[Tarikh Khulafa] Sultan Bayazid I dan Pengepungan Konstantinopel
Penulis: Nabila Ummu Anas
Konstantinopel adalah ibu kota Empayar Rom, kemudian Empayar Rom Timur (Byzantium). Maharaja Konstantin Agung memindahkan ibu kota Empayar Rom dari kota Rom ke tempat ini pada 330 AD dan menamakannya sempena namanya.
Jihad sebagai sebahagian daripada dasar luar Negara Islam telah menyasarkan kota Konstantinopel untuk ditakluki, kerana terdapat hadis Nabi Muhammad SAW yang menyebut tentang penaklukannya. Hadis ini memberi semangat kepada setiap pemimpin Daulah Islam termasuk Sultan Bayazid I selaku ketua negara Daulah Uthmaniyyah untuk merancang strategi untuk menakluki Konstantinopel sebagaimana yang dikhabarkan oleh Nabi Muhammad SAW.
Hadis Penaklukan Konstantinopel
Di antara hadis-hadis sahih berkaitan jihad Konstantinopel ialah hadis dari Abu Qobil, beliau berkata “Kami berada di sisi Abdullah bin Amr bin Ash, lalu beliau ditanya mengenai kota mana yang akan dibuka terlebih dahulu, adakah Konstantinopel atau Rom? Beliau meminta sebuah kotak, kemudian beliau mengeluarkan sebuah kitab, lalu berkata, ‘Abdullah bin Mas’ud berkata, ‘Ketika kami bersama Rasulullah SAW untuk menulis, tiba-tiba baginda ditanya: Kota manakah yang akan dibuka dahulu, adakah Konstantinopel atau Rom? Baginda menjawab: Yang akan dibuka terlebih dahulu adalah kota Heraklius.’ Iaitu Konstantinopel .[HR Ahmad, Ad-Darimi, dan Al-Hakim].
Mulai Menekan Byzantium
Sebelum Perang Nicopolis, Sultan Bayazid I mampu menekan Empayar Byzantium dan menuntut Maharaja Manuel II melantik seorang hakim di Konstantinopel yang tugasnya adalah untuk memutuskan kes yang berlaku antara orang Islam.
Sultan Bayazid I terus mengepung ibu kota Byzantine sehingga maharaja akhirnya menerima penubuhan badan kehakiman Islam, pembinaan masjid, dan pembinaan tujuh ratus rumah khas untuk orang Islam di kota itu. Maharaja Manuel II juga menyerahkan separuh daripada kawasan Galata yang menjadi perisai Uthmaniyyah, kerana ia mengandungi enam ribu tentera Uthmaniyyah. Penghormatan yang diserahkan oleh Byzantium juga ditambah. Perbendaharaan negara Uthmaniyyah mewajibkan menyimpan kurma dan sayur-sayuran di luar bandar. Selain itu, azan turut dilaungkan di menara-menara ibu kota Byzantine.
Balkan Makin Lemah
Selepas tentera Uthmaniyyah mencapai kemenangan yang gemilang dalam pertempuran Nicopolis, Daulah Uthmaniyyah mampu mengukuhkan “kaki”nya di Balkan. Ketakutan dan kebimbangan merebak di kalangan penduduk Balkan.
Selepas kemenangan dalam pertempuran Nicopolis, ribuan umat Islam yang ingin mengabdikan diri mereka kepada Empayar Uthmaniyyah berhijrah ke Anatolia. Penghijrahan itu dipenuhi dengan tentera dan orang ramai yang ingin memberikan sumbangan dalam bidang ekonomi, sains dan pemerintahan. Mereka berpindah dan menetap di Iran, Iraq dan kawasan Tansoxiana. Di samping itu, terdapat juga kelompok yang melarikan diri kerana serangan Timur Lenk ke atas Asia Tengah.
Manakala, kerajaan Bosnia dan Bulgaria tunduk kepada pemerintahan Uthmaniyyah. Pada masa yang sama, tentera Uthmaniyyah terus mengejar saki baki tentera Kristian yang telah melarikan diri akibat kekalahan mereka di medan perang.
Sultan Bayazid menjatuhkan hukuman ke atas pemerintah Kepulauan Peloponnese yang sengaja memberikan bantuan ketenteraan kepada pakatan Tentera Salib. Hukuman juga dijatuhkan terhadap Maharaja Byzantine kerana sikapnya yang menyatakan permusuhan, Sultan Bayazid meminta beliau untuk menyerahkan kota Konstantinopel. Selepas itu, Maharaja Manuel II meminta bantuan kepada beberapa kerajaan di Eropah, tetapi dia tidak mendapat respons yang positif.
Strategi Pengepungan Sebelum Penaklukan
Sebenarnya,menguasai ibu kota Byzantium, Konstantinopel, adalah matlamat utama dari perancangan jihad yang dilakukan oleh Sultan Bayazid I. Oleh itu, baginda bergerak bersendirian untuk memimpin tentera Uthmaniyyah dan melakukan pengepungan yang sangat ketat terhadap ibu kota Byzantium. Pengepungan ini berlangsung dengan sangat rapi sehinggakan kota itu hampir jatuh. Sultan Bayazid I beriman dengan hadis Nabi Muhammad SAW dan sangat berharap agar beliau dan pasukan tenteranya merealisasikan penaklukan kota Konstantinopel.
Ketika Eropah sedang menunggu hari-hari kejatuhan ibu kota Byzantium yang sangat kukuh, Sultan Bayazid I tiba-tiba memalingkan perhatiannya daripada menakluki kota Konstantinopel. Ini disebabkan oleh kemunculan bahaya baru yang mengancam Daulah Uthmaniyyah iaitu serangan dari Timur Lenk.
Sumber: Dr. Ali Muhammad Ash-Shallabi, Sejarah Daulah Utsmaniyah, Faktor-Faktor Kebangkitan dan Sebab-Sebab Keruntuhannya, Ummul Qura