[Serba-serbi Ramadhan] Frankfurt Menyambut Ramadhan Buat Pertama Kali
Dikhabarkan, buat pertama kalinya, Bandar Frankfurt, salah satu pusat perniagaan di Jerman, turut menyambut Ramadhan. Jalan-jalan utama di bandar kelima paling ramai penduduk di Jerman itu dihiasi dengan hiasan tersendiri, seperti bulan sabit, bintang, dan lampu.
Kerajaan Bandaraya Frankfurt, pada 10 Mac—9 April 2024 akan menjadikan Grosse Bockenheimer Strasse, kawasan untuk pejalan kaki di bandar itu, menjadi pusat yang sibuk sepanjang Ramadhan. Lokasi ini lebih dikenali sebagai Fresgass, bermakna sedikit lorong makanan kerana banyak kafe dan restoran.
Sepanjang bulan Ramadhan penuh, kawasan itu akan bercahaya dan dihiasi dengan pelbagai hiasan berwarna-warni. Semestinya tidak ketinggalan tulisan seperti “Happy Ramadhan (Selamat Menyambut Ramadhan)” juga menyapa umat Islam, seperti penanda tarhib (perayaan menyambut kedatangan bulan suci) Ramadhan.”
Dengan penduduk Islam 100,000—150,000 orang daripada jumlah penduduk Frankfurt sebanyak 800,000 orang, ramai orang menganggap bandar tersebut sebagai salah satu bandar berbilang budaya terbaik di Jerman. Biarpun hanya terdiri daripada perhiasan kecil dan bercahaya apabila malam menjelma, kemeriahan menyambut bulan suci Ramadhan di Frankfurt disambut baik oleh semua pihak.
Mohamed Seddadi, Pengerusi Komuniti Muslim Frankfurt, menyambut baik rancangan tersebut. Beliau berkata, hal ini amat bermakna bagi umat muslim Frankfurt khususnya dan umat Islam keseluruhannya.
Seddadi berkata keputusan kerajaan dan Majlis Bandaraya Frankfurt untuk memberi kebebasan kepada umat Islam untuk melaksanakan Ramadhan sebagai petanda bahawa ”kita semua saling memiliki.”
Bagi umat Islam di Jerman, perkara ini umpama satu rahmat setelah bertahun-tahun mereka mendapat layanan tidak sama rata di negara itu. Penemuan Panel Kumpulan Pakar Bebas mengenai Permusuhan terhadap Muslim (UEM) Kementerian Dalam Negeri Kerajaan Persekutuan Jerman yang dilancarkan pada Jun 2023 menunjukkan, satu daripada dua rakyat Jerman menyetujui sikap anti-muslim.
Seperti yang dilaporkan oleh Deutsche Welle, sejak 2017, Islamofobia telah menjadi salah satu jenayah serius yang ditangani oleh polis dan Kerajaan Persekutuan Jerman. Bilangan jenayah dalam kategori ini ialah 700—1,000 kes setiap tahun. Ia berbentuk penghinaan, hasutan dan ancaman, pemusnahan harta benda atau tempat tinggal, serta keganasan fizikal.
Laporan Deutsche Welle juga menyatakan bahawa wanita Islam sering menjadi mangsa serangan atau keganasan berbanding lelaki atau jantina lain.
Kepelbagaian
Masyarakat Islam Jerman adalah pelbagai. Majoriti daripada mereka mendakwa berasal dari Turki atau beberapa negara Arab, seperti Maghribi dan Lubnan. Ramai di antara mereka berhijrah ke Jerman Barat, 60 tahun lalu, kerana mereka direkrut untuk membantu negara itu memajukan ekonomi selepas Perang Dunia Kedua.
Kebanyakan generasi pertama pendatang Islam bekerja dalam sektor perlombongan arang batu, pengeluaran keluli, dan industri automotif. Ramai daripada mereka, yang pada mulanya datang sebagai pekerja sementara, kemudian memutuskan untuk tinggal dan membawa keluarga mereka sehingga membentuk komuniti Islam yang besar di Berlin, Cologne, dan Frankfurt.
Sumber:
#SerbaSerbiRamadhan #FrankfurtSambutRamadhan
#Jerman