18 PESAN BERHARGA YANG PATUT KITA AMALKAN
Oleh: Ustaz Arief B. Iskandar
Pertama : Selalu menunaikan solat-solat fardhu, khususnya Isyak dan Subuh, secara berjemaah di masjid. Rasulullah SAW. bersabda: “Sungguh solat yang paling berat dilakukan oleh orang-orang munafik adalah solat isyak dan solat subuh (berjemaah di masjid). Andai saja mereka tahu betapa besar pahala kedua-dua solat tersebut, pasti mereka akan melaksanakan kedua solat tersebut (secara berjemaah di masjid) walaupun perlu datang dengan cara merangkak.” (HR Muslim).
Kedua : Selalu menjaga keselamatan diri. Imam Ibnu Baththah rahimahullah berkata, “Orang yang paling dapat menjaga keselamatan dirinya adalah orang yang paling dapat menjaga lisannya, yang paling menyibukkan diri dengan urusan agamanya dan yang paling dapat meninggalkan perkara-perkara yang tidak berguna bagi dirinya.” (Ibnu Baththah, Al-Ibaanah al-Kubraa, 2/596).
Ketiga : Jangan sampai berpaling dari Allah SWT. Imam Hasan al-Bashri rahimahullah berkata, “Di antara tanda Allah berpaling dari hamba-Nya adalah Dia menjadikan hamba-Nya itu sibuk dengan hal-hal yang tidak berguna bagi dirinya.” (Ibnu Abdi al-Barr, At-Tamhiid, hlm. 200).
Selain itu, Imam Ibnu al-Qayyim rahimahullah berkata, “Di antara penyebab terbesar mengapa hati sering terasa sempit adalah ; berpaling dari Allah ; hati terlalu terpaut dengan sesuatu selain Allah ; sering lalai dari mengingat Allah dan terlalu mencintai sesuatu selain Diri-Nya.” (Ibnu al-Qayyim, Zaad al-Ma’aad, 2/24).
Keempat : Memiliki kebiasaan yang baik dan istiqamah di dalamnya. Rasulullah SAW. bersabda : “Jika seorang hamba sakit atau sedang melakukan safar (sehingga terhalang untuk melakukan amal soleh yang biasa ia lakukan, maka tetap dicatat untuk dirinya pahala atas amal solehnya yang rutin ia lakukan saat muqim (tidak sedang safar) dan saat sihat.” (HR al-Bukhari dan Ahmad).
Kelima : Jangan menjadi orang bodoh. Ibnu al-Jauzi rahimahullah berkata, “Sungguh iblis itu menguasai (menyesatkan) manusia sesuai dengan sedikitnya kadar ilmu (agama)-nya. Makin kali sedikit ilmu (agama) manusia, semakin besar peluang iblis menguasai (menyesatkan) manusia.” (Ibnu al-Jauzi, Talbiis Ibliis, 1/334).
Keenam : Segeralah bersedekah sebelum pintu sedekah tertutup. Rasulullah SAW. bersabda : “Bersedekahlah kalian segera! Sebabnya sungguh akan datang kepada kalian suatu zaman saat seseorang berjalan dengan membawa harta yang hendak ia sedekahkah, tetapi dia tidak menemukan seorang pun yang mahu menerima sedekah (kerana tidak memerlukan sedekah).” (HR al-Bukhari).
Ketujuh : Jangan menghalangi diri dari hidayah Allah SWT. Sahal bin Abdillah rahimahullah berkata, “Cahaya (hidayah Allah) akan terhalang masuk ke dalam hati yang di dalamnya ada sesuatu yang Allah benci (iaitu penyakit hati seperti : syirik, ujub, riya’, takbur, iri, dengki dan lain-lain.). (Ibnu Rajab, Lathaa’if al-Maa’rif, hlm. 443).
Kelapan : Berusaha memiliki anak dan isteri yang soleh-solehah. Imam al-Qurthubi rahimahullah berkata, “Tidak ada sesuatu yang lebih menyejukkan pandangan mata bagi seorang Mukmin selain menyaksikan isteri dan anak-anaknya sentiasa taat pada Allah Azza wa Jalla.” (Al-Baghawi, Ma’aalim at-Tanziil, 6/99).
Kesembilan : Mencintai ilmu dan para ulama. Imam Ibnu al-Qayyim rahimahullah berkata, “Siapa saja yang mencintai ilmu dan ahli ilmu (para ulama) maka sungguh dia telah mencintai apa yang Allah cintai.” (Ibnu al-Qayyim, Miftaah Daar as-Sa’aadah, 1/435).
Kesepuluh : Selalu berharap mati syahid. Rasulullah SAW. bersabda : “Siapa saja yang benar-benar memohon kepada Allah agar mati syahid, Allah pasti akan mengangkat dirinya pada kedudukan para syuhada walaupun ia mati di atas tempat tidurnya.” (HR Muslim).
Kesebelas : Selalu menyedari bahawa taubat itu jauh lebih nikmat daripada maksiat. Imam Ibnu al-Qayyim rahimahullah berkata, “Andai pelaku maksiat tahu bahawa nikmat dan bahagianya taubat itu berlipat-lipat rasanya melebihi nikmat dan bahagianya maksiat, dia pasti akan bersegera taubat daripada tetap hanyut dalam nikmatnya maksiat.” (Ibnu al-Qayyim, Ar-Ruuh, hlm. 238).
Kedua belas : Selalu menyedari bahawa hidup mulia itu hanya dengan Islam. Sayidina Umar bin al-Khaththab ra. berkata, “Sungguh, kami dulu adalah bangsa yang paling hina. Lalu Allah memuliakan kami dengan Islam. Kerana itu, tatkala kami mencari kemuliaan tanpa Islam, yang dengan Islam itu Allah telah memuliakan kami, Allah pasti akan (kembali) menghinakan kami.” (HR al-Hakim).
Ketiga belas : Jangan sekali-kali mengikuti hawa nafsu. Imam Ibnu al-Qayyim rahimahullah berkata, “Seorang hamba, jika biasa mengikuti hawa nafsunya, maka pendapat dan pandangannya pasti rosak. Dia akan memandang baik perkara yang buruk dan memandang buruk perkara yang baik. Akhirnya, kebenaran dan kebatilan menjadi samar-samar pada dirinya.” (Ibnu al-Qayyim, Madaarij as-Saalikiin, 1/449).
Keempat belas : Belajar adab sebelum ilmu. Imam al-Auza’i rahimahullah berkata, “Pelajarilah dulu kejujuran (baca: adab) sebelum engkau mempelajari ilmu.” (Al-Khathib al-Baghdadi, Al-Jaami’, 1/204).
Kelima belas : Selalu bersedia menolong orang lain : Rasulullah SAW. bersabda, “Siapa saja yang membantu seorang mukmin untuk melepaskan kesulitannya di dunia, pasti Allah akan menghilangnya kesulitan dari dirinya kelak pada Hari Kiamat.”
Keenam belas : Sentiasa memiliki sifat al-khawf wa al-muraaqabah. Imam Ibnu Hajar rahimahullah berkata, “Seorang mukmin itu biasa memiliki rasa takut kepada Allah dan senantiasa merasa diawasi oleh Allah.” (Ibnu Hajar, Fath al-Baari, 11/105).
Ketujuh belas: Banyak bertasbih. Ibnu Mas’ud radhiyallaah ‘anhu berkata, “Tidaklah seorang nabi pun di antara para nabi yang ada, yang ditimpa kesedihan/kesengsaraan kecuali ia meminta pertolongan kepada Allah dengan banyak mengucapkan tasbih.” (Ibnu al-Qayyim, Ad-Daa’ wa ad-Dawaa’, blm. 23).
Kelapan belas: Banyak bertaubat setiap hari. Rasululullah SAW. bersabda: “Demi Allah, sungguh aku ini biasa beristighfar (memohon ampunan) dan bertaubat kepada Allah dalam sehari lebih dari 70 kali.” (HR al-Bukhari).
Semoga kita semua dapat mengamalkan semua nasihat di atas. Aamin.
Wa maa tawfiiqii illaa bilLaah ‘alayhi tawakkaltu wa ilayhi uniib.