[Ath-Thariq] Bagaimana Kita Mengubah Manusia dan Membangkitkannya? (Bahagian 2/2)
Penulis: Syeikh Ahmad Athiyat
Pemikiran (al-fikru) menentukan tatacara berperilaku bagi manusia selama dia berusaha untuk memuaskan thaqah hayawiyah-nya. Dengan demikian, jika seseorang manusia memiliki perilaku yang salah, maka kita menyimpulkan bahawa dalam pemikiran orang itu, terdapat sebuah pemikiran (fikrah) yang mendorongnya untuk berperilaku salah.
Untuk menjelaskan permasalahan ini, kita andaikan manusia sebagai sebuah kereta. Sebuah kereta, supaya dapat bergerak maka dalam kereta itu perlu ada mesin penggerak. Mesin itu pula, agar dapat berkerja, ia memerlukan penghidup enjin (starter). Begitu juga dengan manusia, akal yang ia miliki menentukan tatacara seseorang dalam berperilaku dan agar akal itu boleh bekerja, maka ia perlu memiliki fikrah (pemikiran).
Berdasarkan hal itu, jika kita berkeinginan untuk mengubah perilaku manusia mana pun dari perilaku yang rendah (al-suluk al-munhith), ke perilaku yang luhur (al-suluk al-raq), maka terlebih dahulu kita perlu memahami pemikiran yang tersembunyi di sebalik perilaku tersebut. Contohnya, jika kita mahu agar seseorang meninggalkan kebiasaan minum arak, kita perlu mencari motif pemikiran di sebalik orang yang berperilaku tercela ini.
Contohnya, seseorang itu menganggap bahawa minum arak itu melambangkan kejantanan atau ciri-ciri kemajuan, maka dalam kes seperti ini kita perlu menyedarkan kerosakan pemikirannya. Jika kita berjaya melakukan perkara itu, maka kita juga akan berjaya mengubah satu bahagian tersebut. Tetapi, perubahan ini dan perubahan yang sejenis dengannya bukanlah perubahan yang dicari dalam rangka untuk mencapai sebuah kebangkitan.
Perubahan yang kita tuntut sekarang adalah perubahan yang kekal, terus-menerus dan berlangsung. Tiada lain kerana perubahan yang dilakukan dalam rangka untuk meraih sebuah kebangkitan itu, sebagaimana yang telah kami jelaskan, merupakan perkara yang menyeksa dan menyengsarakan, juga pernah dengan halangan beserta rintangan.
Oleh kerana itu, sebuah usaha untuk melakukan perubahan perlu dibuat dengan penuh kekuatan. Jika perubahan yang dilakukan itu lemah dan bersifat sementara sebagaimana yang kami contohkan tadi, maka perubahan itu hanya berhujung pada kegagalan bahkan kejatuhan.
Kerana itu kita perlu membahas sebuah jalan (thariqah) yang dengannya kita dapat merealisasikan perubahan yang kukuh, kuat dan tidak dapat digoncangkan oleh badai pemikiran, kesulitan dan masalah kebendaan. Dengan demikian, seorang manusia yang telah berubah dapat tetap kukuh dalam perubahannya yang lebih baik itu.
Contoh yang diberikan tadi dapat menyampaikan kita pada hakikat yang kukuh dan kuat iaitu bahawa perubahan realiti manusia dari keadaan yang rendah ke keadaan yang lebih tinggi itu dapat dicapai dengan sempurna melalui pemikiran, bukan dengan ilmu pengetahuan, perindustrian ataupun akhlak. Dengan demikian juga, kita dapat fahami bahawa kebangkitan itu akan terjadi hanya dengan tingginya tingkat pemikiran.
Berdasarkan hal itu, maka aktiviti yang perlu dilakukan untuk membangkitkan umat dan mengubah realiti yang rosak saat ini adalah dengan mengubah cara berfikir umat. Perubahan itu perlu dilakukan dengan jalan yang menjadikan ia sebuah perubahan yang kukuh dan kuat sehingga dapat membawa pada tujuan yang telah digarikan.
Akan tetapi, sebelum kami mengetengahkan jalan perubahan yang benar, kami perlu menjelaskan dahulu bahawa untuk mencapai perubahan itu, terdapat banyak cara (al-uslub), tetapi cara-cara tersebut tidak layak digunakan untuk mencapai perubahan yang digariskan yang membawa pada kebangkitan kerana cara-cara tersebut tidak membawa kita kecuali hanya ke dalam perubahan yang sementara.
Kerana itu, perlu kami jelaskan walaupun dengan sangat ringkas dan perlu juga kami beritahu bentuk-bentuk kerosakannya. Hal ini tiada lain kerana banyak orang yang tertipu dengannya. Mereka menganggap bahawa cara-cara tersebut merupakan jalan yang kukuh dan sahih, sedangkan kenyataannya tidak begitu. Setelah itu, kami akan uraikan jalan yang benar untuk mencapai sebuah perubahan agar ia dapat digunakan sebagai asas dan minhaj.
Sumber: Syekh Ahmad Athiyat, Ath-Thariq (Jalan Baru Islam)