[KAPSUL SYAWAL] WAHAI MUSLIMAH, TAMPIL BERSERI DI HARI RAYA NAMUN JANGAN BERTABARRUJ
Dalam meraikan Syawal yang hanya setahun sekali, selain daripada menutup aurat, berpakaian longgar dan memakai jilbab syarie, Muslimah juga dituntut untuk tidak bertabarruj. Apakah itu tabarruj? Tabarruj ialah perbuatan berhias atau berpakaian secara berlebihan bagi wanita sehingga menarik perhatian ramai walaupun menutup aurat. Oleh itu, wanita hendaklah memastikan pakaiannya menutup aurat dan tidak menarik perhatian sesiapa ketika melangkah keluar dari rumah.
Allah SWT berfirman:
وَقَرْنَ فِى بُيُوتِكُنَّ وَلَا تَبَرَّجْنَ تَبَرُّجَ ٱلْجَـٰهِلِيَّةِ ٱلْأُولَىٰ …
“Dan hendaklah kamu tetap diam di rumah kamu dan janganlah kamu mendedahkan diri kamu seperti yang dilakukan oleh orang-orang Jahiliyah zaman dahulu.”[TMQ Al-Ahzab (33): 33].
Kebiasaan wanita jahiliyyah dahulu ialah mereka bertabarruj ketika keluar daripada rumah seperti berlebihan dalam berhiasan, bersolekan tebal atau memakai sanggul unta. Islam diturunkan bagi meninggikan darjat dan maruah wanita. Oleh itu, seorang wanita tidak boleh memakai alat-alat solek secara berlebihan sehingga dapat menarik perhatian lelaki ajnabi kepadanya dan menimbulkan fitnah. Berlebihan dalam berhias bagi seorang wanita adalah dibenarkan hanya kepada suaminya sahaja.