Kekuasaan Dalam Islam Untuk Berkhidmat pada Islam dan Rakyat
Oleh: Ustaz M. Taufik NT
“Seribu kepintaran dapat dikalahkan, bahkan tidak ada ertinya di hadapan segenggam kekuasaan,” tulis seorang pegawai.
Dari sisi realiti, dalam batas-batas tertentu, ungkapan tersebut tidaklah keliru. Tetapi, di sisi hukum Islam, ungkapan tersebut tidak boleh digunakan sebagai alasan untuk menombor-satukan kekuasaan. Kekuasaan boleh menolong pemegangnya untuk berbuat kebaikan dan kekuasaan juga dapat mencelakakan pemegangnya yang melakukan berbagai kerosakan secara besar-besaran. Firaun, contohnya, kekuasaannya membuatkan dia merasakan dirinya Tuhan dan telah merosakkan urusan rakyatnya.
Bagaimana agar kekuasaan memberikan kebaikan kepada pemegangnya dan masyarakat serta tidak berakhir dengan penyesalan di dunia dan akhirat? Beberapa perkara berikut wajib dipenuhi.
Bagaimana agar kekuasaan memberikan kebaikan kepada pemegangnya dan masyarakat serta tidak berakhir dengan penyesalan di dunia dan akhirat? Beberapa hal berikut wajib dipenuhi.
Jangan Pisahkan Kekuasaan dari Islam
Kekuasaan dan kepemimpinan jika dipisahkan dari Islam akan membahayakan pemangkunya dan merosakkan rakyat yang dia pimpin. Penguasa akan terhina kerana mengkhianati amanah Allah dalam mengatur kekuasaan dengan Islam. Rakyat juga akan menjadi mangsa penerapan sistem peraturan yang rosak.
Jika kekuasaan terpisah dari Islam, maka seorang Muslim sepatutnya lebih memilih untuk bersama dengan Islam. Muadz bin Jabal ra. menuturkan bahawa Rasulullah SAW. bersabda :
أَلا إِن الْكِتَابَ وَالسُّلْطَانَ ،سَيَفْتَرِقَانِ فَلا تُفَارِقُوا الْكِتَابَ
Ketahuilah, sesungguhnya Al-Quran dan kekuasaan akan terpisah, maka janganlah kalian terpisah dari Al-Quran.
Paradigma Kekuasaaan dan Kepemimpinan dalam Islam
Kekuasaan dan kepemimpinan itu ada kerana Islam ada untuk tegaknya Islam. Kepemimpinan itu ada kerana Islam memerintahkan agar mengangkat pemimpin walaupun hanya ada tiga orang di satu sudut muka bumi. Kekuasaan itu ada kerana Islam telah menjadikan adanya hak bagi pemimpin untuk ditaati sekaligus kewajipan untuk menerapkan Islam. Allah SWT. berfirman:
وَأَنِ ٱحۡكُم بَيۡنَهُم بِمَآ أَنزَلَ ٱللَّهُ وَلَا تَتَّبِعۡ أَهۡوَآءَهُمۡ ٤٩
“Dan hendaklah engkau menjalankan hukum di antara mereka dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah dan janganlah engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka…” [TMQ Al-Maaidah (5): 49].
Walaupun dalam keadaan yang sangat memerlukan kekuasaan untuk melindungi dakwah dari penganiayaan kafir Quraisy, Rasulullah SAW. dengan tegas menolak kekuasaan yang akan meninggalkan salah satu hukum Islam, iaitu hukum Islam terkait pewarisan. Ketika Baiharah bin Firas dari Bani ‘Amr bertanya, jika mereka membaiat Baginda, apakah mereka yang akan mewarisi kekuasaan pasca wafatnya Rasulullah? Baginda menjawab:
الأَمْرُ إلَى الله يَضَعُه حَيْثُ يَشَاء
Perkara (kekuasaan) itu kembali kepada Allah, Dialah Yang memberikan kekuasaan itu kepada yang Dia kehendaki.
Baiharah kemudian menolak permintaan Baginda. Penolakan ini tidak membuatkan Rasulullah SAW. meninggalkan sedikitpun hukum syariah hanya kerana ingin memenuhi keinginan Bani ‘Amr yang tidak sesuai hukum syariah.
Begitu juga dengan Khalifah Abu Bakar ra. Pada masa-masa yang sulit kerana menghadapi serangan orang-orang murtad, ada sebahagian kabilah yang mahu mengingkari kewajipan zakat. Maka Abu Bakar pun berkata, “Demi Allah, jika mereka menghalangku dari mengambil zakat ternakan yang dulu mereka berikan kepada Rasulullah, kemudian pepohonan, tanah, jin dan manusia bersatu membantu mereka, nescaya tetap aku perangi mereka sehingga nyawaku berjumpa dengan Allah!”
Mendengar hal itu, Umar ra. berkata, “Wahai Khalifah Rasulullah SAW., bersikap lembutlah kepada manusia.”
Jika diperhatikan dari sudut ketenteraan, ketika orang-orang murtad menyerang Madinah, jika kelompok yang tidak mahu membayar zakat dibiarkan saja, tentu akan mengurangkan jumlah musuh kerana yang bakal mereka hadapi hanya musuh yang benar-benar menyerang Madinah secara fizikal saja. Kerana secara logiknya, jika Khalifah Abu Bakar berkeras menegakkan hukum zakat, mereka akan memisahkan diri dari negara, bahkan menyerang negara. Tetapi, Abu Bakar tetap lebih mengutamakan tegaknya hukum syariah daripada negara, bahkan daripada nyawanya sendiri. Beliau berkata,
أجبّار في الجاهلية وخوّار في الإسلام؟ إنه قد انقطع الوحيُ وتم الدين أينقص وأنا حي؟
Adakah engkau kuat pada masa jahiliyah dan lemah dalam Islam (wahai ‘Umar)? Sungguh wahyu telah terputus dan agama ini telah sempurna. Adakah agama ini akan berkurang (sedangkan) aku masih hidup?”
Sulthân[an] Nashîr[an]
Kekuasaan memang penting dan agama ini tidak dapat tegak sempurna tanpa kekuasaan. Hanya saja, yang dituntut bukanlah sekadar kekuasaan, tetapi juga kekuasaan yang menolong (shultân[an] nashîr[an]). Demikian sebagaimana doa yang diajarkan oleh Allah SWT. kepada Baginda:
وَقُل رَّبِّ أَدۡخِلۡنِي مُدۡخَلَ صِدۡقٖ وَأَخۡرِجۡنِي مُخۡرَجَ صِدۡقٖ وَٱجۡعَل لِّي مِن لَّدُنكَ سُلۡطَٰنٗا نَّصِيرٗا ٨٠
“Dan pohonkanlah (wahai Muhammad, dengan berdoa): “Wahai Tuhanku! Masukkanlah daku ke dalam urusan agamaku dengan kemasukan yang benar lagi mulia, serta keluarkanlah daku daripadanya dengan cara keluar yang benar lagi mulia; dan berikanlah kepadaku dari sisiMu hujah keterangan serta kekuasaan yang menolongku” [TMQ Al-Israa’ (17): 80]
Menjelaskan frasa “kekuasaan yang menolong”, Imam Ibnu Katsir mengatakan ia membawa maksud,
….نَصِيراً لِكِتَابِ اللهِ، وَلِحُدُودِ اللهِ، وَلِفَرَائِضِ اللهِ، وَلِإِقَامَةِ دِينِ الله
“… untuk membela Kitabullah, menerapkan hukum-hukum Allah, melaksanakan hal-hal yang difardhukan (diwajibkan) Allah dan untuk menegakkan agama Allah.”
Menjaga Agama dan Rakyat
Imam al-Mawardi, ketika memperincikan 10 tugas dan tanggungjawab Khalifah (penguasa), pada poin pertama beliau menyatakan:
حِفْظُ الدِّينِ عَلَى أُصُولِهِ الْمُسْتَقِرَّةِ، وَمَاأَجْمَعَ عَلَيْهِ سَلَفُ الْأُمَّة…
“Menjaga Islam agar senantiasa berada di atas asasnya dan di atas apa yg telah disepakati oleh generasi terdahulu dari umat ini…”
Beliau lalu menyampaikan tugas berikutnya, di antaranya: menerapkan hukum di antara mereka yang berselisih, meleraikan permusuhan yang terjadi antara mereka yang bersengketa, melindungi kesucian dan kehormatan, menerapkan hudûd (hukum-hukum Allah) untuk menjaga larangan-larangan Allah dari penodaan, menjaga hak-hak hamba-Nya dari kerosakan dan eksploitasi, membentengi perbatasan, juga memerangi siapa saja yang menentang Islam setelah dakwah sampai kepada mereka, sehingga mereka mahu berislam atau magu masuk dalam dzimmah.
Pedoman Tentang Kekuasaan dan Kepemimpinan
Untuk menjamin keberlangsungan tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan kepada penguasa, Islam memberikan pedoman tentang kekuasaan dan kepemimpinan. Di antaranya adalah:
Syarat-syarat pemimpin.
Islam telah menjelaskan beberapa syarat bagi seorang pemimpin. Jika pemimpin itu adalah ketua negara, dia mestilah memenuhi tujuh syarat berikut:
Pertama, Muslim. Allah SWT. berfirman:
وَلَن يَجۡعَلَ ٱللَّهُ لِلۡكَٰفِرِينَ عَلَى ٱلۡمُؤۡمِنِينَ سَبِيلًا ١٤١
“…dan Allah tidak sekali-kali akan memberi jalan kepada orang-orang kafir untuk membinasakan orang-orang yang beriman” [TMQ an-Nisaa’ (4): 141]
أَجْمَعَ الْعُلَمَاءُ عَلَى أَنَّ الْإِمَامَةَ لَا تَنْعَقِدُ لِكَافِرٍ وَعَلَى أَنَّه لَوْ طَرَأَ عَلَيْهِ الْكُفْرُ انْعَزَلَ
Para ulama telah bersepakat (berijmak) bahawa kepemimpinan tidak sah diberikan kepada orang kafir, dan mereka juga bersepakat bahawa seandainya terjadi kekufuran pada dirinya, maka dia wajib dipecat.
Kedua, lelaki. Berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Abu Bakrah ra. yang mengatakan: Ketika sampai berita kepada Rasulullah SAW. bahawa bangsa Parsi telah mengangkat puteri Kaisar sebagai ratu, maka Baginda bersabda:
لَنْ يُفْلِحَ قَوْمٌ وَلَّوْا أَمْرَهُمُ امْرَأَةً
Tidak akan pernah beruntung suatu kaum yang menyerahkan kekuasaan (pemerintahan) mereka kepada seorang wanita.
Ketiga dan keempat, baligh dan berakal. Rasulullah SAW. bersabda:
رُفِعَ الْقَلَمُ عَنْ ثَلَاث: عَن النَّائِمِ حَتَّى يَسْتَيْقِظَ، وَعَنِ الْمَجْنُونِ حَتَّى يَبْرَأَ، وَعَنِ الصَّبِيِّ حَتَّى يَعْقِلَ
Telah diangkat pena (beban hukum) atas orang yang tidur sehingga bangun, atas anak kecil sehingga baligh dan atas orang gila sehingga waras (akalnya kembali) (HR Abu Dawud).
Siapa saja yang diangkat pena (beban hukum) dari dirinya, dengan sendirinya tidak sah untuk mengurusi urusannya, apalagi menguruskan urusan masyarakat.
Kelima, adil. Allah SWT. telah mensyaratkan pada seorang saksi dengan syarat ‘adâlah (adil).
وَأَشۡهِدُواْ ذَوَيۡ عَدۡلٖ مِّنكُمۡ ٢
“…dan adakanlah dua orang saksi yang adil di antara kamu…” [TMQ ath-Thalaaq (65): 2]
Kedudukan seorang pemimpin/ketua negara tentu saja lebih tinggi daripada seorang saksi. Kerana itu tentu lebih utama dia memiliki syarat agar bersifat adil.
Keenam, merdeka. Seorang hamba sahaya tidak sah menjadi pemimpin/ketua negara kerana dia adalah milik tuannya. Dia tidak memiliki kekuasaan untuk mengatur, bahkan terhadap dirinya sendiri.
Ketujuh, mampu melaksanakan tugas sebagai pemimpin/ketua negara. Sahabat Abu Dzar al-Ghifari ra. pernah menawarkan diri untuk diangkat menjadi penguasa daerah. Rasulullah SAW. menjawab:
يا أبا ذَرٍّ، إِنَّكَ ضَعِيفٌ وَإِنها أَمَانَةٌ، وإنها يَوْمَ الْقِيَامَةِ خِزْىٌ وَنَدَامَةٌ، إِلاَّ مَنْ أَخَذَهَا بِحَقِّهَا وَأَدَّى الَّذِى عَلَيْهِ فِيهَا
Wahai Abu Dzar, sungguh engkau itu lemah, sementara jawatan (kekuasaan) itu Amanah. Sungguh pada Hari Kiamat jawatan itu akan menjadi kehinaan dan penyesalan, kecuali bagi orang yang mengambil amanah itu dengan benar dan menunaikan kewajipan yang ada di dalamnya.
Sistem yang diperlukan
Seorang pemimpin/penguasa wajib berhukum dengan hukum Allah dalam mengatur urusan rakyatnya. Sebabnya, kedaulatan ada di tangan syariah. Jika terjadi perselisihan rakyat dengan penguasa, mereka perlu tetap tunduk pada hukum Allah SWT untuk menyelesaikan persengketaan mereka. Allah SWT berfirman:
فَإِن تَنَٰزَعۡتُمۡ فِي شَيۡءٖ فَرُدُّوهُ إِلَى ٱللَّهِ وَٱلرَّسُولِ ٥٩
“Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) RasulNya…” [TMQ an-Nisaa’ (4): 59]
Rakyat wajib menasihati penguasa agar mereka tidak menyimpang dari sistem ini. Syaqiq al-Balkhi, pernah menasihati Khalifah Harun ar-Rasyid:
فإن لم تفعل في ملكك بدين الله، فأنت زعيم أهل النار
Jika engkau tidak bertindak dalam wilayah kekuasaanmu berdasarkan agama Allah, kelak engkau menjadi pemimpin penghuni neraka.
Islam juga melarang berbilangnya ketua negara. Imam Ibnu Katsir menyatakan: Adapun pengangkatan dua imam atau lebih di bumi maka hal itu tidak boleh berdasarkan sabda Baginda, “Siapa saja yang datang kepada kalian sementara urusan kalian bersatu, (orang itu) hendak memecahkan kalian maka bunuhlah dia di mana pun dia.” (HR. Muslim). Ini merupakan pendapat jumhur. Tidak hanya seorang yang telah menceritakan adanya ijmak dalam hal ini. Di antara mereka adalah Imamul Haramain.”
Mengangkat dan menurunkan penguasa
Terkait siapa orang yang menjadi pemimpin/ketua negara, Islam hanya memberikan cara pengangkatan, tidak menyebutkan nama seseorang. Cara ini ditetapkan dengan al-Quran, as-Sunnah dan Ijmak Sahabat iaitu pembaiatan. ‘Ubadah bin Shamit ra. berkata:
بايَعَنَا عَلَى السَّمْعِ وَالطَّاعَةِ، فِي مَنْشَطِنَا وَمَكْرَهِنَا، وَعُسْرِنا، وَيُسْرِنا، وَأَثَرَةً عَلَيْنَا، وَأَنْ لا نُنَازِعَ الأَمْرَ أَهْلَهُ، إِلَّا أَنْ تَرَوْا كُفْرًا بَوَاحًا،عِنْدَكُمْ مِنَ الله فِيهِ بُرْهَانٌ
“Kami telah berbaiat untuk senantiasa mendengar dan taat, baik dalam keadaan lapang atau terpaksa, mudah mahupun sulit, mementingkan kepentingannya daripada kepentingan diri sendiri, dan tidak memberontak pemerintahan yang berkuasa.” Baginda bersabda: “Kecuali jika kalian melihat dia telah melakukan kekufuran yang jelas, dan kalian memiliki hujjah di sisi Allah.” (HR al-Bukhari dan Muslim).
Al-Murakibi dalam disertasinya menyatakan: “Apa yang harus kita perhatikan ialah bai’at (Aqabah kedua) ini adalah sama dengan perjanjian mendirikan Negara Islam di antara Rasulullah dengan pemimpin Aus dan Khazraj serta wakil mereka.”
Adapun perkara siapa yang akan dibaiat diserahkan kepada rakyat. Mereka berhak memilih siapa yang mereka kehendaki dari orang-orang yang memenuhi syarat menjadi ketua negara. Seseorang yang dipilih juga tidak boleh dipaksa untuk menjadi penguasa.
Jika seseorang menerima jawatan sebagai ketua negara, dia wajib diberhentikan jika dia murtad, gila atau ditawan musuh yang kuat sehingga tidak ada harapan untuk bebas. Dalam ketiga-tiga hal ini, pemimpin tersebut automatik diberhentikan dan mentaati beliau ketika itu tidaklah wajib.
Adapun jika ketua negara kehilangan sifat ‘adalah-nya, fasik terang-terangan, berubah menjadi wanita, sering datang penyakit gilanya, ditekan pihak lain sehingga dia tidak mampu berpendapat sendiri, atau tidak mampu lagi melaksanakan tugas, maka dia juga perlu diberhentikan. Hanya saja, dalam keadaan-keadaan ini, ketua negara tetap wajib ditaati sampai ada keputusan hakim yang mengikat tentang pemberhentiannya.
Kesimpulan
Dalam Islam, kepemimpinan bukan sekadar mendudukkan seorang Muslim di panggung kekuasaan. Yang lebih penting adalah bagaimana kekuasaan itu digunakan untuk menjaga, menerapkan dan mendakwahkan Islam serta bertanggungjawab dunia akhirat dalam mengurus rakyat dengan hukum-hukum Islam. Khalifah ‘Umar ra. pernah berkata:
لَوْ مَاتَتْ شَاة عَلَى شَط الْفُرَاتِ ضَائِعَة لَظَنَنْتُ أَنَّ اللهَ تَعَالَى سَائِلِي عَنْهَا يَوْمَ الْقِيَامَةِ
“Andai seekor biri-biri mati di pinggiran sungai Eufrat dalam keadaan terbuang (sia-sia), sungguh aku berfikir bahawa Allah akan meminta pertanggungjawabanku tentang itu pada Hari Kiamat.”
WalLaahu a’lam.