[Nafsiyah] Sahabat Solehah
Dalam era kebebasan berakidah yang dipayungi oleh sistem sekularisme ini, mempunyai sahabat, teman, saudara seakidah, dan persekitaran yang baik sangat diperlukan. Kita memerlukan saudara dan sahabat yang saling dapat menguatkan, serta mengingatkan kita ketika keimanan kita sedang lemah dan terjerumus dalam kemaksiatan.
Rasulullah SAW bersabda, “Akan datang kepada manusia suatu masa yang ketika itu orang yang bersabar dalam berpegang kepada agamanya seperti menggenggam bara api.” [HR Tirmidzi].
Terdapat suatu kisah mengenai tabiat sahabat Rasulullah SAW, iaitu Abdullah bin Rawahah RA yang mendapat pujian daripada Rasulullah SAW. Anas bin Malik RA mengisahkan, “Suatu masa dahulu, apabila Abdullah bin Rawahah RA bertemu dengan salah seorang sahabat Rasulullah SAW, dia akan mengatakan, ‘Mari kita duduk sejenak untuk beriman dan mengingati Allah SWT.’ Pada suatu hari, dia mengajak seseorang, lalu orang tersebut marah dan tersinggung. Kemudian, orang tersebut mengadu kepada Rasulullah SAW. Dia berkata, “Wahai Rasulullah SAW, lihatlah Abdullah bin Rawahah. Dia berpaling dari beriman kepadamu dan lebih memilih untuk duduk beriman sesaat.”
Lihatlah bagaimana Rasulullah SAW membalas keluhan tersebut. Dari memarahi Abdullah bin Rawahah RA, sebaliknya Rasulullah SAW justeru memujinya. Baginda bersabda, “Semoga Allah merahmati Abdullah bin Rawahah. Seungguhnya, beliau mencintai majlis-majlis yang para malaikat berbangga dengan majlis tersebut.” [HR Ahmad].
Saudariku, sesungguhnya hati kita mudah sekali berubah. Ia sangat memerlukan nasihat dan peringatan daripada saudari mukmin yang lain. Abdullah bin Rawahah RA merupakan teladan yang baik berkaitan persahabatan. Beliau sentiasa mengajak sahabat-sahabat lain untuk mengingati Allah SWT dan memberikan mereka nasihat.
Memberi Nasihat
Salah satu hak saudari seakidah yang mesti kita penuhi ialah dengan memberi nasihat. Firman Allah SWT,
“Demi masa. Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman, dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar.” [TMQ al-‘Asr (103):1-3].
Orang-orang mukmin yang Allah SWT sebutkan di dalam ayat ini mempunyai sifat saling memberi nasihat dalam hal kebaikan dan sabar dalam menyampaikan kepada saudara seakidah. Ketahuilah, seorang muslim sangat lemah jika dia hanya bersendirian. Sebaliknya, dia akan menjadi kuat ketika bersama para sahabat seakidah. Sahabat solehah akan saling menguatkan dan memberikan motivasi tatkala lalai dan kemalasan melanda.
Nabi Musa AS juga meminta kepada Allah SWT agar diberikan teman ketika menghadapi Firaun. Beliau meminta Nabi Harun AS untuk membantunya, mengingatkannya, dan menguatkannya.
Nabi Musa AS berkata, “Dan jadikanlah bagiku seorang penyokong dari keluargaku, (iaitu) Harun, saudaraku. Kuatkanlah dengan sokongannya, pendirianku. Dan jadikanlah dia turut campur bertanggungjawab dalam urusanku. Supaya kami sentiasa beribadat dan memujiMu. Dan (supaya) kami sentiasa menyebut dan mengingatiMu. Sesungguhnya, Engkau sedia melihat dan mengetahui hal ehwal (keadaan) kami.” [TMQ Taha (20): 29 – 35].
Sahabat Solehah
Salah satu ukuran kejayaan dan keselamatan seseorang di dunia dan di akhirat adalah apabila dia dapat memilih sahabat. Rasulullah SAW bersabda, “Janganlah kalian berkawan, kecuali dengan orang yang beriman. Jangan biarkan seseorang memakan makananmu, kecuali orang yang bertakwa.” [HR Abu Dawud dan Tirmidzi].
Ulama mengatakan, “Janganlah kamu jadikan orang-orang yang suka bermaksiat sebagai sahabat. Akan tetapi, jadikanlah orang-orang baik yang mempunyai sifat-sifat terpuji iaitu, mereka yang menjaga solat, serta menjaga lidah dan anggota tubuhnya daripada apa yang diharamkan oleh Allah SWT. Janganlah engkau mengundang, kecuali orang-orang yang baik untuk memakan hidanganmu. Janganlah kamu mengundang ahli maksiat dan orang-orang kafir. Para ulama berkata, ‘Sedangkan ini yang dipilih dan dijadikan kebiasaan.’” [Fatwa Nur Ala Ad-Darbi].
Rasulullah SAW bersabda, “Seseorang itu bersama orang yang dicintainya.” [HR Bukhari dan Muslim].
Jika seorang muslim bersahabat dengan orang-orang yang soleh dan taat kepada Allah SWT dan RasulNya, insyaAllah kelak akan dikumpulkan bersama mereka di syurga.
Semoga Allah SWT sentiasa menjaga persahabatan yang dilandasi ketakwaan dan keimanan. Persahabatan yang akan membawa seseorang ke syurga Allah SWT. Persahabatan seperti ini hanya boleh ditemui jika kita berada di dalam lingkaran yang sama, iaitu lingkaran ketaatan kepadaNya. Ya Allah, berikan kepada kami sahabat yang solehah dan jauhkanlah kami dari sahabat yang buruk ahlaknya. Amin. Wallahu muwafiq.
Sumber:
https://muslimahnews.net/2024/03/28/28285/