[Nafsiyah] Taghaful
Setiap manusia pasti pernah melakukan kesilapan. Tiada manusia yang sempurna. Jika kita berharap untuk mencari pasangan, kawan, atau guru yang tidak pernah melakukan kesilapan, kita tidak akan pernah menemuinya.
Sebagai umat Islam, kita dipandu oleh syariat dalam bersikap terhadap kesilapan orang lain. Sikap yang dianjurkan ialah taghaful (melupakan kesalahan orang lain). Imam Syafie berkata, “Orang yang cerdik pandai ialah orang yang taghaful.” [Mu’jam Ibnu al Muqri, hlm. 51].
Melupakan kesalahan orang lain dan tidak mengingatinya lagi adalah salah satu akhlak yang mulia. Hasan al-Basri berkata, “Taghaful ialah akhlak orang-orang yang mulia.” Imam Ahmad juga berkata, “Keselamatan itu ada 10 cabang. Semuanya diperoleh dengan taghaful.” [Manaqib Imam Ahmad].
Teladan mulia kita, iaitu Rasulullah SAW bersabda, “Janganlah kalian melakukan tahassus, jangan melakukan tajassus, jangan saling hasad, jangan saling membelakangi, dan jangan saling membenci. Jadilah kalian hamba Allah yang bersaudara!” [HR Bukhari].
Anjuran Taghaful
Terdapat beberapa perkara yang dianjurkan untuk taghaful. Pertama, perkara berkaitan dunia yang bukan perkara maksiat. Ini telah dicontohkan oleh Rasulullah SAW ketika baginda berinteraksi dengan isteri dan hambanya (Anas bin Malik). Baginda sering tidak menyalahkan mereka dalam urusan dunia.
Sabda Rasulullah SAW “Orang yang paling baik (akhlaknya) di antara kalian adalah orang yang paling baik kepada isterinya. Aku adalah orang yang paling baik kepada isteriku.” [HR Tirmidzi].
Anas bin Malik berkata bahawa Rasulullah SAW adalah orang yang paling baik akhlaknya, paling berlapang dada, dan paling besar sifat kasih sayangnya.
Kedua, jika maksiat itu berkaitan dengan urusan manusia dan bukan hak Allah SWT. Kebiasaannya, jika diri Rasulullah SAW yang dihina dan dicaci, Rasulullah SAW tidak membalasnya.
Firman Allah SWT,
“Dan demi sesungguhnya, Rasul-rasul sebelummu pernah juga didustakan, maka mereka sabar terhadap perbuatan orang-orang yang mendustakan mereka dan menyakiti mereka, sehingga datanglah pertolongan Kami kepada mereka; dan sememangnyalah tiada sesiapa pun yang dapat mengubah Kalimah-kalimah Allah (janji-janjiNya); dan demi sesungguhnya, telah datang kepadamu sebahagian dari khabar berita Rasul-rasul itu. [TMQ al-An’am (6):34]
Abdullah bin Mas’ud RA berkata bahawa Rasulullah SAW menceritakan kisah tentang seorang nabi di antara para nabi. Dia dipukul oleh kaumnya dan darahnya menitik. Kemudian, sambil mengusap darah dari mukanya, dia berkata, “Ya Allah, ampunilah kaumku, kerana sesungguhnya mereka tidak mengetahui.” [HR Bukhari dan Muslim]. Mashaallah.
Saudaraku, Islam mengajarkan kita untuk memaafkan sesama manusia terutama saudara seakidah. Selepas memaafkan, lupakan kesilapannya. Hasan al-Basri berkata, “Para sahabat dan tabiin mempunyai konsep, sesiapa yang mencela saudaranya kerana dosa-dosanya, sedangkan saudaranya itu telah bertaubat kepada Allah, maka orang yang mencela itu tidak akan mati, melainkan dia akan menanggung dosa saudaranya tersebut.” Wallahu musta’an.
Sumber:
https://muslimahnews.net/2024/02/20/27229/