurnia, dkk., Merentas Jalan Menjadi Ahli Politik Transformatif
#ahlipolitik #dakwahIslam #ahlipolitiktransformatif