[Ahli Politik Transformatif] Meningkatkan Valensi Diri (Bahagian 2/3)
Penulis: MR Kurnia, dkk.
Kini, agama hanya dianggap sebagai satu bahagian (yang kecil) daripada peraturan kehidupan yang mengikat manusia. Bahkan, bahagian tersebut dianggap sebagai bukan bahagian yang cukup penting. Perkara ini terasa lebih menyukarkan langkah seorang hamba yang ingin melaksanakan aturan syarak, apatah lagi untuk istiqamah di jalan tersebut.
Beribadah secara istiqamah dan istiqamah dalam ibadah memang satu ujian bagi seseorang. Pelbagai rintangan akan sentiasa ada pada blila-bila masa. Menunggu satu waktu yang tidak ada lagi ujian dan dugaan untuk beribadah dan istiqamah adalah perkara mustahil. Oleh kerana itu, tidak ada jalan dan pilihan lain, kecuali menghadapi segala situasi dan keadaan yang ada, bagaimana pun, di mana pun, dan pada bila-bila masa pun.
Menjadi seorang ahli ibadah, dalam erti ibadah mahdhah, jelas memerlukan banyak persiapan. Bermula daripada persiapan pemahaman tentang makna ibadah itu sendiri, hingga persiapan agar mampu menghadapi pelbagai rintangan dan dugaannya. Persiapan ini menjadi begitu penting kerana ia bermaksud kita akan menyiapkan bekalan untuk menempuh satu perjalanan penting yang akan menentukan corak kehidupan kita akhirnya, baik di dunia mahupun akhirat.
Berikut adalah persiapan-persiapan yang perlu kita wujudkan segera. Pertama, menuntut ilmu. Siapa pun tidak akan mengagungkan Allah SWT jika dia tidak mengetahui dan meyakini bahawa Allah Maha Agung. Demikian juga, seseorang tidak mungkin melakukan ibadah dengan betul jika dia tidak mengetahui dan meyakini peraturan ibadah yang benar dalam Islam. Kalau kita umpamakan seseorang yang akan menempuh perjalanan ke sesuatu bandar, pertama sekali dia perlu mengetahui di mana bandar tersebut terletak, jalan yang perlu dilalui, cara untuk sampai ke bandar itu, jalan yang tidak boleh dilalui dan sebagainya. Tanpa mengetahui semua itu, dia tidak akan dapat sampai ke bandar tersebut.
Ringkasnya, langkah pertama yang perlu diambil oleh seorang hamba dalam menempuh jalan ibadahnya adalah dengan menuntut ilmu Islam. Dengan demikian, dia akan mengetahui peraturan Islam supaya dia tidak akan berbuat sesuka hatinya. Inilah pintu gerbang yang perlu dilalui untuk menempuh perjalanan panjang menuju ke tempat tujuan. Di sinilah letaknya kepentingan menuntut ilmu. Pelbagai ayat dan puluhan hadis telah menghuraikan tentang kewajipan dan keutamaan menuntut ilmu tersebut.
Dalam menuntut ilmu, beberapa perkara berikut perlu diperhatikan.
a) Ilmu Islam bukan hanya untuk kepuasan intelektual atau kepuasan akal saja, tetapi juga untuk diamalkan. Jadi, sesaat setelah mengetahui tentang sesuatu, kita perlu terus mengamalkannya.
b) Menuntut ilmu perlu melalui proses fikriyah, iaitu melalui proses berfikir sehingga kita betul-betul mengerti, memahami dan meyakininya.
c) Amalkan ilmu Islam yang telah diketahui sekarang juga, jangan menunda-nunda.
d) Lakukan usaha penyebaran ilmu yang dimiliki. Hal ini akan menambahkan kefahaman si penganutnya.
Kedua, bertaubat. Inilah langkah kedua dalam jalan ibadah. Langkah ini merupakan langkah pembersihan hati atau jiwa atas segala kesalahan terdahulu. Hal ini sekaligus merupakan usaha untuk meringankan beban bagi perjalanan selanjutnya. Taubat, satu perbuatan hati yang merangkumi perasaan dan pengakuan bersalah, benci atas perbuatan salahnya tersebut, kemudian berusaha bersungguh-sungguh untuk tidak mengulanginya lagi.
Insya Allah, taubat seperti inilah yang makbul. Diri yang lalai seringkali melupakan taubat. Sedangkan, Imam Bukhari dan Muslim meriwayatkan satu hadis bahawa Rasulullah SAW bersabda, “Sesungguhnya aku memohon ampun dan bertaubat kepada Allah dalam satu hari lebih daripada tujuh puluh kali.”
Sesekali, bersengajalah untuk mandi, kemudian solat taubat dua rakaat. Bermunajatlah ke hadrat Allah Taala. Mengadulah sepuas-puasnya. Mohonlah atas segala kemurahan-Nya. Angkatlah kedua tangan seraya berdoa, “Ya Allah, ya Rabb. Inilah hamba-Mu, datang ke hadapan-Mu membawa banyak cacat cela atas segala tingkah laku, membawa kekeruhan jiwa kerana dosa, membawa harapan agar Kau tidak bosan mengampuni seluruh dosa dan memaafkan segala khilaf. Pandanglah aku dengan pandangan rahmat-Mu. Terimalah aku dengan kekuasaan maghfirah-Mu. Ya Rabb, andai Engkau tidak memenuhi hajat hamba-Mu yang lemah ini, kepada siapa kami akan mencari ganti-Mu? Tiada Ilah selain Engkau. Ya Rahman, Ya Rahim, pelihara dan kuatkanlah kami dalam langkah ini.”
Ketiga, zuhud. Zuhud bermaksud tidak tergoda dan tertarik dengan dunia yang boleh menyebabkan kita lupa akhirat. Berzuhud bukanlah meninggalkan dunia sama sekali. Berzuhud bukanlah dengan mengasingkan diri, jauh daripada komuniti dan mengkhususkan diri untuk melakukan ritual ibadah semata. Ini kerana Allah SWT juga memerintahkan kita untuk mencari kurniaan yang telah diturunkan-Nya di dunia.
Allah SWT berfirman, “Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu (keperluan dan bekalanmu) daripada dunia.” [TMQ Al-Qasas (28): 77]
Mencari kehidupan duniawi jelas berbeza dengan menghambakan diri bagi kehidupan duniawi. Jiwa yang terbiasa zuhud akan mewujudkan amal ikhlas dan istiqamah. Dia tetap kuat walaupun orang meremehkan atau merendahkannya.
Salman al-Farisi, salah seorang sahabat dan arkitek Perang Khandaq, berpesan, “Hati yang zuhud terhadap dunia akan diterangi oleh cahaya hikmah dan anggota badannya saling membantu untuk beribadah. Selain itu, amal ibadah orang yang zuhud sangat berharga di sisi Allah Taala.”
Sikap zuhud setidaknya perlu kelihatan dalam memilih sahabat, serta memerangi syaitan dan hawa nafsu. Zuhud dalam memilih sahabat bermaksud tidak berkawan sembarangan, tetapi memilih sahabat yang berkeperibadian Islam. Sahabat yang berkeperibadian Islam secara zahirnya dapat kita ketahui daripada beberapa hal berikut.
- Berkomitmen terhadap syariat Islam dengan niat yang ikhlas, jujur dalam ketaatan dan konsisten beramal.
- Tidak kelihatan kemaksiatan, bidaah, atau pun hal-hal yang bertentangan dengan syarak dalam dirinya.
- Sibuk memikirkan aib dan kesalahan sendiri, tidak peduli terhadap aib orang lain.
- Beramar makruf nahi mungkar.
- Sinar keimanan kelihatan dan terpancar daripada wajahnya.
- Bersemangat dan berdaya juang tinggi dalam menyelesaikan masalah umat.
- Berdakwah penuh semangat, serta ikhlas dalam berjuang membangkitkan umat.
Sumber: MR Kurnia, dkk., Merentas Jalan Menjadi Ahli Politik Transformatif
#MenjadiAhliPolitikTransformatif #PolitikIslam #IslamPolitik #PotensiDiri