SYAWAL DAN KEMENANGAN HAKIKI
Penulis : Tim Lajnah Tsaqafiah
Semarak bergemanya takbir menandakan bulan Syawal telah menjelma. Seruan ‘kemenangan’ ini dikumandangkan oleh umat Islam dengan memuji dan mengungkapkan rasa syukur kepada Allah SWT. Dengan limpah rahmatNya, Allah berkenan mengurniakan kenikmatan berupa pahala dan ampunan seluasnya sepanjang hambaNya menempuh bulan suci Ramadhan.
Tidak hanya bergembira menyambut Eidul Fitri, takbir ini juga mengingatkan kita akan pertama kali ia bergema menandakan kemenangan kaum Muslimin pada perang Ahzab. Dalam peperangan ini, Rasulullah SAW berserta para pejuang Islam menghadapi situasi yang sangat genting kerana diasak dan ditekan oleh pasukan sekutu musuh. Bagi menghadapi keadaan ini, Rasulullah SAW tidak sekadar berdoa namun baginda dan para pejuang Islam telah melaksanakan semaksima usaha dengan menggali parit dan memasang strategi terbaik peperangan hingga Allah berkenan untuk menurunkan pertolonganNya. “Allah telah membenarkan janjiNya, membantu hambaNya dan mengalahkan pakatan al-Ahzab dengan sendirinya”. (HR Muslim)
Umat Islam hari ini juga menghadapi tekanan dari pelbagai aspek. Sejak pemerintahan Islam diruntuhkan, serangan ke atas umat Islam berlaku tidak hanya secara fizikal tetapi juga pemikiran dengan serangan ideologi melalui peluru sekularisme. Justeru, umat Islam perlu menyedari bahawa kemenangan yang diraikan pasca Ramadhan ini hanya sekelumit dari kemenangan yang hakiki. Ini kerana kemenangan hakiki adalah ketika umat Islam dapat menjalani ketaatan sepenuhnya dalam seluruh aspek kehidupan. Islam memerintahkan kita untuk membuktikan ketaatan kepada Allah SWT tidak hanya pada satu aspek saja, tetapi dalam segala aspek. Bermula dari aspek aqidah, ibadah, makanan, pakaian, akhlak, ekonomi, pendidikan, sosial, politik dan lain-lain. Inilah yang menjadi pembeza antara Islam dengan sekularisme.
Sekularisme memisahkan agama dari segenap aspek kehidupan kita. Sekularisme bahkan menjadi sebab kesengsaraan umat Islam. Dari sekularisme inilah lahirnya pemikiran negara bangsa (nation state) iaitu fahaman nasionalisme yang tunduk kepada kepentingan penjajah Barat. Sekularisme telah menjauhkan kaum muslimin dari syariah Islam yang kaffah (menyeluruh).
Di bulan Syawal, umat Islam bergembira meraikan kemenangannya menjalani ibadah Ramadhan. Namun tidak kurang yang bercampur gembira dan sedih ketika membayangkan kesengsaraan yang dilalui saudara di Gaza khususnya. Ternyata kezaliman dan kesengsaraan umat Islam Palestin belum jua berakhir. Ketika sekularisme menjadi nadi di dalam sistem kehidupan, setiap masalah yang melanda hanya mampu ditangani dengan penyelesaian selain Islam. Genosid yang melanda umat Islam Palestin telah pun berlanjutan namun hingga kini belum mampu ditangani dan diselesaikan oleh mana-manapun pemimpin Islam. Malah sejak lebih 70 tahun lagi umat Islam Palestin bertahan, merayu dan merintih akan pertolongan dan bilakah datangnya pertolongan dari kalangan pemimpin Islam? Bilakah kemenangan hakiki dapat diraih dan diraikan oleh umat Islam seluruhnya?
Sesungguhnya kemenangan Islam itu dapat diraih kembali sebagaimana yang pernah tercapai pada masa umat Islam terdahulu. Ini kerana umat Islam adalah umat yang satu; umat terbaik yang akan menjadi saksi pilihan Allah ke atas umat manusia lainnya. Ini dapat direalisasikan dengan berjuang mendirikan sistem Islam yang mengatur seluruh aspek hidup manusia. Mahukah kita menjadi sebahagian dari para pejuang Islam?
Sahutlah seruan dengan sama-sama beraktiviti mengembalikan kemuliaan dan kekuasaan Islam. Ingatlah Ketika Rasulullah SAW pernah bersumpah bahawa baginda tidak akan sesekali meninggalkan dakwah menegakkan Islam walaupun matahari dan bulan diletakkan di tangannya. Inilah yang mesti difahami oleh para pendakwah bahawa isu perjuangan menegakkan Islam adalah isu yang penting; malah dianggap antara hidup dan mati sehingga Allah mengizinkan kemenangan hakiki ke atas umat Islam. Semoga Syawal kali ini menjadi bulan kemenangan hakiki orang-orang yang beriman, terealisasinya ketakwaan mereka dengan kembalinya Khilafah ar-Rasyidah ala minhaj nubuwwah.
Rujukan:
Mengapa takbir raya sebut tentang Perang Ahzab? – Indahnya Islam diakses pada 8.48 pagi 6/4/2024
https://www.muslimahjakarta.net/2022/05/merajut-silah-ukhuwah-meraih-kemenangan.html
Bagaimana Khilafah diruntuhkan, dan usaha untuk mengembalikannya sebagai isu hidup dan mati bagi umat Islam hari ini (Siri 2 – Akhir) – Mei 2021. Hizbut Tahrir Malaysia (mykhilafah.com)
https://www.trenopini.com/2022/05/menjemput-kemenangan-hakiki-di-hari