Mengukuhkan Identiti Umat: Kembalikan Hukum Al-Quran dan As-Sunnah Sebagai Landasan Kehidupan
Oleh: Nor Nadzri
Umat terbaik adalah umat Islam. Ianya tidak mungkin dapat dinafikan oleh sesiapapun jua kerana Allah SWT telah berfirman yang bermaksud
“Kamu adalah umat terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang maaruf (kebaikan) dan mencegah dari yang mungkar, dan beriman kepada Allah”. [TMQ Ali-Imran (3): 110].
Namun begitu, gelaran ‘umat terbaik’ bukanlah sekadar predikat yang diulang baca di dalam Al-Quran. Bukan juga untuk dibangga-banggakan. Umat yang terbaik adalah umat yang mempunyai dua ciri utama iaitu mengajak kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran serta hatinya sentiasa tunduk dan beriman kepada Allah SWT serta mencintai sunnah Rasulullah SAW. Umat terbaik tentunya diharapkan menjadi umat yang terunggul, hebat dalam memimpin, menjadi rujukan dan ikutan, peka dan prihatin serta saling mengambil berat antara satu sama lain. Persoalannya benarkah umat Islam sekarang adalah umat yang terbaik?
Disisi manakah terbaiknya umat ini ketika kehormatan dan nyawa tidak dilindungi, kemuliaan Al-Quran dilecehkan, wilayah dan rumah dirampas, hak-hak dinafikan serta hasil bumi dijajah? Adakah kerana jumlah mereka yang sedikit sehingga diperlakukan sedemikian? Tidak mungkin! Rasulullah SAW pernah bersabda,
“Hampir tiba masanya kalian diperebutkan seperti sekumpulan pemangsa yang memperebutkan makanannya.” Maka seseorang bertanya: “Apakah karena sedikitnya jumlah kita?” “Bahkan kalian banyak, namun kalian seperti buih mengapung.” (HR. Abu Dawud).
Melihat realiti yang berlaku hari ini ke atas umat Islam dengan jumlah mereka yang tidak sedikit, membuatkan kita bertanya lagi, dimanakah silapnya? Mengapa dinyatakan di dalam Al-Quran umat Islam adalah umat terbaik sedangkan kenyataannya tidak sedemikian? Adakah Al-Quran yang silap atau umat Islam itu sendiri? Sebagai muslim yang mengimani dan menyakini kebenaran Al-Quran, tidak mungkin kitab suci ini mengandungi kesilapan kerana ianya bersumber dari al-Khaliq yang Maha Mengetahui. Justeru umat Islamlah yang silap dan salah. Disinilah pentingnya untuk umat Islam kembali menghisab dan mencari punca sebenar sehingga identiti dan posisi umat terbaik dapat kembali direalisasikan.
Berdasarkan surah Ali Imran ayat 110, umat Islam itu terbaik kerana mereka menyuruh kepada yang maaruf (kebaikan) dan mencegah dari yang mungkar. Apakah kerana umat Islam meninggalkan amar makruf nahi mungkar (dakwah) sehingga keadaan umat Islam seperti umat yang terpuruk, ketinggalan dan sering ditindas dan diperlecehkan di sana sini? Di sekeliling kita hampir dapat dipastikan ada sahaja aktiviti dakwah samada di media sosial mahupun di masjid, surau, pejabat dan dimana jua. Para daie, asatizah serta para ulama begitu tekun menyampaikan bahan tazkirah mahupun tausiyah dan ceramah disana-sini. Namun apakah yang disampaikan dan didakwahkan itu benar-benar diterapkan semuanya atau hanya sebilangan hukum dan syariat tertentu sahaja?
Sebagai contoh setiap kali menjelang Ramadhan, maka pastinya syariat berkaitan wajibnya berpuasa ke atas orang-orang beriman akan disampaikan oleh para daie.
“Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar mereka bertakwa” [TMQ Al-Baqarah (2): 183].
Begitu juga ibadah lain seperti kewajipan mengerjakan haji bagi yang telah mencapai syarat-syaratnya; disampaikan kepada umat Islam dan umat Islam akan menyahut seruan dan berusaha serta bersegera melaksanakannya. Namun disisi lain, bagaimana pula sikap umat Islam ketika ayat-ayat Allah berkaitan kewajipan berjihad sebagai penyelesaian umat Islam di Palestin?
“Perangilah di jalan Allah orang-orang yang memerangi kalian.” [TMQ Al-Baqarah (2): 191].
Bagaimana pula umat Islam bersikap terhadap masalah sosial seperti berleluasanya perzinaan dan lahirnya anak tidak sah taraf? Apakah respon mereka ketika dibacakan ayat-ayat Allah;
“Perempuan yang berzina dan lelaki yang berzina, maka deralah tiap-tiap seorang dari keduanya seratus kali dera. Dan janganlah belas-kasihan kepada keduanya mencegah kamu untuk (menjalankan) agama Allah, jika kamu beriman kepada Allah dan hari akhirat, dan hendaklah (pelaksanaan) hukuman mereka disaksikan oleh sekumpulan dari orang-orang yang beriman” [TMQ an-Nur (24): 2]
Dari contoh sebahagian dalil al-Quran di atas, bagaimanakah umat Islam mensikapinya? Jika dicermati, boleh jadi identiti sebenar umat Islam sebagai umat terbaik tidak dapat diwujudkan kerana sikap umat Islam sendiri. Ini kerana umat Islam (samada daie atau mad’u) seakan berbeza sikap terhadap sejumlah kewajipan yang disyariatkan oleh Allah. Dengan erti kata lain, membeza-bezakan dan memilih-milih antara syariat yang mana hendak ditaati dan yang mana pula ditinggalkan sedangkan para ulama perwaris Nabi SAW sepakat bahawa yang disebut kewajipan atau kefardhuan itu adalah apabila dikerjakan mendapat pahala dan berdosa jika ditinggalkan. Bolehkah kita hanya mendakwahkan ayat ini dan “menyembunyikan” ayat yang lain? Bolehkah kita hanya mengamalkan ayat yang satu, kemudian meninggalkan ayat yang lainnya?
“Sesungguhnya orang-orang yang menyembunyikan apa yang telah Kami turunkan berupa keterangan-keterangan dan petunjuk, setelah Kami jelaskan kepada manusia dalam Kitab (Al-Quran), mereka itulah yang dilaknat Allah dan dilaknat (pula) oleh mereka yang melaknat.” [TMQ Al-Baqarah (2): 159]
“Apakah kamu beriman kepada sebahagian Al Kitab (Taurat) dan ingkar terhadap sebahagian yang lain? Tiadalah balasan bagi orang yang berbuat demikian daripadamu, melainkan kenistaan dalam kehidupan dunia, dan pada hari kiamat mereka dikembalikan kepada siksa yang sangat berat. Allah tidak lengah dari apa yang kamu perbuat. “ [TMQ Al-Baqarah (2): 85].
Dari paparan dalil-dalil di atas, umat Islam sepatutnya menyedari akan sikap mereka sendiri yang memilih-milih dalam ketaatan terhadap syariat yang diturunkan oleh Allah SWT dan disampaikan oleh RasulNya.
Selama mana sikap sebegini tidak diubah maka keadaan umat Islam sukar kembali menjadi khaira ummah sebagaimana yang pernah disampaikan baginda SAW:
“Sebaik-baik manusia ialah pada generasiku, kemudian generasi berikutnya, kemudian generasi berikutnya.” [HR: al-Bukhari dan Muslim].
Dunia telah menyaksikan kebenaran sabda Rasulullah SAW melalui ketaatan yang telah ditunjukkan oleh para sahabat R.A. sepanjang perjuangan mereka baik semasa bersama Rasulullah SAW mahupun selepas wafatnya baginda SAW. Begitu juga dengan generasi tabi’in & tabi’ tabi’in sehingga digelar dengan ‘Zaman Kegemilangan Islam’ dari pelbagai aspek seperti pendidikan, ekonomi, sosial sehinggalah kepada pemerintahan yang mana Islam telah menguasai satu pertiga dunia. Inilah refleksi keimanan terhadap apa yang diperintahkan Allah dan menerimanya tanpa membezakannya sedikit pun.
Kesimpulan
Umat Islam pernah menjadi umat terbaik dari peradaban Islam yang dibina berdasarkan pemikiran Islam bersumber dari Al-Quran dan As-Sunnah. Justeru apapun yang diperintahkan wajib diseru agar diamalkan, apapun yang dilarang wajib diseru agar ditinggalkan. Tidak dibezakan antara dalil-dalil ibadah dengan dalil berkaitan politik, ekonomi, akhlaq, makanan, pakaian dan sebagainya. Jika umat Islam bersungguh-sungguh melakukan amar makruf nahi mungkar sehingga Al Quran dan As Sunnah dapat dilaksanakan secara kaffah, maka Allah benar-benar akan mengotakan janjiNya seperti mana firmanNya:
“Allah menjanjikan orang-orang yang beriman dan beramal soleh dari kalangan kamu (wahai umat Muhammad) bahawa Ia akan menjadikan mereka khalifah-khalifah yang memegang kuasa pemerintahan di bumi, sebagaimana Ia telah menjadikan orang-orang yang sebelum mereka: khalifah-khalifah yang berkuasa; dan Ia akan menguatkan dan mengembangkan ugama mereka (ugama Islam) yang telah diredhaiNya untuk mereka; dan Ia juga akan menggantikan bagi mereka keamanan setelah mereka mengalami ketakutan (dari ancaman musuh). Mereka terus beribadat kepadaKu dengan tidak mempersekutukan sesuatu yang lain denganKu. Dan (ingatlah) sesiapa yang kufur ingkar sesudah itu, maka mereka itulah orang-orang yang derhaka” [TMQ An-Nur (24): 55].
Terealisasinya janji Allah ini menandakan kemenangan bagi para pejuang dengan kembalinya identiti umat Islam sebagai one ummah, the best ummah, khaira ummah!