[Kisah Inspirasi] Kesetiaan Keluarga Habib bin Zaid Tanpa Batas
Penulis: Chusnatul Jannah
Peristiwa Baiat Aqabah II sememangnya menjadi detik bersejarah bagi umat Islam. Dari sanalah perkembangan dakwah Islam bertapak di Madinah al-Munawwarah hingga ke seluruh jazirah Arab. Dari sana pula para penolong agama Allah ini lahir sebagai generasi Ansar yang menjadi teladan sepanjang zaman. Di antara 70 orang yang melakukan Baiat Aqabah II, terdapat satu keluarga yang berbaiat. Mereka memberikan pembelaan dan kesetiaan tanpa batas kepada Rasulullah SAW dan Islam. Mereka ialah Nusaibah binti Ka’ab, Zaid bin Ashim, dan dua anak lelakinya iaitu Habib bin Zaidd dan Abdullah bin Zaid. Apakah kisah keluarga ini?
Perisai Rasulullah SAW
Keluarga Habib bin Zaid dari awal sanggup berkorban untuk Islam. Ibunya, Nusaibah merupakan perempuan pertama yang mengangkat senjata untuk membela Rasulullah dan kemuliaan Islam. Ayahnya, Zaid bin Ashim adalah salah seorang daripada rombongan 70 orang yang berbaiat Aqabah kedua kepada Rasulullah SAW. Sementara saudaranya, Abdullah bin Zaid adalah seorang pemuda yang mempertaruhkan lehernya sebagai tebusan dalam Perang Uhud, untuk melindungi Rasul yang mulia.
Habib bin Zaid adalah seorang kanak-kanak yang menghulurkan tangan mungilnya kepada Rasulullah sambil berbaiat pada malam yang gelap gelita di Aqabah. Sejak hari itu, dia lebih mencintai Rasulullah daripada ibu bapanya sendiri. Baginya, Islam mengatasi segala-galanya melebihi dirinya sendiri. Keimanan telah melekat kuat di hati Habib sejak kecil lagi.
Oleh kerana usianya yang masih terlalu muda, beliau tidak turut serta dalam Perang Badar dan Uhud. Namun selepas dua peperangan ini, beliau selalu menemani Rasulullah SAW dalam setiap peperangan yang disertainya. Beliau bertugas sebagai pemegang ar-rayah yang menjadi kebanggaan umat Islam. Tidak hairanlah jika Rasulullah SAW berdoa untuk keluarga ini yang telah menjadi perisai bagi Rasulullah SAW, “Semoga Allah melimpahkan berkah dan rahmatNya kepadamu dan keluargamu.”
Menjadi Utusan Rasul
Pada suatu hari di selatan Jazirah Arab, muncul dua pemimpin pendusta yang mengaku sebagai nabi dan menyesatkan manusia. Mereka ialah Al-Aswad bin Ka’ab al-Ansi dan Musailamah al-Kazzab. Pada suatu hari, Rasul menerima surat dari utusan Musailamah. Surat tersebut mengandungi pengakuan Musailamah sebagai nabi. Rasulullah SAW pun segera membalas surat Musailamah melalui utusannya. Namun, balasan surat Rasulullah itu sebenarnya menjadikan Musailamah semakin sesat dan menyebarkan kesesatannya.
Untuk menghentikan kesesatannya, Rasulullah SAW mengirim surat kepada Musailamah. Beliau mengutus Habib bin Zaid untuk membawa surat tersebut kepada Musailamah. Habib bin Zaid berangkat melaksanakan tugas yang diberikan oleh Rasulullah SAW kepadanya dengan penuh semangat tanpa membuang masa. Akhirnya, sampailah beliau ke perkampungan Najd. Surat Rasulullah SAW itu segera diberikan kepada Musailamah. Apabila dia membaca surat tersebut, dada Musailamah turun naik kerana iri dan dengki. Mukanya merah padam menandakan dia marah.
Dia memerintahkan pengawalnya mengikat Habib bin Zaid. Keesokan harinya, Habib diheret ke hadapannya. Musailamah bertanya kepadanya, “Adakah kamu mengakui Muhammad itu Rasulullah?” “Ya, benar! Aku mengakui bahawa Muhammad benar-benar Rasulullah!” jawab Habib tegas. Musailamah terdiam kerana marah. “Adakah kamu mengakui aku sebagai Rasulullah?” tanya Musailamah lagi. Habib bin Zaid menjawab dengan nada menghina dan menyakitkan hati. “Aku rasa telinga aku pekak. Aku tidak pernah mendengar perkara seperti itu.” Muka Musailamah berubah. Bibirnya terketar-ketar kerana menahan marah. Kemudian, dia memerintahkan algojonya( individu yang melaksanakan hukuman) untuk memotong bahagian badan Habib. Musailamah bertanya soalan yang sama berulang kali. Habib dengan keyakinan sepenuh hati menjawab pernyataan dengan jawapan yang sama sehingga badannya dihiris-hiris. Beliau pun syahid kerana peristiwa tersebut.
Apabila berita kematian Habib telah sampai kepada ibunya, Nusaibah hanya mengatakan, “Begitulah, aku juga perlu membuat perhitungan dengan Musailamah al-Kazzab. Kepada Allah juga aku berserah diri. Anakku, Habib bin Zaid telah berbaiat kepada Rasulullah SAW sejak kecil. Sumpah itu dipenuhinya ketika dia masih muda. Seandainya Allah mengizinkan aku, aku akan memerintahkan anak-anak perempuan Musailamah menampar pipi ayah mereka.”
Khatimah
Inilah potret keluarga yang menjadi pembela Rasulullah SAW. Kesetiaan mereka terhadap Rasul dan Islam sangat sempurna. Mereka menawarkan diri untuk mengabdi kepada Allah dan RasulNya. Sungguh keluarga pejuang yang patut memberi inspirasi kepada kita semua. Jadikanlah keluarga kita sebagai penolong agama Allah untuk menegakkan kemuliaan Islam dan umat Islam. Wallahu’alam.
*Diceritakan semula daripada pelbagai sumber