[Keluarga] Indahnya Ramadhan Bersama Keluarga Tercinta
Penulis: Najmah Saiidah
Ramadhan sememangnya bulan yang sangat istimewa bagi umat Islam kerana memberikan kebahagiaan dan keberkatan yang luar biasa kepada keluarga muslim. Umat Islam sudah sepatutnya bersyukur dengan nikmat Allah SWT ini. Allah SWT melipatgandakan pahala kepada kita berpuluh kali ganda untuk amalan fardhu, pahala amalan sunnahnya seperti pahala amalan fardhu, dan memberi minum kepada orang yang berbuka pahalanya adalah seperti pahala orang yang berpuasa tanpa mengurangi pahala orang yang berpuasa.
Bukan itu sahaja, Ramadhan juga memberikan banyak kebaikan untuk kehidupan keluarga kita. Kebersamaan kita sekeluarga mengisi hari-hari Ramadhan adalah nikmat dan kebahagiaan yang besar yang Allah SWT kurniakan kepada keluarga kita. Sudah tentu kebersamaan dengan keluarga tidak boleh kita lepaskan.
Ramadhan Adalah Detik Kebersamaan bagi Keluarga Muslim
Dalam amalan seharian, perasaan menikmati kebersamaaan dengan keluarga adalah sesuatu yang agak sukar untuk diwujudkan. Namun, pada Ramadhan ini, detik-detik kebersamaan dapat dijalin semula dengan lebih mudah.
Momen Ramadhan ini dapat mengembalikan keharmonian dan keakraban keluarga. Ini benar, dapat dilihat daripada ibu dan bapa yang biasanya sangat sibuk dengan rutin kerja masing-masing atau anak-anak yang juga sibuk dengan aktiviti sekolah, tetapi pada bulan Ramadhan ia tidak seperti itu.
Pada bulan Ramadhan kebiasaannya aktiviti di sekolah tidak terlalu berat, bahkan kadang anak-anak pulang lebih awal dan bercuti pada awal Ramadhan dan menjelang datangnya Aidilfitri. Begitu juga bapa-bapa yang pada bulan Ramadhan, akan pulang lebih awal dari pejabat kerana masa bekerja disingkatkan supaya dapat berbuka bersama keluarga di rumah.
Melalui aktiviti bersama sepanjang Ramadhan, suasana kebersamaan mudah terbina semula kerana ada masa-masa tertentu yang Allah sediakan, sekurang-kurangnya ketika berbuka puasa, bertarawih, dan makan sahur.
Mengisi Ramadhan Bersama Keluarga Menjadi Bermakna
Tidak dapat dinafikan bahawa kebersamaan adalah perkara yang amat penting dalam sesebuah keluarga. Beberapa pakar keibubapaan menyatakan bahawa makan bersama adalah cara paling asas untuk mewujudkan keakraban dalam keluarga.
Alangkah baiknya jika umat Islam boleh memaksimumkan bulan Ramadhan ini sebagai detik yang sangat baik untuk mengeratkan hubungan kekeluargaan dengan melakukan beberapa kegiatan bersama keluarga, antaranya:
- Bermaaf-maafan menjelang datangnya Ramadhan.
Secara umumnya, saling bermaafan boleh dilakukan pada bila-bila masa, tidak perlu menunggu Ramadhan atau Aidilfitri. Ini kerana sememangnya tiada hadis atau athar yang menunjuk ke arah sana. Segelintir umat Islam memanfaatkan detik-detik sebelum Ramadhan untuk bermaaf-maafan, kerana beranggapan bahawa Ramadhan adalah bulan yang suci, bulan untuk menyucikan diri daripada dosa-dosa, termasuk dosa dan kesalahan terhadap rakan atau keluarga.
Justeru, tidak ada salahnya bermaaf-maafan. Kebersamaan keluarga muslim boleh dimulakan oleh keluarga muslim apabila menjelang Ramadhan dengan bermaaf-maafan. Memang ini bukan amalan yang disunnahkan, tetapi ia adalah satu perkara yang baik untuk dilakukan, kerana mungkin ada kata-kata atau perkara yang kita tidak sengajakan yang mungkin menyinggung perasaan ahli keluarga kita yang lain. Maka, dengan saling memaafkan, kita semua berasa tenang. Kemudian luruskan niat untuk berpuasa sehingga kita dapat mencapai darjat takwa. Amin.
- Berbuka dan sahur bersama.
Bulan Ramadhan sememangnya akan menyatukan keluarga muslim, menyatukan hati keluarga kita dalam kebersamaan untuk saling mengasihi dan menyayangi, saling melindungi dan menjaga. Alangkah bahagianya dapat berbuka puasa dan makan sahur bersama keluarga di rumah. Ketika berbuka dan sahur bersama, ayah, ibu, dengan anak-anaknya dan ahli keluarga yang lain boleh saling bercerita, mendengar nasihat atau curahan perasaan anak-anak kita sehingga keakraban kita dengan keluarga lebih terasa.
Selain itu, makan sahur menjadi saat yang selalu dinantikan, kerana semua ahli keluarga dapat berkumpul semuanya secara lengkap. Tanpa paksaan, detik kebersamaan di awal pagi tersebut seolah-olah menjadi magnet automatik bagi semua ahli keluarga untuk berkumpul pada waktu sahur yang terhad dan rutin aktiviti di luar rumah yang belum bermula.
Kebersamaan ahli keluarga terjalin bermula dari rutin saling membangunkan dari tidur dan mengingatkan setiap ahli keluarga untuk bangun sahur. Selepas itu, detik kebersamaan juga semakin terasa apabila semua ahli keluarga berkumpul di meja makan untuk menikmati hidangan sahur yang lazat dari air tangan ibu.
Aktiviti bersahur atau berbuka puasa ini jika dilakukan bersama antara ibu bapa dan anak secara rutin dapat menambahkan lagi kemesraan antara ahli keluarga. Malah, apabila makan bersama ada keberkatan di dalamnya. Dalam Fathul Baari 9/446, Ibnu Hajar menjelaskan berkenaan dengan hadis dari Ibnu Umar yang diriwayatkan oleh Thabrani, pada awal hadis tersebut dinyatakan, “Makanlah bersama-sama dan janganlah sendiri-sendiri kerana sesungguhnya makanan untuk seorang cukup untuk dua orang.’”
Hadis ini menunjukkan bahawa makanan untuk seorang mencukupi untuk dua orang dan seterusnya adalah kerana keberkatan yang ada pada makan bersama. Semakin ramai orang yang ikut makan, semakin bertambahlah keberkatan.
Diriwayatkan dalam hadis riwayat Abu Daud, dari Wahsyi bin Harb dari bapanya dari datuknya, “Sesungguhnya para sahabat Rasulullah SAW pernah mengadu, Wahai Rasulullah sesungguhnya kami makan, tetapi tidak merasa kenyang. Nabi SAW bersabda, ‘Mungkin kamu makan sendiri-sendiri?’ “Betul’, kata para sahabat. Nabi SAW lalu bersabda, ‘Makanlah bersama-sama dan sebutlah nama Allah terlebih dahulu, nescaya makanan itu akan diberkati’.”
Maka, rugilah jika detik Ramadhan dilepaskan dengan kesibukan melakukan aktiviti dengan gadjet. Jangan sampai objek tidak bernyawa melalaikan diri daripada membina kemesraan dan berbual antara keluarga.
- Solat Tarawih Berjemaah
Apabila menjelang malam bulan Ramadhan, semua ahli keluarga menunaikan solat tarawih secara berjemaah, sama ada di rumah atau di masjid. Lebih indah lagi jika kita dapat mengajak semua ahli keluarga untuk solat berjemaah di masjid. Di rumah Allah yang sangat terjaga kesuciannya. Ibadat pun terasa khusyuk, dan doa-doa pun terasa dikabulkan dengan cepat oleh Allah Yang Maha Pemurah.
Solat tarawih adalah ibadat yang disunnahkan oleh Allah SWT. Lebih-lebih lagi jika kita melakukannya secara berjemaah, maka kita akan mendapat 27 kali ganda pahala daripada solat sendirian. Solat tarawih berjemaah disyariatkan berdasarkan sunnah Nabi SAW.
At-Tirmidzi telah meriwayatkan dari Abu Zar RA berkata, Rasulullah SAW bersabda,
لَيْلَةٍ قِيَامُ لَهُ كُتِبَ يَنْصَرِفَ حَتَّى الإِمَامِ مَعَ قَامَ مَنْ
“Sesiapa yang berdiri bersama imam—semasa solat tarawih—sehingga imam selesai, maka akan dicatat sama seperti qiyamullail sepanjang malam.” [HR Tirmidzi].
Imam Bukhari dari Abdurrahman bin Abdul Qari bahawa beliau berkata, “Saya pernah keluar bersama Umar bin al-Khattab RA pada suatu malam menuju masjid di bulan Ramadhan, saya mendapati ramai orang bertebaran secara terpisah-pisah, ada yang solat sendirian, ada juga yang menjadi imam bagi sekelompok orang lain, lalu Umar berkata, “Sesungguhnya saya berpendapat jika saya mengumpulkan mereka di belakang seorang qari maka akan lebih utama, kemudian beliau berazam untuk mengumpulkan mereka di belakang Ubay bin Ka’ab (sebagai imam).”
Begitulah keutamaan melakukan solat tarawih secara berjemaah di mana keluarga muslim boleh melakukannya di rumah atau di masjid. Ketika kita berjemaah di masjid, langkah kita menuju ke masjid akan mendapat pahala. Lebih dari itu, apabila kita sekeluarga berjalan menuju ke masjid, ia adalah kebersamaan yang indah. Ayah, ibu, dan anak-anak berjalan beriringan menuju ke rumah Allah SWT. Sesungguhnya ia pemandangan yang sangat indah.
- Menguatkan taqarrub dengan menjalankan amalan sunnah bersama.
Di bulan Ramadhan ini, kita dan keluarga diberi peluang oleh Allah SWT untuk memantapkan lagi dan meningkatkan taqarrub kita kepada Allah SWT. Terlalu banyak amalan sunnah dan amal kebaikan lain yang boleh dilakukan bersama-sama di bulan Ramadhan ini dan tentunya kita tidak boleh mensia-siakannya. Sudah tentu kita boleh memperbanyakkan membaca al-Quran, kita boleh melakukan tadarus al-Quran bersama keluarga, juga dengan masyarakat sekeliling. Momen ini juga boleh kita gunakan untuk belajar Islam bersama-sama dengan mentadabbur ayat-ayat al-Quran, dengan ayah atau ibu memimpin kajian ini secara bergilir-gilir.
Selain itu, setiap ahli keluarga boleh berlumba-lumba melakukan amalan sunnah yang lain, seperti solat dhuha, solat hajat, atau solat tahajjud. Ayah dan ibu mempunyai tugas utama untuk memotivasikan ahli keluarga untuk melaksanakan amal kebaikan ini, malah setiap ahli keluarga saling mengingatkan ahli keluarga yang lain.
Lebih-lebih lagi ketika bertahajjud, ibu boleh mengejutkan ayah, kemudian kedua-duanya mengejutkan anak-anak untuk menunaikan solat tahajjud sebelum makan sahur. Kemudian memanjatkan doa bersama-sama. Kemudian selepas sahur diteruskan dengan solat subuh secara berjemaah, sama ada di rumah atau di masjid.
Seterusnya amalan ini kita iringi juga dengan memperbanyakkan sedekah dan berzikir kepada Allah serta menahan diri daripada pelbagai perkara yang mengundang kemarahan, kerana sesungguhnya bulan Ramadhan adalah benteng bagi kita.
Satu lagi perkara penting yang mesti kita lakukan ialah banyakkan berdoa kepada Allah SWT supaya Allah SWT berkenan mengurniakan kesihatan, kemudahan, kelapangan, kelancaran, serta keberkatan bagi kita dalam melaksanakan semua amal kebaikan di bulan yang mulia ini dan juga di bulan-bulan berikutnya. Selain itu, dengan banyak memanjatkan doa, kita akan semakin dekat dengan Allah SWT dan ini insyaAllah akan lebih menguatkan kita dan lebih bersemangat menjalani Ramadhan.
- Membuat kerja rumah bersama-sama.
Keluarga mempunyai peranan penting agar pelaksanaan amal soleh di bulan Ramadhan berjalan secara optimum, sekaligus menjadi saat yang tepat untuk mengeratkan hubungan kekeluargaan. Sudah tentu peranan seorang ibu amat penting untuk menyediakan suasana yang kondusif untuk keluarga. Begitu juga ayah dan ahli keluarga yang lebih tua boleh bekerjasama supaya aktiviti yang dilakukan oleh keluarga akan terasa lebih ringan.
Kesemua aktiviti tersebut selain dapat mendekatkan diri kepada Allah SWT dan mendapat pahala, dalam masa yang sama mengeratkan hubungan kekeluargaan dengan melakukan aktiviti bersama. Dengan kebersamaan dalam keluarga akan memupuk sikap saling menyayangi dan saling menghormati yang lebih kuat sesama ahli keluarga.
Ibu dan anak-anak perempuan boleh memasak bersama untuk bersahur dan berbuka. Ini kerana Rasulullah SAW telah memberi khabar gembira kepada kita, ibu-ibu dan anak-anak gadis, dengan hadis-hadisnya, antara lain, “Sesiapa yang memberi minum orang yang berbuka puasa, nescaya Allah akan memberinya minum dari air kolam-Ku dengan minuman yang dia tidak merasakan lagi dahaga sesudah itu sehingga dia masuk ke dalam syurga.” [HR Ibnu Huzaimah].
Dalam hadis yang lain, Nabi Muhammad SAW bersabda,“Sesiapa yang menyediakan makanan berbuka bagi orang yang berpuasa, maka baginya pahala seperti orang yang berpuasa tersebut, tanpa mengurangi pahala orang yang berpuasa itu sedikit pun.” [HR Tirmidzi, Ibnu Majah, Ahmad].
Khatimah
Ramadhan adalah detik di mana kita boleh meluangkan masa lebih kerap bersama dengan suami dan anak-anak, sudah tentu jangan sampai kita mensia-siakan peluang ini. Bulan yang Allah SWT berikan peluang kepada keluarga muslim untuk dapat memperbanyakkan amal kebaikan agar mendapatkan pahala yang melimpah-ruah.
Lebih-lebih lagi jika kita melakukan semua aktiviti ini bersama-sama ahli keluarga yang lain. Bukan sahaja pahala yang melimpah-ruah, semuanya juga akan terasa ringan, malah mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan. Alangkah indahnya kebersamaan di bulan yang suci ini, terasa tidak mahu berpisah dengan bulan yang penuh berkat ini.
Semoga kita dan keluarga dapat menjalani puasa Ramadhan tahun ini dengan penuh khusyuk dalam kebersamaan dan dapat mencapai ketakwaan yang sebenar. Dan semoga kita dapat bertemu dengan Ramadhan yang akan datang. Amin. Wallahua’lam bissawab.