Ramadhan Bulan Istimewa
Oleh: Ustaz Ismail Yusanto
Ramadhan, bulan yang kita diperintahkan Allah untuk berpuasa di dalamnya agar kita semakin bertakwa. Apabila bulan ini istimewa, tujuannya juga istimewa, iaitu menjadi orang yang bertakwa.
Takwa adalah segalanya. Ini kerana takwa yang akan menentukan kedudukan dan kehormatan kita di hadapan Allah Taala. Bukan pangkat, jawatan, harta, kekayaan, rupa paras, bentuk badan, atau tubuh kita.
Allah Swt. berfirman,
اِنَّ اَكْرَمَكُمْ عِنْدَ اللّٰهِ اَتْقٰىكُمْ
“Sesungguhnya yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah adalah orang yang paling bertakwa.” (TMQ Al Hujurat: 13).
Takwa juga yang akan menentukan kedudukan kita di akhirat. Kedudukan tersebut hanya ada dua kemungkinan, iaitu ashabul yamin—golongan kanan—dan ashabul syimal—golongan kiri.
Sudah pasti kita tidak mahu menjadi ashabul syimal, yakni penghuni neraka. Hal ini kerana neraka disebut Allah sebagai seburuk-buruk tempat untuk kembali. Seksa yang paling ringan di dalamnya ialah dipakaikan terompah dari api neraka sehingga boleh menyebabkan otak kita mendidih.
Sebaliknya, kita pasti ingin menjadi sebahagian dari ashabul yamin, yakni golongan kanan atau penghuni syurga. Apa yang dapat memastikan kita akan menjadi sebahagian dari golongan ini? Hanya satu, yakni takwa kita kepada Allah Taala.
Takwa akan menyebabkan kita mendapat makhroja, yakni jalan keluar oleh Allah atas segala permasalahan kehidupan. Bukan hanya itu, Allah juga akan memberi rezeki dari arah yang tidak disangka-sangka.
Allah Swt. berfirman,
وَمَنْ يَتَّقِ اللَّهَ يَجْعَلْ لَهُ مَخْرَجًا وَيَرْزُقْهُ مِنْ حَيْثُ لا يَحْتَسِبُ
“Barang siapa bertakwa kepada Allah, nescaya Dia akan mengadakan baginya jalan keluar dan memberinya rezeki dari arah yang tiada disangka-sangkanya.” (TMQ Ath-Thalaq: 2—3).
Takwa juga yang akan membawa masyarakat, bangsa, negara, bahkan dunia menuju kehidupan penuh keberkahan, yakni kehidupan yang penuh dengan kebaikan. Allah menyatakan bahawa sekiranya penduduk negeri beriman dan bertakwa, pasti Allah akan melimpahkan berkah-Nya dari langit dan bumi. (Lihat QS Al-A’raf: 96).
Jadi, jelas sekali bahawa takwa sangat penting. Bahkan, Allah Swt. menetapkan secara khusus satu bulan yang akan menempa kita agar kita menjadi orang bertakwa. Oleh kerana itu, tidak boleh kita melalui bulan yang istimewa ini dengan amal yang biasa-biasa saja. Kita perlu menyambutnya dengan luar biasa. Jalanilah saum Ramadhan dengan penuh kesungguhan agar kita menjadi hamba yang bertakwa kerana-Nya. Insyaallah.
*Disarikan dari YouTube Khilafah Channel Reborn.
#Ramadhan1445h #refleksiramadhan #motivasiramadhan