[Tsaqafah] Wanita Haid dan Nifas, Masihkah Dapat Pahala di Bulan Ramadhan?
Penulis: Ummu Nashir N.S.
Ramadhan, bulan yang istimewa dan penuh keberkatan ini hadir di hadapan kita semua. Sungguh merupakan nikmat luar biasa yang Allah kurniakan kepada semua umat Islam dengan kehadiran Ramadhan. Setiap amalan baik yang dilakukan oleh seorang hamba akan dilipatgandakan pahalanya di sisi Allah dan amalan sunnah akan mendapat ganjaran pahala wajib.
Rasulullah SAW. bersabda, “Barang siapa di bulan itu mendekatkan diri kepada Allah dengan suatu kebaikan, nilainya seperti orang yang melakukan perbuatan yang diwajibkan pada bulan-bulan yang lain. Dan barang siapa yang melakukan suatu kewajipan pada bulan itu, nilainya sama dengan 70 kali ganda daripada kewajipan yang dilakukannya pada bulan yang lain. Keutamaan sedekah adalah sedekah di bulan Ramadhan.” (HR Bukhari-Muslim).
Begitulah istimewanya Ramadhan. Sudah tentu, kita mesti menyambutnya dengan gembira, penuh harapan, dan sentiasa berusaha untuk menjadi lebih baik dalam menjalaninya. Cuma tidak dapat dinafikan, sentiasa ada perasaan sedih dalam diri seorang muslimah. Ketika menjalani Ramadhan, ada hari-hari tertentu yang tidak boleh berpuasa, solat, atau membaca al-Quran kerana haid atau nifas, walaupun dalam pelbagai bentuk ibadah, semua itu bernilai pahala yang besar. Jadi, adakah masih ada peluang untuk muslimah yang sedang haid atau nifas mendapat pahala berganda sepanjang Ramadhan?
Adakah Wajar Bersedih?
Kita semua faham bahawa berpuasa di bulan Ramadhan adalah hukumnya wajib bagi setiap muslim dan muslimah yang telah baligh dan berakal. Manakala bagi muslimah yang sedang haid atau nifas dilarang puasa sehingga tidak boleh berpuasa sebulan penuh dan diwajibkan mengqadanya pada hari-hari selain Ramadhan. Keadaan ini sering kali membuatkan muslimah yang mengalaminya sedih kerana banyak amal soleh yang tidak dapat dilaksanakan, walaupun pahalanya berlipat ganda.
Pada asasnya, timbulnya kesedihan dalam kalangan muslimah yang mengalami haid atau nifas ketika di bulan Ramadhan merupakan hal yang wajar. Kejadian yang hampir sama pernah dialami oleh Aisyah ra. yang ketika itu sedih kerana haidnya datang cepat, padahal belum sempat menunaikan manasik haji. Kemudian Rasulullah SAW. menghiburkan beliau.
Dari ‘Aisyah ra., dia berkata, “Kami keluar (safar) bersama Nabi SAW. dan tujuan kami hanyalah untuk menunaikan haji. Sehingga apabila kami tiba di Sarif atau berhampiran dengannya, aku datang haid. Kemudian Nabi SAW. menemuiku semasa aku sedang menangis. Lalu beliau SAW. bertanya, ‘Apakah engkau sedang haid?’ Aku menjawab, ‘Ya.’ Beliau SAW. bersabda, ‘Sesungguhnya ini adalah sesuatu yang telah Allah tetapkan (ditakdirkan) untuk wanita-wanita dari anak dan cucu Adam. Maka lakukanlah amalan-amalan haji, cuma jangan engkau bertawaf di Kaabah sebelum engkau mandi (setelah suci dari haid).’ ‘Aisyah ra. berkata, ‘Kemudian Rasulullah SAW. berkorban dengan menyembelih seekor lembu yang diniatkan untuk semua isterinya.’” (HR Bukhari-Muslim).
Wanita yang memasuki Ramadhan dalam keadaan haid atau telah berpuasa Ramadhan, kemudian mendapat kitaran bulanan, maka tidak perlu bersedih kerana ini adalah ketetapan dari Allah Taala. Lagipun, ikhlas dan menjauhi larangan Allah juga termasuk ibadah, tentunya bernilai pahala. Lebih dari itu, wanita yang sedang haid atau nifas masih boleh melakukan pelbagai aktiviti yang bernilai pahala dan mendapat keberkatan Ramadhan. Ini kerana aktiviti yang bernilai pahala sepanjang Ramadhan bukan sekadar puasa, solat, dan membaca al-Quran.
Sikap pertama yang mesti dipupuk oleh muslimah yang sedang haid pada bulan Ramadhan adalah redha. Seorang hamba yang beriman tidak boleh bersikap terhadap Penciptanya selain redha dengan ketentuan-Nya. Sikap redha adalah sebahagian daripada amal soleh, bahkan termasuk antara amal soleh yang paling agung.
Allah SWT. berfirman, “Sesungguhnya jawapan orang-orang mukmin, apabila mereka diajak kepada Allah dan Rasul-Nya agar Rasul menghukumi (mengadili) di antara mereka ialah ucapan, ‘Kami mendengar dan Kami patuh.’ Dan mereka itulah orang-orang yang beruntung.” [TMQ An-Nur (24): 51].
Sedih kerana tidak boleh berpuasa, tarawih, membaca al-Quran kerana haid adalah perkara yang baik kerana salah satu ciri orang beriman ialah gembira apabila melakukan amal soleh dan sedih apabila tidak dapat melakukan amal soleh. At-Tirmidzi meriwayatkan daripada Ibnu Umar bahawa Rasulullah SAW. bersabda, “Barang siapa kebaikannya membuatnya bahagia, dan keburukannya membuatnya susah, maka dia adalah orang yang beriman.” (HR At-Tirmidzi).
Ladang Pahala bagi Wanita Haid dan Nifas ketika Ramadhan
Wanita mesti memahami bahawa ketika mereka tidak berpuasa Ramadhan kerana didatangi haid, ini bermakna mereka sedang menjalankan perintah Allah kerana Allah melarang wanita haid berpuasa. Maknanya, dia sedang beramal soleh seperti orang yang berpuasa tanpa ada perbezaan. Sebenarnya wanita haid sedang menjalankan perintah Allah dengan cara yang lebih ringan daripada yang berpuasa yang terpaksa menahan lapar dan dahaga.
Terdapat banyak aktiviti kebajikan yang bernilai pahala yang boleh dilakukan oleh seorang wanita dalam keadaan haid ketika Ramadhan. Setiap amalan kebajikan yang dilakukan oleh seorang muslim pada bulan yang mulia ini dikira sama seperti mengerjakan fardhu pada bulan yang lain.
Rasulullah SAW. bersabda, “Wahai manusia! Sesungguhnya kamu akan dinaungi oleh bulan yang sentiasa besar lagi penuh keberkatan, iaitu bulan yang di dalamnya terdapat satu malam yang lebih baik daripada seribu bulan; bulan di mana Allah telah menjadikan puasa sebagai fardhu dan qiyam (solat) pada malam harinya suatu tathawwu’. Barang siapa yang mendekatkan diri kepada Allah dengan beramal di dalamnya, ia sama seperti orang yang mengerjakan suatu fardhu di bulan yang lain.”
Alangkah baiknya ketika melakukan pelbagai amal kebaikan ini, kita mengutamakan amalan yang wajib, kemudian yang sunnah dan mubah. Jadi, apakah aktiviti kebajikan yang boleh dilakukan oleh wanita haid dan nifas sepanjang Ramadhan? Beberapa di antaranya adalah seperti berikut.
- Melakukan khidmat (pelayanan/membantu) orang lain, terutama orang yang berpuasa.
Sesungguhnya khidmat sekecil apa pun adalah amal soleh. Dari Jabir bin Abdullah dia berkata, “Rasulullah SAW. bersabda, ‘”Setiap kebaikan adalah sedekah. Dan di antara bentuk kebaikan adalah kamu bertemu saudaramu dengan wajah yang menyenangkan; dan kamu menuangkan air dari timbamu ke dalam bejana milik saudaramu.’” (HR Tirmidzi).
Menuangkan air ke dalam bejana saudara termasuk makruf dan sesuatu yang disebut makruf adalah amal soleh. Lebih utama lagi jika yang dilayani adalah orang yang berpuasa kerana melayani orang yang berpuasa dan memudahkan urusan mereka boleh mengakibatkan orang yang melayani itu mendapat pahala seperti orang yang berpuasa.
Dalam ucapan Rasulullah SAW. menyambut Ramadhan, beliau SAW. bersabda, “Dia adalah bulan yang permulaannya rahmat, pertengahannya ampunan, dan akhirnya adalah pembebasan dari neraka. Barang siapa meringankan beban dari khadim (pelayan)nya dan hamba sahayanya, nescaya Allah akan mengampuni dosanya dan membebaskannya dari api neraka.”
- Memberi makan dan minum kepada orang yang berpuasa.
Dalam hadis disebutkan, “Ramadhan adalah bulan memberi pertolongan (syahrul muwasah) dan bulan Allah memberi rezeki kepada orang mukmin di dalamnya. Barang siapa yang memberi makanan berbuka kepada orang yang berpuasa, maka itu akan diampuni dosanya dan terbebas dari neraka. Orang yang memberi makanan itu mendapat pahala seperti orang yang berpuasa tanpa dikurangi sedikit pun.”
“Barang siapa yang memberi minum kepada orang yang berbuka puasa, nescaya Allah memberi minum kepadanya dari air kolam-Ku sehingga dia tidak merasa dahaga sesudahnya hingga dia masuk ke syurga.” (HR Ibnu Huzaimah).
Berdasarkan hadis-hadis tersebut, jelas sekali bahawa wanita haid yang memberi makan atau minum kepada orang yang berpuasa, maka dia akan mendapat pahala seperti orang yang berpuasa. Dengan kata lain, seorang ibu atau anak remaja yang sedang haid, kemudian memasak makanan dan minuman untuk berbuka kepada ahli keluarganya, maka dia akan mendapat pahala seperti orang yang berpuasa. Masya-Allah.
- Menuntut ilmu.
Mencari ilmu merupakan salah satu amal soleh yang boleh dilakukan oleh wanita haid pada bulan Ramadhan, sama ada dengan mengunjungi majlis-majlis ilmu, mempelajari isi kitab, atau memperkayakan tsaqafah melalui media sosial. Banyak nas yang menunjukkan keutamaan menuntut ilmu. Sepanjang bulan Ramadhan, biasanya terdapat banyak majlis ilmu. Sudah tentu, kita boleh memilih untuk mengikuti pengajian Islam kaffah dan tsaqafah Islam yang akan memperkaya pemikiran dan pemahaman kita tentang Islam.
Allah berfirman, “(Iaitu) mereka yang mendengarkan perkataan, lalu mengikuti apa yang paling baik di antara mereka. Mereka itulah orang-orang yang diberi petunjuk oleh Allah dan mereka adalah orang-orang yang mempunyai akal sihat.” [TMQ Az-Zumar (39) : 18].
- Berdakwah
Dakwah adalah misi yang besar dan mulia kerana ia adalah misi para Nabi dan Rasul yang mulia. Dakwah merupakan amal yang terbaik kerana ia mengajak manusia kepada kelurusan iman dan akan menjadikan mereka sebagai umat yang terbaik. Sepanjang Ramadhan kita mempunyai peluang yang luas untuk berdakwah, kerana sesiapa pun berada dalam keadaan ruhiyah-nya sedang baik dan bersedia menerima nasihat. Jadi, jangan sia-siakan peluang ini!
Seorang muslimah ketika sedang haid, ini tidak menjadi penghalang untuk berdakwah. Dia dapat menyampaikan pemahaman Islam yang dimilikinya kepada umat khususnya kepada muslimah yang lain. Ini adalah peluang kita untuk menjelaskan kerosakan sistem sekular kapitalistik yang kini mengurung negara ini, menjadikan kehidupan sangat sempit.
Jadi, di sinilah tugas kita semua, iaitu berjuang bersama-sama mengembalikan kehidupan Islam di tengah umat agar seluruh umat manusia akan hidup aman dan sejahtera di bawah naungan Islam. Ini semua akan direalisasikan dengan dakwah Islam.
- Memperbanyak beristighfar dan bersedekah.
Secara khusus, Rasulullah SAW. menganjurkan supaya memperbanyak beristighfar dan bersedekah kerana beliau telah diperlihatkan bahawa wanita adalah penghuni neraka yang paling ramai. Saranan baginda ini hendaklah mendapat perhatian lebih daripada kaum wanita.
Sudah semestinya istighfar dan sedekah ini lebih banyak dilakukan pada bulan Ramadhan, terutama oleh wanita yang sedang haid atau nifas untuk menambahkan pahala. Ini kerana pada bulan Ramadhan, segala amalan baik —termasuk sedekah— akan Allah dilipat gandakan oleh Allah.
- Perbanyakkan zikir.
Pada bulan Ramadhan, wanita yang haid digalakkan memperbanyakkan zikir, baik secara lisan mahupun hati. Di antara dalil yang menunjukkan keutamaan zikir adalah firman Allah SWT., “Ingatlah kepada-Ku, nescaya Aku akan ingat kepadamu.” [TMQ Al-Baqarah (2): 152].
Di antara lafaz zikir yang boleh diistiqamahkan ialah lafaz yang diajarkan oleh Rasulullah SAW. dalam sebuah hadis daripada Abu Hurairah yang mengatakan bahawa Rasulullah SAW. bersabda, “Ada dua kalimat yang ringan di lisan, berat di timbangan, dan disukai Ar-Rahman, (iaitu) ‘subhanallah wa bihamdihi’ dan ‘subhaanallahil ‘azhiim’.” (HR Bukhari).
- Perbanyakkan doa.
Doa adalah sebahagian daripada ibadah, manakala ibadah termasuk amal soleh. Seorang wanita yang sedang haid boleh memperbanyakkan doa pada bulan Ramadhan. Selain bernilai ibadah dan sarat pahala, banyak berdoa akan mendekatkan diri kepada Allah dan menguatkan nafsiah.
Dari An-Nu’man bin Basyir dari Nabi SAW., beliau bersabda, “Doa adalah ibadah.” (HR Abu Dawud). Terutama berdoa pada sepertiga malam terakhir dan waktu antara azan dengan iqamah kerana waktu itu adalah waktu mustajab.
Khatimah
Amat jelas bahawa apabila wanita haid, walaupun tidak boleh berpuasa Ramadhan dan melakukan ibadah mahdhah, tetapi terdapat banyak amal soleh yang boleh dia lakukan. Di antaranya menyediakan juadah untuk berbuka, memperbanyakkan sedekah, memperbanyakkan zikir, menuntut ilmu, dan lain-lain. Oleh itu, tidak perlu berkecil hati, sedih, atau kecewa kerana masih banyak ladang pahala yang boleh dilakukan. Wallahualam bissawab.
#Ramadhan #Wanita #Haid #Nifas